Negara mana boleh pergi hujung minggu secara solo, tak jauh dari Malaysia dan tak pernah sampai lagi? Lepas fikir, Brunei Darussalam la masuk dalam senarai. Thailand, Singapura, Indonesia dah dekat, tapi pernah pergi.
Jadi aku decide buat pertama kali nak travel dan jejakkan kaki di Brunei.
Negara keenam Asia Tenggara yang pernah aku sampai selepas Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Filipina.
BACA JUGA : Pertama Kali Ke Filipina. Ini Itinerari Penuh Ke Manila
Trip ke Brunei kali ni aku pergi awal Disember 2025 selama 3 Hari 2 Malam. Cadangnya nak pergi weekend je, tapi terpaksa lajak iaitu Sabtu, Ahad dan Isnin. Aku pergi secara solo sahaja dan tidak sewa kereta.
Kos Perbelanjaan Keseluruhan
Sebelum tengok kos perbelanjaan, anda kena tahu di Brunei mereka menggunakan Brunei Dollar (BND). Nilainya sama 1:1 dengan Singapore Dollar (SGD). Masa aku pergi hari tu sekitar 1BND = RM3.30.
Kat Brunei walaupun menggunakan mata wang Dollar, tapi mereka tetap panggil Ringgit. Jadi jangan terkejut pula kalau mereka sebut ringgit masa buat pembayaran. Hanya sebutan, nilainya tetap kena x3.
1) Tiket Kapal Terbang
Penerbangan adalah dari KLIA T2 ke Brunei International Airport (BWN) yang terletak di Bandar Seri Begawan dengan menaiki Air Asia. Perjalanan ambil masa lebih kurang 2 jam setengah.
Tempahan tiket dibuat dengan menggunakan aplikasi Trip.com. Masa tu tengah promosi dan aku dapat harga RM300 untuk return tiket tanpa luggage. Jadi cukup sahaja 7kg untuk aku sorang selama 3 hari di Brunei.
2) Kos Penginapan
Nak cari tempat penginapan murah di tengah Bandar Seri Begawan khusus untuk solo traveler, boleh cuba di Co.Living Hostel Bandar. Tempat paling strategik untuk pergi ke mana-mana tourist spot.


Untuk 3 hari 2 malam, aku dapat harga RM200 sahaja untuk bilik suite single bed. Ini memang hostel backpackers. Nak murah lagi, boleh pilih jenis bilik bunk bed. Tempahan dibuat menggunakan Agoda sahaja.
3) Kos Pengangkutan
Orang cakap, pengangkutan terbaik kalau pergi Brunei adalah dengan memandu kereta sendiri. Tapi sebab aku pergi solo, segala perbelanjaan aku tanggun sendiri. Jadi aku decide untuk go free je. Cuba je naik pengangkutan awam kat sini.

Aku guna Dart (Macam Grab) dari airport ke hostel dalam AUD10. Kemudian bas AUD1 untuk 1 trip, aku naik 2 trip, jadi AUD2. Kemudian naik bot ke Kampong Ayer, pergi balik AUD2. Itu sahaja. Selebihnya jalan kaki sahaja.
4) Perbelanjaan Makan
Sepenuhnya makanan yang dibeli di Brunei sahaja. Tak bawa apa-apa makanan dari Malaysia. Kebetulan masa aku sampai, di Brunei ada buat event ala food festival di Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Disana aku sempat cuba Jollibee, Nasi Katok dan beberapa makanan lain di Gadong Night Market. Jollibee aku cuba set ayam goreng dengan harga AUD10. Nasi Katok + Chicken Wing = AUD2. Kemudian beberapa makanan lain anggaran dalam AUD8. Total peruntukan makanan lebih kurang RM110 untuk 3 hari.
5) Aktiviti
Sepanjang di Brunei, aku tak pergi ke tempat yang ada fees entrance, sebab tak bawa banyak cash pun. Kad pun tidak digunakan secara meluas. Jadi aku pergi tempat-tempat free sahaja yang tak perlu bayar.
Cuma kalau dah sampai di Bandar Seri Begawan, tak boleh terlepas untuk ambil boat tour pusing Sungai Brunei. Kat sini, kalau ada rezeki boleh jumpa buaya liar, tengok Jong Batu, Istana Nurul Iman, pusing Kampong Ayer dan paling best dapat tengok Monyet Belanda atau Proboscis Monkey.

