Barat sudah, Timur sudah, Utara pun sudah. Kini bahagian Selatan Jepun pula untuk aku jelajah iaitu di prefecture Fukuoka dimana terletak dalam pulau Kyushu. Dalam masa yang sama, aku buat juga day-trip ke Nagasaki dan Kumamoto.
Jika dibahagian Barat, macam biasa pelancong, termasuk aku akan jejak di Osaka atau Kansai Region. Jika di Timur sudah pastinya di area Tokyo dan Mt Fuji yang menjadi tarikan utama pelancong. Jika di Utara, iaitu di Hokkaido. Aku pernah pergi ke Sapporo.
BACA JUGA :
- Itinerari Ke Osaka-Tokyo-Mt Fuji Untuk DIY Trip Selama 9 Hari
- Pertama Kali Merasai Pengalaman Salji Di Sapporo, Hokkaido
- Jelajah Osaka-Kyoto-Nara-Kobe Dengan Kos RM3,500 Sahaja
Untuk dibahagian Selatan Jepun, tumpuan utama pastinya di Fukuoka yang menjadi pusat tumpuan utama. Disebabkan itu, aku menginap di Fukuoka dan dalam masa yang sama buat day-trip ke prefecture lain iaitu ke Nagasaki dan Kumamoto.
Trip Jepun kali ini, aku gerak secara solo iaitu ke Fukuoka-Nagasaki-Kumamoto untuk 7 Hari 6 Malam secara DIY. Itu termasuk waktu penerbangan. Secara betulnya, aku hanya berada selama 6 hari penuh di sana.

Kali ini aku pergi masa musim luruh (autumn season) pula iaitu pada awal Disember 2025. Pada awalnya nak merasai peak season autmun foliage. Tapi rasanya di dah sampai hujung-hujung dan daun sudah mula gugur. Tapi masih ada lagi daun Ginkco dan daun Maple yang tinggal. Ok la secara overal.
Dokumen Wajib Yang Perlu Disediakan
Sama seperti di tempat-tempat lain juga, sekiranya anda masuk ke Fukuoka, Jepun, hanya 2 dokumen atau perkara yang wajib anda sediakan iaitu pasport dan juga Visit Japan Web (secara arrival card).
BACA JUGA : Proses Imigresen Dan Kastam Di Airport Jepun

Untuk pasport, pastikan masih valid untuk 6 bulan sebelum tamat tempoh. Manakala untuk Visit Japan Web, anda boleh buat secara online di https://www.vjw.digital.go.jp/ pada bila-bila masa sebelum berangkat ke Jepun. Nak buat kat airport pun boleh, tapi leceh benda ni.
Selain itu, kali ini, aku sediakan dokumen tambahan (bukan wajib) iaitu ‘declare’ makanan yang dibawa. Sebab kali ini aku ada bawa Rendang Nyet Berapi iaitu asas makanan adalah ayam. Sebab aku declare, jadi aku sediakan salinan bahan-bahan yang digunakan.
Kos Perbelanjaan Keseluruhan
Seperti biasa, sebelum pergi ke perkongsian itinerari, aku akan share dulu segala kos perbelanjaan secara ringkas selama berada di Jepun. Menjadikan gambaran awal, berapa sebenanya kos nak pergi Jepun ni.
1) Kos Penerbangan
Untuk trip kali ni aku tak naik LCC (Low-Cost Carrier), tapi naik FSC pula iaitu Full-Service Carrier iaitu Vietnam Airlines. Disebabkan itu, aku hanya perlu bayar sekali sahaja untuk dapatkan full services iaitu tiket, bagasi dan makanan.


