Itinerari Ke Manila, Filipina Untuk 3H2M – Travel Secara DIY

By Aiman San

Published On:

Follow Us
Manila Filipina

Filipina menjadi negara keenam aku untuk siri travel dan jelajah ke negara-negara Asia Tenggara. Jadi aku nak pengalaman bersama itinerari ke Manila selama 3 Hari 2 Malam secara DIY.

Sekali lagi pergi travel sendiri, tanpa ejen. Selain itu juga, ini merupakan solo trip kedua untuk tahun 2025 selepas ke Sapporo pada Januari yang lalu. Dah pergi secara DIY, jadi kena buat research semua sendiri lah.

BACA JUGA : Itinerari Ke Sapporo, Hokkaido Untuk Merasai Salji Buat Pertama Kali

Trip ni aku pergi pada hujung Jun 2025 dengan persediaan kurang lebih 2-3 minggu. Manila menjadi satu-satunya destinasi aku di Filipina. Jadi sepanjang 3 hari, aku hanya berada di ibu negara Filipina.

Dokumen Wajib Yang Perlu Disediakan

Untuk info, bagi rakyat Malaysia yang ingin masuk ke Filipina tidak kira apa jenis urusan termasuk untuk travel atau percutian, anda wajib sediakan 2 perkara ini iaitu pasport dan eTravel.

passport dan etravel ke filipina

Pasport seperti biasa, mesti valid sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan selepas pulang ke Malaysia. Manakala eTravel, anda perlu isi dalam tempoh 72 jam (3 hari) sebelum ketibaan. Anda boleh buat di web https://etravel.gov.ph/ atau menggunakan aplikasi. Kena daftar akaun terlebih dahulu.

eTravel ni macam arrival card, tapi buat online sahaja. Nanti akhir sekali, anda akan dapat QR Code. Guna masa di airport nanti. Sebaiknya buat kat Malaysia terus. Banyak kerja sikit nak kena isi info semua.

Melalui pembacaan juga, ada yang bagi tahu perlukan juga bukti seperti tiket flight balik dan bukti penginapan. Tapi untuk pengalaman sendiri, pegawai imigresen takda tanya apa-apa pun. Proses seperti biasa. Btw, kat Filipina dapat cop passport.

Kos Perbelanjaan

Sebelum ke itinerari, aku nak share juga segala kos perbelanjaan untuk trip ke Manila ini. Macam biasa iaitu melibatkan kos kapal terbang, pengangkutan, penginapan, makanan, internet dan lain-lain.

1) Kos Penerbangan

Kalau dalam eTravel, dia ada 2 bahagian iaitu AIR dan SEA. Jadi mungkin ada yang datang ke Filipina naik feri. Tapi sebab aku datang sini naik kapal terbang, aku pilih AIR. Macam biasa, penerbangan dibawa oleh Air Asia.

Air Asia

Harga tiket flight return adalah RM706 tanpa luggage dan meal. Berlepas dari KLIA T2 dan mendarat di Ninoy Aquino International Airport (NAIA). Tempoh penerbangan adalah selama 4 jam 5 minit. Tapi rasanya hari tu, 3 jam setengah je dah sampai.

2) Kos Penginapan

Untuk penginapan ni, aku concern sikit terutamanya di negara seperti Filipina yang kita tahu keadaan negara ini macam mana. Jadi aku buat keputusan untuk cari lokasi dan hotel lebih baik dan selamat.

Dalam banyak-banyak pilihan, aku pilih Kabayan Hotel yang terletak di Pasay City. Ada 2 sebab ; lokasi yang dekat dengan LRT (EDSA Station) dan hotel yang nampak lebih cantik dan selamat, tapi masih dengan harga yang berpatutan.

Aku booking di Agoda dengan harga RM279 untuk 3H2M bagi Pad Premium Room iaitu untuk 1 katil dan sesuai untuk solo travel. Anda boleh juga buat perbandingan dengan Booking.com, trip.com, traveloka, klook dan sebagainya.

kabayan hotel pasay

3) Kos Pengangkutan

Bila bercakap pasal pengangkutan, dalam banyak-banyak negara aku pergi, Filipina ni antara yang terbanyak kot. Kat sini, anda boleh jumpa grab, move it (motor grab), motor tayar tiga (tricycle), legendary Jeepney, bas, teksi dan LRT. Tapi banyak-banyak ni, aku sempat naik LRT dan grab car sahaja.

Jeepney Filipina

Untuk grab aku guna untuk perjalanan pergi balik airport ke hotel sahaja iaitu sekitar PHP 446 (RM34). Untuk perjalanan dalam Manila, sepenuhnya aku guna kaki dan juga LRT. Hotel 2 minit dah sampai EDSA Station. Kos LRT sekitar 130 Peso (RM10).

4) Kos Makanan

Nak cakap cari makanan halal di Manila sebenarnya taklah susah, tapi leceh. Sebab makanan halal hanya ada di Quiapo. Dimana ada komuniti Islam disana iaitu di sekitar Masjid. Sini ramai muslim yang berniaga makanan lokal.