Best la perjalanan dalam 40 minit. Lama juga tu. Harga dapat AUD11 seorang. Tempahan boleh juga buat di hostel tersebut. Bagi tahu nak join bot tour. Banyak lagi pakej lain yang disediakan kalau berminat.
6) Lain-Lain
Untuk lain-lain perbelanjaan. Dalam itinerari, ada masukkan aktiviti tonton wayang. Harga tiket AUD7. Sepanjang di Brunei, aku menggunakan simcard local, beli di airport dengan harga AUD8. Beli juga takaful Etiqa dengan harga RM19. Shopping sovenir lebih kurang RM30.
Secara keseluruhan perbelanjaan adalah RM770 seorang.
Itinerari Ke Brunei Untuk 3H2M
Sebelum masuk ke Brunei, anda perlu siapkan 2 dokumen penting iaitu pasport yang masih valid dan juga daftar e-Arrival Card. Boleh isi secara online di https://www.imm.gov.bn/. Kemudian screenshot dan tunjuk sahaja pada pegawai imigresen jika diminta.
Selesai semua proses. Di airport aku buat 2 perkara iaitu tukar duit Singapore Dollar (SGD) kepada Brunei Dollar (BND). Jangan risau, anda akan terima nilai yang sama. Jadi kalau kat Malaysia tiada duit BND, tukar je duit SGD dulu.

Selepas tukar duit, baru beli kad sim. Aku cuba cari esim di Shopee, tapi tiada yang jual. Roaming pula minima 7 hari. Jadi beli sim saja disana terus. Boleh beli di airport dan terus guna. Now ready to go! Jom tengok itinerari plak
Day 1 – Sabtu
| Waktu | Aktiviti |
|---|---|
| 4.00 pm | Tiba di Brunei International Airport |
| 7.00 pm | Check in di Co.Living Hostel Bandar |
| 8.00 pm | Night Market Place di Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah |
Sampai airport pun dah kena scam! Katanya bas sampai pukul 8.00 malam, tapi tunggu dari pukul 5 hingga 7 petang, tak muncul-muncul. Tanya staff, rupanya petang memang dah takda pun. Sudahnya naik Dart dari airport ke hostel dengan kos BND10.5.

Sampai terus check-in seperti biasa di Co.Living Hostel Bandar. Hanya perlukan pasport sahaja. Tiada deposit diperlukan. Bersihkan diri, solat dan terus ke Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang tempatanya tidak jauh dari hostel. Jalan kaki 3 minit sampai.

Sini tempat sesuai kalau nak cari souvenir atau nak shopping barang local. Tapi malam dah tutup, cumanya pada hari tersebut sedang berlangsung pesta makanan atau Night Market Place.
Jadi malam tu memang makan disini sahaja. Harga standard macam di Malaysia tapi nilai je lain. Tempat sini cantik bila malam sebab berhadapan dengan masjid Omar Ali Saiffuddin.

Day 2 – Ahad
| Waktu | Aktiviti |
|---|---|
| 7.00 am | Tour pusing Sungai Brunei |
| 9.00 am | Join aktiviti Bandarku Ceria @BSB |
| 10.00 am | The Big Wall Brunei |
| 1.00 pm | Gadong Mall |
| 2.00 pm | Tonton filem (Kahar : Kapla High Council) |
| 5.30 pm | Gadong Night Market |
Hostel ada sediakan beberapa pakej tour, aku pilih untuk pusing Sungai Brunei sahaja dengan harga BND11 seorang. Jadi dalam pukul 7.00 pagi terus naik bot. Masa tu ada 4 orang total termasuk pemandu bot. Tour mengambil masa 40 minit juga menyusur Sungai Brunei.

Sepanjang perjalanan, anda dapat tengok bahagian belakang Istana Nurul Iman. Kemudian ada Jong Batu yang mana ada kisah lagenda disebaliknya. Kalau kita ada Si Tanggang, mereka ada Jong Batu iaitu Nakhoda Manis yang disumpah menjadi batu. Kemudian boleh juga tengok kawasan Makam Diraja Sultan Husin Kamaluddin.
Destinasi terakhir adalah untuk cari dan tengok Proboscis Monkey atau Monyet Belanda. Di Brunei sahaja ada jika di Asia Tenggara ini. Dapat tengok dari jauh sahaja, sebab dieorang duduk tinggi atas pokok. Jika dalam perjalanan ada rezeki, mungkin boleh jumpa buaya juga.


Sebelum tamat perjalanan, anda akan dibawa pusing Kampong Ayer. Boleh nampak lokasi dimana rumah-rumah didirikan diatas air. Kemudian boleh tengok sekolah, ada juga jabatan Bomba, Polis dan sebagainya.

Selesai pusing sungai, kita naik ke darat semula untuk nikmati hari minggu bersama Bandarku Ceria. Di Bandar Seri Begawan akan diadakan aktiviti Bandarku Ceria setiap hari Ahad. Jadi waktu ini juga tiada kereta yang lalu.
Akan ada banyak jualan dan aktiviti yang dilakukan dalam bandar ini. Katanya kalau ada rezeki, Sultan Brunei pun akan turun. Tapi masa aku hari tu, tiada pun.


Jadi kat sini, boleh cari pelbagai jenis makanan lokal, macam di Malaysia juga la lebih kurang. Tapi sempat beli Nasi Katok untuk buat breakfast. Dalam waktu yang sama juga bergambar di The Big Wall Brunei dan pusing satu bandar ni.