Aku dapat harga RM1090 return untuk penerbangan Kuala Lumpur-Hanoi-Fukuoka. Ya, ianya tiket transit yang perlu aku turun dalam 1-2 jam di Hanoi. Perjalanan dari KLIA T1, transit di Noi Bai International Airport dan akhirnya ke Fukuoka Aiport. Waktu balik pun, guna road yang sama.
BACA JUGA : Pengalaman Transit Di Hanoi Naik Vietnam Airlines
Selain tiket penerbangan, dengan harga tersebut, aku dapat bagasi 23-kg. Kemudian dapat juga makanan yang diberikan bagi setiap penerbangan. Sebab aku naik-turun flight, total dapat 4 kali makan untuk pergi balik. Jangan lupa untuk request Muslim Meals tau.
BACA JUGA : Cara Request Makanan Halal (Muslim Meals – MOML) Vietnam Airlines
Anda boleh buat tempahan terus menerusi laman web rasmi Vietnam Airlines atau macam sebelum ni, aku guna third-party platform iaitu Trip.com. Boleh dapat harga jauh lebih murah.
2) Kos Penginapan
Fukuoka tidak seperti Tokyo atau Osaka yang mana terlalu banyak pilihan untuk hotel atau hostel yang boleh ikut bajet kita. Aku rasa tak banyak hostel yang berpatutan terutamanya untuk 1pax aka solo traveler. Ini aku rasa dah paling murah.
Aku duduk di 2 tempat penginapan jenis hostel yang berbeza iaitu di The Millennials Fukuoka dan juga WellCabin Tenjin. Selain nak jimat kos sikit, aku nak merasa menginap di The Millennials sebenarnya.
Untuk The Millennials, aku pilih jenis bilik Theater Pod. Secara asasnya, bilik ini sama saiz untuk semua jenis bilik, cumanya beza dalam bilik jenis ini ada projektor untuk anda menonton di skrin besar.
Bilik jenis single pod yang hanya ada katil sahaja. Tapi menarik, katil tersebut boleh berubah kepada sofa. Lampur, aircond, katil yang semuanya dikawal melalui iPod yang disediakan. Anda dapat ruang sendiri dan tidaklah secara bertingkat. Sesuai untuk solo traveller.

Aku dapat harga RM328 untuk 3 hari 2 malam dengan tempahan dibuat menerusi aplikasi Agoda
Untuk penginapan kedua adalah di Wellcabin Tenjin yang terletak di Tenjin. Disini ada 2 jenis bilik iaitu Standard Cabin yang disusun secara bertingkat dan juga Private Cabin dimana anda ada ruang sendiri. Aku pilih jenis Private Cabin, sebab nak ruang privasi.
Dengan bilik jenis tersebut, aku dapat ruang katil, tv 20-inch, meja, kerusi, tempat gayut baju beserta almari. Cukup juga ruang untuk aku solat. Tidaklah terlalu besar, tapi cukup. Sesuai untuk solo traveller introvert.

Aku dapat harga RM978 untuk 5 hari 4 malam dengan tempahan dibuat di Agoda.
p/s : tempahan hotel di Jepun ni memang akan melambung tinggi pada hujung minggu. Bermula hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
3) Kos Pengangkutan
Sebab aku bergerak secara solo, jadi seperti biasa aku akan gunakan segala pengangkutan awam sepanjang perjalanan. Secara overall trip aku kali ini, aku guna train subway, limited express train, shinkansen, bas dan tram. Ianya merangkumi di Fukuoka, Nagasaki dan Kumamoto.


Aku ada guna 2 jenis pass iaitu Subway Day Pass dan JR North Kyushu Rail Pass (3-Hari). Selain itu, semuanya aku guna IC Card sahaja iaitu Suica Card yang ada dalam Apple Wallet. Jika di Kyushu, korang boleh beli Nimoca Card.
BACA JUGA : Cara Guna Suica Card Di iPhone (Apple Wallet)
Subway Pass harga 640 Yen (RM17). Manakala untuk JR North Kyushu Rail Pass berharga RM346. Subway pass boleh beli di mesin di train station dan Kyushu Rail Pass aku beli di Klook dengan harga lebih murah. Harga sebenar 15,000 Yen (RM395).
Selain itu, memang guna Suica Card sahaja. Tambah nilai atau topup, boleh dibuat terus dalam Apple Wallet. Sangat mudah dan cepat. Tak perlu pergi ke mesin untuk topup. Overall ini untuk kos pengangkutan:
- Subway Pass : RM34
- JR North Kyushu Rail Pass = RM345
- Suica Card : RM191

4) Kos Aktiviti
Untuk aktiviti berbayar, aku hanya pergi 2 tempat sahaja iaitu di Fukuoka Tower dan juga Nagasaki Atomic Bomb Museum. Selebihnya tempat-tempat yang aku pergi, semuanya free entrance, tak perlu bayar, masuk percuma.
Untuk Fukuoka Tower, tiket masuk adalah berharga 1,000 Yen (RM27). Untuk Nagasaki Atomic Bom Museum pula hanya berharga 200 Yen (RM5) sahaja. Semua ni aku bayar cash sahaja.