Jadi nak cari tak susah, cuma anda perlu pergi ke kawasan tersebut untuk makan. Untuk kos makanan, aku hanya cuba 1 jenis sahaja iaitu ayam bakar untuk hari pertama dan kedua. Harga 200 Peso (RM15) untuk 2 kali makan. Selain itu, boleh juga makan Potato Corner yang disahkan halal. Harga 82 Peso (RM7). Ada juga layan kopi (195 Peso = RM15)

Makanan Halal Di Manila

Selebihnya memang aku bawa dari Malaysia sahaja. Bawa megi, coklat, roti, mister potato, biskut dan lain-lain. Trip jimat namanya ni.

5) Kos Aktiviti

Untuk aktiviti, aku sempat pergi kedua tempat bersejarah iaitu di Intramuros. Aku dapatkan tiket masuk untuk ke Fort Santiago dan juga Baluarte de San Diego. Setiap tempat ini berharga 75 Peso (150 Peso = RM12)

6) Lain-Lain Kos

Sepanjang 3 hari disana, untuk sambungan internet, aku beli eSim dari Shopee iaitu dengan harga RM39 untuk 3 hari – BELI SINI. Selain itu, beli juga Takaful dari TripCare 360 Takaful dengan harga RM19. Beli souvenir seketul 120 Peso (RM9)

7) Jumlah Keseluruhan

Jadi jumlah keseluruhan (All-In) untuk kos perjalanan di Manila, Filipina adalah sebanyak RM1145 seorang.

Kalau ikut perbelanjaan ni, kos penerbangan paling tinggi. Mungkin boleh dapat lagi murah, kalau booking lebih awal. Jadi kalau tanpa flight ticket, RM439. Now dah tahu kos perbelanjaan, jom tengok full itinerari ke Manila, Filipina untuk 3 hari 2 malam secara DIY.

Full Itinerari Ke Manila, Filipina – Pertama Kali Jejak Kaki Disini

Tiket flight aku adalah pada pukul 8.10 pagi hari Rabu. Jadi aku buat keputusan untuk datang sehari awal dan bermalam di KLIA T2. Bas perjalanan dari Pahang pukul 7 malam. Jadi sampai KLIA T2 lebih kurang pukul 11.30 malam. Rehat, tidur diperkarangan dan mula terbang pada esok harinya.

Hari Pertama [Rabu]

WaktuDestinasi/Aktiviti
1.00 pmNinoy Aquino International Airport (NAIA)
2.00 pmCheck-in Kabayan Hotel
3.00 pmQuiapo Street
3.30 pmMasjid Al-Dahab
4.00 pmLunch
5.30 pmManila Baywalk

Landing je NAIA, selepas selesai urusan imigresen dan keselamatan semua, terus bergerak ke bahagian Grab. Kalau di airport, anda keluar je Arrival Hall dan terus menghala ke kiri. Disitulah tempat anda nak tunggu grabcar.

Menuju terus ke Kabayan Hotel untuk urusan check-in. Proses macam slow sikit, tapi berjalan lancar. Lepas dapat bilik, rehat beberapa minit dan solat jamak terus. Sebab perut dah lapar, tak makan tengah hari lagi, terus menghala ke Quiapo (Kee-ah-poo).

Quiapo Street

Ke sana boleh naik LRT sahaja. Kawasan sini ramai gila orang termasuk yang berniaga di tepi jalan. Misi aku ke kawasan Masjid Al-Dahab dimana terletakknya komuniti Islam atau Muslim Town. Disinilah anda boleh dapatkan makanan halal.

Muslim Town

Masjid Al-Dahab atau Manila Golden Mosque merupakan masjid terbesar di Manila. Walaupun ada kekurangan, tapi masih selesa untuk solat semua. Tak singgah lama disini, terus cari menu nak makan tengah hari sahaja.

Nak makan macam mana? Aku senang, kalau yang berniaga tu pakai tudung, aku masuk je. Kira halal la tu. Jadi dalam banyak-banyak menu, aku tertarik dengan ayam bakar sahaja. Jadi dapatlah kenyangkan perut seketika disini. Sos dia unik sikit, rasa pedas dan macam ada cheese. Ok lah Harga 95 Peso untuk 2 ketul. Di Quiapo juga, kena try air melon dia. Sedap gila.

Dah setel sini, terus ke kawasan tepi pantai di Manila Baywalk nak tengok sunset. Tapi sayang petang tu hujan, jadi sunset ada tapi sorok-sorok sikit. Jadi singgah sekejab dan terus pulang ke hotel selepas itu.

Manila Baywalk

Peak hour memang azab sikit kalau naik LRT. Selain ramai orang, disini tak macam tempat lain dimana, orang yang ingin keluar dari train akan diberikan keutamaan. Sebaliknya, kena pandai la selit-selit sebelum pintu tutup. Tak tahu la ada peraturan ke tidak. Lagi satu, setiap kali masuk station, ada security akan check bag yang dibawa. Sebaiknya powerbank simpan di badan dan bukan dalam bag.