Tiba tengah hari, bergerak ke Gadong plak. Destinasi pertama adalah ke Gadong Mall. Tujuan utama sebab nak tengok Kahar : Kapla High Council di pawagam. Pertama kali masuk wayang luar negara iaitu di The Mall Cineplex. Harga tiket BND7 (~RM23). Mahal sikit lah.

Dah setel sini, jalan kaki ke Gadong Night Market iaitu pasar malam wajib singgah bila tiba di Brunei. Buka setiap hari dari 4 hingga 11 malam. Disini dijual pelbagai makanan dan minuman. Sekali lagi aku beli Nasi Katok bersama sambal hijau. Beli ayam goreng dan macam-macam lagi.

Sama seperti dari Bandar ke Gadong, aku naik bas sahaja. Sehari BND1, jadi pergi balik dalam BND2 sahaja. Bas ni kecil. Tapi yang guna adalah warga asing sahaja dan tourist. Orang lokal memang tak naik lah.

Sebab dah penat, aktiviti malam hanya di bilik sahaja.
Day 3 – Isnin
| Waktu | Aktiviti |
|---|---|
| 6.00 am | Masjid Omar Ali Saiffuddin |
| 8.00 am | BIBD Frame Brunei Darussalam |
| 9.00 am | Kampong Ayer |
| 11.00 am | Tamu Kianggeh |
| 1.30 pm | Lunch di Jollibee |
| 4.00 pm | Terbang pulang ke Kuala Lumpur |
Alhamdulillah, hari terakhir ini sempat untuk solat subuh berjemaah di Masjid Omar Ali Saiffuddin. Dalaman yang cukup besar yang mampu untuk memuatkan 3,000 jemaah dalam satu-satu masa.

Ticket flight pukul 4.00 petang. Jadi waktu pagi masih ada masa. Jadi taknak pergi jauh, kita pusing bandar sahaja. Singgah untuk ootd di BIBD Frame Brunei Darussalam. Masukkan masjid Omar Ali Saiffuddin dalam frame gergasi tersebut.


Kalau semalam pusing Kampong Ayer atas bot sahaja, tapi kali ini dapat jejak kaki atas ‘Venice of the East’, gelaran yang diberi kepada kepada kampung terapung ini. Aku singgah di Galeri pelancongan sahaja. Boleh naik mana-mana bot dengan harga BND1 sahaja.
Kemudian jalan-jalan sikit. Lepas teringat ada yang bagi tahu kat sini pun kadang-kadang ada buaya, aku tak berani jalan jauh atas titi kayu tu semua. Bergambar di bahagian jalan bersimen sahaja hahaha


Destinasi terakhir, singgah sebentar di Tamu Kianggeh. Tak jauh juga dari hostel. Walking distance. Sini nak cari barang lokal dan kraftangan. Macam-macam ada sini. Tapi aku datang minum dan cuci mata sahaja.

Selesai sini, terus check out dan ambil bas terus ke airport. Nasib baik ada bas, jimat dari naik Dart. Sebelum tiba waktu penerbangan, lunch dulu di Jollibee. Lalui proses check-in dan pulang ke Kuala Lumpur.
Brunei Sebuah Negara Kaya Tanpa Cukai
Bila travel secara solo ni, memang kita sepenuhnya bergantung kepada pengangkutan awam dan sebolehnya tidak termasuk kereta seperti teksi atau grab. Jika tidak, sekali gus akan menaikkan kos perbelanjaan.
Dari awal lagi dah research di Brunei ada bas. Dari pembacaan dan research, best sebab bayar ‘singgit’ je untuk satu kali perjalanan. Tetapi ternyata best tu hanya satu bahagian sahaja, selebihnya ‘disaster’.
Katanya bas beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam. Tapi pukul 5 petang dah tiada. Terkena masa di airport. Jadi terpaksa naik ‘grab’ dengan kos yang lebih tinggi.
Kemudian masa balik dari Gadong Night Market, hampir kena tinggal, sedangkan baru pukul 5.00 petang. Katanya bas terakhir. Nasib baik ambil keputusan balik awal. Tapi takpa la, pengalaman.
Secara keseluruhan, aku tengok Brunei terutamanya di Bandar Seri Begawan ni sama macam di Kota Kinabalu je. Orang sini pun cakap macam orang Sabah.

Bezanya banyak tulisan jawi, duit kena kali tiga dan ramai foreigners sahaja. Lagi satu, kat Brunei tiada cukai. Aku tengok resit Jollibee tiada cukai tertulis. Negara kaya, tapi rakyat hidup cukup la.
Setakat negara-negara aku pergi terutamanya Asia Tenggara seperti Filipina, Thailand, Indonesia dan Vietnam, aku rasa Brunei aku taknak repeat lah. Melainkan ada yang nak belanja, aku ikut je lah.
















1 thought on “Itinerari Ke Brunei (Bandar Seri Begawan) – Solo DIY Trip Untuk 3H2M”