5) Kos Makanan
Antara kekurangan di Fukuoka adalah restoren makanan halal. Kat sini tak banyak, aku ada jumpa 2 sahaja. Tapi tak berkesempatan untuk datang cuba. Sebab datang je, mesti ramai yang beratur. Jadi biasanya memang makan makanan kombini sahaja.
Secara keseluruhan perbelanjaan makanan adalah lebih kurang RM215 sepanjang berada di Jepun. Average RM35 sehari. Ada juga bawa makanan tambahan seperti maggi, sambal dan kicap untuk tambah rasa.
6) Kos Shopping
Kali ini aku datang ke Fukuoka tak bawa banyak sangat baju, sebabnya aku buat keputusan untuk shopping disana. Jadi aku ada beli beberapa helai baju di Uniqlo dan GU. Kemudian shopping barang sikit, coklat, souvenir dan sebagainya. Habis dalam RM230.
6) Kos Lain-Lain & Jumlah Keseluruhan
Untuk kos lain-lain adalah melibatkan data roaming U Mobile berharga RM60 untuk 7-hari. Kemudian dapatkan perlindungan takaful daripada Etiqa berharga RM28.
Secara keseluruhan, perbelanjaan di Fukuoka adalah berjumlah RM3,489 seorang (All-in).
Itinerari Ke Fukuoka Secara Solo DIY – Termasuk Nagasaki Dan Kumamoto
Kali terakhir travel oversea naik di KLIA Terminal 1 adalah pada tahun 2023. Lepas tu, memang naik Air Asia sahaja yang terletak KLIA Terminal 2. Kini hujung tahun 2025, dapat merasa kembali vibe airport top 10 in the world.
Ini kerana, Vietnam Airlines terdapat di KLIA T1, jadi kena datang sini. Penerbangan adalah pada waktu malam, 1 Disember 2025 (Isnin). Secara keseluruhan tempoh perjalanan adalah selama 10 jam 25 minit. Transit di Hanoi dalam 3 jam 40 minit.
Untuk waktu pulang ke Malaysia pada pagi 8 Disember 2025 (Isnin), perjalanan ambil masa 10 jam 10 minit. Transit hanya 1 jam 55 minit sahaja, juga di Hanoi.
Day 1 (Selasa)
| Waktu | Aktiviti |
|---|---|
| 8.00 am | Fukuoka Airport |
| 12.00 pm | Tenjin Underground Mall |
| 3.00 pm | The Millennials Hotel (Check-in) |
| 6.00 pm | Canal City Hakata |
| 9.00 pm | Nakasu Food Stalls Street |
Segala proses imigresen di Fukuoka sama sahaja seperti di Tokyo atau Osaka yang pastinya menjadi tumpuan pelancong untuk masuk ke Jepun terutamanya orang Malaysia. Sediakan pasport dan visit web Japan. Kalau nak solat, boleh pergi ke prayer room di tingkat 4 atas daripada Departure Hall.

Anda akan tiba di International Airport Fukuoka. Untuk info, sekiranya anda ingin menggunakan train subway, terlebih dahulu anda perlu pergi ke Domestic Airport. Cara paling mudah, naik je shuttle bus yang disediakan secara percuma. Kemudian boleh terus sampai ke bandar Fukuoka.

Sementara tunggu untuk check-in di The Millennials, aku pusing-pusing dulu di sekitar Tenjin yang mana merupakan antara tumpuan dan pusat bandar di Fukuoka. Disini juga terdapat shopping bawah tanah. Boleh la cuci mata sambil keringkan dompet disini.
Selesai check-in dan bersiap, seterusnya bergerak ke salah satu shopping mall terbesar di Fukuoka iaitu Canal City Hakata. Selain tempat shopping, disini anda boleh nikmati persembahan air pancut (fountain show).