Train LRT Manila

Hari Kedua [Khamis]

WaktuDestinasi/Aktiviti
12.00 pmFort Santiago
2.00 pmIntramuros
4.00 pmBaluarte de San Diego
6.00 pmRizal Park

Hari kedua, sekali lagi hujan di pagi hari. Sudahnya keluar tengah hari lepas solat. Misi hari ini memang untuk tengok sendiri hasil tinggalan sejarah di sebuah kota lama di tengah-tengah bandar Manila di Intramuros. Macam biasa, masih lagi boleh sampai kalau naik LRT.

Intramuros

Perjalanan bermula di awal kawasan iaitu di Fort Santiago. Disinilah terletak pintu gerbang bersejarah. Kalau di Melaka ada A Famosa, disini ada Fort Santiago. Tapi kawasan ini, kena bayar iaitu 75 Peso. Kawasan sini cantik. Berbaloi masuk dan bayar tiket. Tinggalan sejarah pun masih teguh.

Kemudian berjalanlah sepanjang kota Intramuros ni. Sebuah kota dengan reka bentuk Sepanyol. Ada cathederal, ada pejabat, ada muzium, tugu kedai cendera hati, starbucks, cafe hipster dan macam-macam lagi. Kat sini juga anda boleh sewa basikal dengan harga 100 Peso sejam. Boleh pusing satu kota. Besar juga sini. Tapi aku jalan kaki je lah.

Intramuros

Singgah di Starbucks sekejab dan teruskan perjalanan ke penghujung kawasan iaitu di Baluarte de San Diego. Disini terletak kawasan kubu lama. Nak masuk sini pun kena bayar 75 Peso, tapi hanya ada 1 kubu je dalam ni. Rasa macam tak berbaloi, tapi reka bentuk unik tu macam nice juga dan rugi pula tak masuk.

Baluarte de San Diego

Setel di Intramuros, pergi ke Rizal Park iaitu disebelah sahaja. Disinilah terletak tugu peringatan Jose Rizal, penentang kolonial Sepanyol pada zaman dahulu. Kawasan luas, sesuai untuk santai dengan keluarga disamping mengenali sejarah Fiilipina. Cuma masa aku datang, dia banyak contruction sikit. Kacau.

Dah hampir gelap, terus pulang ke hotel. Dalam perjalanan lah, cari makanan untuk dibawa pulang. Ada jumpa 1 kedai halal, pun menjual ayam bakar. Bawa la balik.

Hari terakhir, hanya menikmati suasana di area Hotel di Pasay dan EDSA. Malam-malam pun masih sesak dengan manusia, bising dengan bunyian hon kenderaan, aktiviti jual beli dan macam-macam lagi. Cuma kena hati-hati dengan pickpocket sahaja. Tapi alhamdulillah, sepanjang disana, tiada apa-apa berlaku.

EDSA Manila

Hari Ketiga [Jumaat]

WaktuDestinasi/Aktiviti
9.00 amCheck-out Kabayan Hotel
1.00 pmNinoy Aquino International Airport

Sebab hari terakhir ni, tiada apa-apa aktiviti yang boleh dibuat lagi. Lepas check-out dari hotel, terus ambil grab dan menuju ke airport. Selesaikan urusan drop luggage di kaunter Air Asia sebelum boarding.

Pukul 1.00 tengah hari, terus naik flight dan pulang ke Malaysia.

Pengalaman Berada di Kota Manila Yang Penuh Sesak

Filipina ni banyak lagi tempat menarik terutamanya vibe alam semula jadi. Tapi disebabkan aku pergi solo, rasanya tempat-tempat macam tu macam kurang sesuai. Jadi pilih bandar lebih mudah terutamanya untuk makanan halal dan pengangkutan.

Bandar Manila ni aku rasa boleh simpulkan macam Bangkok sikit. Orang ramai, kereta banyak, kabel elektrik berselirat diatas dan ramai berniaga di kaki lima. Cumanya pilihan makanan tak sebanyak seperti di Thailand.

Faktor keselamatan pun lebih kurang. Tapi so far tengok Manila ni ok je. Selamat je. Takda orang nak kacau pun. Cuma hati-hati dengan pencopet je lah. Rasanya ini dimana-mana pun ramai kecuali di Jepun lah.

Sebenarnya hari tu plan nak pergi SM Mall Of Asia yang mana antara shopping Mall terbesar di Filipina. Tapi tak sempat. Nanti kalau teringin nak datang Manila lagi, mungkin ini satu lagi destinasi kena datang.

itinerari ke Manila Filipina

Overall, Manila ada tempat-tempat menarik untuk dilawati. Masih ada pilihan makanan halal dan pelbagai jenis pengangkutan awam. Harga pun sedikit murah berbanding di Malaysia. Cash kena bawa lah. Kad kredit tu semua tinggal je lah.

Semoga itinerari ke Manila, Filipina ini berguna kepada anda terutamanya bagi mereka yang pertama kali ingin ke negara ini dan menjadi destinasi pilihan.

Join Telegram

Join Now

Leave a Comment