Otw pulang ke hostel, lalu diantara daya tarikan di bandar iaitu Nakasu Food Stalls Street. Mengenakan konsep gerai kecil yang dipanggil Yatai. Lalu sahaja, sebab dah one-way kan.
Sebab nak dekat Krismas, memang meriah bila malam di bandar Fukuoka dengan cahaya lampu.

Day 2 (Rabu)
| Waktu | Aktiviti |
|---|---|
| 9.00 am | Ohori Park |
| 11.30 am | Fukuoka Castle Ruins |
| 1.30 pm | Masjid Fukuoka |
| 3.30 pm | Momochi Seaside Park |
| 5.00 pm | Fukuoka Tower |
Maka bermulalah episod penerokaan Fukuoka. Lokasi pertama adalah di Ohori Park iaitu sebuah taman yang terkenal dengan tasik besar yang berada ditengah-tengahnya.

Port healing sesuai kat sini. Anda boleh pusing seluruh tasik atau melalui jalan tengah yang disediakan. Antara port cantik nak dapatkan daun autum disini.
Tak jauh dari sini, singgah sebentar di Fukuoka Castle Ruins yang merupakan tapak runtuhan istana. Fukuoka Castle dah tiada disini, hanya tinggal tapak, tembok istana dan pintu gerbang. Sini juga antara port menarik untuk musim autumn dan musim sakura.

Menjadi antara lokasi wajib jika ada trip ke luar negara adalah dengan singgah di Masjid. Jika di Fukuoka, terdapat satu masjid utama iaitu Fukuoka Masjid Al Nour Islamic Culture Center yang terletak di Higashi Ward. Solat Zohor dan Asar disini sebelum meneruskan perjalanan.

Selesai solat, terus bergerak ke Momochi Seaside Park untuk nikmati view pantai berlatarbelakangkan bandar moden dan bangunan ikonik iaitu Marizon yang mengenakan reka bentuk ala Mediterranean Eropah. Sini juga cantik untuk view sunset.

Tapi sebab dah sampai sini, kena lah naik Fukuoka Tower yang menjadi port aku view sunset pada hari tersebut. Harga tiket 1,000 Yen.
Dengan ketinggian 234 meter, anda boleh nikmati pemandangan bandar Fukuoka. Ingat nak tengok sunset, sudahnya kena halang awan je. Jadi nikmati je lah pemandangan malam dari kawasan tinggi. Sangat cantik pada waktu malam.


p/s : Disebabkan semua destinasi ini boleh sampai dengan menggunakan subway. Jadi aku beli Subway Day Pass sahaja dengan harga 640 Yen. Sangat berbaloi. Satu perjalanan berharga 200 Yen. Kalau naik lebih 3 kali dah jimat banyak
Day 3 (Khamis)
| Waktu | Aktiviti |
|---|---|
| 10.00 am | Sakurai Futamigaura (Itoshima) |
| 3.00 pm | Wellcabin Tenjin (Check-in) |
| 4.00 pm | Gundam Park Fukuoka |
| 6.00 pm | Lalaport Fukuoka (Shopping Uniqlo & GU) |
Daerah Itoshima juga menjadi antara tarikan utama di Fukuoka. Salah satu yang menarik disini adalah Sakurai Futamigaura dimana terdapat dua batu besar yang dipanggi Meoto Iwa (Batu Suami Isteri) beserta tori gate putih dihadapannya. View sini cantik gila.


Nak pergi sini agak jauh sikit dari bandar. Mula naik subway, kemudian naik bas yang mana kekerapannya adalah sejam sekali. Jadi kena well-planned bila nak berangkat dan pulang. Tapi berbaloi, jangan risau! Kena datang sini.
Dah selesai disini, kita check-in untuk tempat penginapan kedua pula iaitu di Wellcabin Tenjin, 10 minit jalan kaki dari The Millenials. Selepas selesai segala urusan, bergerak ke destinasi seterusnya iaitu di Lalaport Fukuoka.
Disini ada 2 tujuan iaitu shopping dan juga melawat Gundam Statue iaitu model RX-93ff v gundam. Ini menjadi gundam statue ketiga aku sempat jumpa di Jepun selepas 2 di Odaiba (Unicorn dan RX-78-2 yang lama).


Lalaport disini lebih tenang berbanding di Canal City Hakata. Sedap la sikit nak shopping. Kat sini just singgah di Uniqlo, GU, Gundam Base dan dan beberapa kedai lain.
Aku rasa gundam ni lagi cantik dan style berbanding di Odaiba. Bermula 10 pagi hingga 6 petang, iaitu setiap jam akan ada show pergerakan daripada gundam. Malam pula akan ada tayangan video.
Day 4 (Jumaat)
| Waktu | Aktiviti |
|---|---|
| 7.00 am | Hakata Station |
| 8.30 am | Kokura Castle |
| 10.30 am | Mojiko Station |
| 11.20 am | Kanmon Bridge |
| 11.30 am | Kanmon Pedestrian Tunnel |
| 1.30 pm | Mojiko Retro |
| 6.00 pm | Canal City Hakata |
Untuk 3 hari terakhir ini, aku buat keputusan untuk pergi ke destinasi yang lebih jauh sikit dari bandar.
Disebabkan itu, aku beli JR North Kyushu Rail Pass (3-day) bagi menjimatkan kos pengangkutan. Aku boleh naik JR local, limited express dan shinkansen tanpa had. Segala pergerakan adalah bermula di Hakata Station.
Untuk ke utara Fukuoka, perlu naik JR Limited Express. Dengan perjalanan lebih kurang sejam, aku tiba di destinasi pertama iaitu di Kokura. Satu tempat wajib jika datang sini adalah melawat Kokura Castle.

Istana ini dikatakan antara istana Jepun yang menarik dan agak rare dimana menara utamanya (tenshukaku) lebih lebar di atas. Dikelilingi sungai, banyak pokok maple dan ginkgo disini. Datang awal pagi, masih tak ramai orang. Tiket masuk berharga 350 Yen. Tapi aku tak masuk, bergambar kat luar pun dah cantik.
Selesai disini, teruskan perjalanan ke atas lagi iaitu di stesyen terakhir di Mojiko. Mojiko Retro merupakan kawasan pelabuhan bersejarah di Kitakyushu yang terkenal dengan seni bina dan susana vintage Jepun-Eropah.



Mojika Station sendiri masih mengekalkan rekaan kayu. Kemudian disini juga ada Blue Wing Moji (jambatan buka-tutup).
Banyak bangunan ikonik dengan seni bina retro yang masih untuh dan cantik. View selat Kanmon dimana anda boleh tengok banyak kapal-kapal besar lalu dan berlabuh disini. Semua tempat sini boleh jalan kaki secara santai.
Selesai disini, terus ke Kanmon Bridge. Tarikan utama disini bukan la jambatan ini, tetapi laluan pejalan kaki dibawahnya iaitu Kanmon Pedestrian Tunnel. Ya, disini anda boleh menyeberang dari Kyushu ke Honshu (Main Land Japan). Terowong pejalan ini kaki terletak dibawah laut.

Lebih menarik lagi, di tengah terowong bawah laut ini ada garisan sempadan rasmi iaitu antara Fukuoka Prefecture (Kitakyushu) dan Yamaguchi Prefecture (Shimonoseki). Sinilah port ambil gambar.

Dengan panjang terowong 780m, pada awalnya aku rasa takut. Takut gelap atau bunyi air laut kan. Ternyata perasaan itu melesat. Tunnel ni terang, kemudian siap ada aircond, bersih dan rasa selamat. Boleh lalu dari hujung ke hujung. Masuk percuma je jangan risau.
Kemudian dah selesai, barulah pulang semula ke bandar Fukuoka. Untuk info, sekiranya anda naik JR Sonic atau Shinkansen dari Hakata, anda kena stop dulu di Kokura Station. Kemudian baru naik local train ke Mojiko Station.
Day 5 (Sabtu)
| Waktu | Aktiviti |
|---|---|
| 7.00 am | Hakata Station |
| 8.30 am | Maruyama Park |
| 10.00 am | Takeo-Onsen Station |
| 10.22 am | Naik Two Stars 4047 |
| 2.00 pm | Muzium Nagasaki Atomic Bomb |
| 3.45 pm | Atomic Bomb Hypocenter Monument |
| 4.00 pm | Peace Park |
| 5.00 pm | Nagasaki Masjid |
| 6.00 pm | Pulang ke Fukuoka |
Salah satu benda best yang mungkin hanya ada di Kyushu sahaja adalah Sightseeing Train. Antaranya Yufuin No Mori, Aso Boy, A-Train, Two Stars 4047, Aru Ressha dan banyak lagi.
Hampir seluruh prefecture di Kyushu ada kereta api unik dan istimewa ini. Jadi disebabkan trip ini ke Nagasaki dan sudah ada JR Kyushu Pass, jadi aku naik Two Stars 4047 secara percuma.

Keunikan sightseeing train ini adalah reka bentuk luaran dan reka bentuk dalaman. Lain daripada yang lain. Selain itu, layanan istimewa juga diberi baik dalam atau di luar bagi setiap station yang berhenti.
Untuk Two Stars 4047 hanya ada 2 kali sehari sahaja iaitu waktu pagi dan waktu tengah hari. Bermula dari Takeon-Onsen Station ke Nagasaki Station dan sebaliknya. Aku decide untuk naik pagi iaitu jam 10.22 am.

Disebabkan itu, aku bertolak dari Hakata Station terus ke Takeon-Onsen yang terletak dalam prefecture Saga. Sebab sampai awal, jadi kita jalan-jalan dulu di Maruyama Park yang tidak jauh dari train station. Kat sini ada shrine lama je. Takda benda menarik pun. Kemudian jalan-jalan sekitar sehingga waktu tiba.

Sebelum memulakan perjalanan, akan ada welcoming show. Jadi kesemua penumpang Two Stars 4047 boleh layan tarian naga yang disediakan.
Perjalanan ambil masa lebih 2 jam berbanding kalau naik shinkansen yang hanya ambil masa 30 minit sahaja ke Nagasaki. Ini adalah disebabkan setiap train station ada event yang disediakan. Sangat best!






Jadi sekitar 1.30 petang sampai ke Nagasaki. Kalau datang sini, aku memang nak nikmati dan hayati sejarah Bomb Atom Nagasaki sahaja. Jadi terus ke muzium. Tiket masuk hanya 200 yen sahaja. Sama murah je macam tiket masuk Muzium Tsunami Aceh.
Jadi di Muzium Bom Atom Nagasaki inilah, anda boleh ketahui sejarah dan jalan cerita bagaimana bom atom dilepaskan di Nagasaki iaitu 3 hari selepas berlaku di Hiroshima.
Sangat sedih, terkejut, empati dan terdiam. Inilah kesan buruk perang. Datang Nagasaki, sangat rugi tak masuk muzium ni.


Kemudian tak jauh dari muzium, terdapat satu kawasan terdapat monumen Hypocenter dimana disitulah titik bom atom dilepaskan. Disebabkan itu, lebih 70,000 kematian dan berlaku kesan yang buruk pada sekitarnya ketika kejadian itu berlaku.

Tak jauh dari situ juga, terdapat taman yang diberi nama Peace Park. Menjadi satu simbol keamanan dunia. No more Hiroshima, no more Nagasaki. Macam-macam tugu ada disini yang masing-masing memperjuangkan keamanan. Memang ramai orang kat sini.


Selesai semuanya, sebelum pulang ke Fukuoka, singgah sebentar di Masjid Nagasaki yang mana tak jauh dari Muzium tadi. Untuk solat Jamak Zohor/Asar. Sudah selesai, barulah ke Nagasaki Station semula dan pulang menaiki Shinkansen pula. Lebih cepat dan pantas.

Day 6 (Ahad)
| Waktu | Aktiviti |
|---|---|
| 7.00 am | Hakata Station |
| 10.30 am | Kumamoto Castle |
| 11.30 am | Ninomaru Hiroba (Park) |
| 2.00 pm | Kumamoto City Int. (Prayer Room) |
| 2.30 pm | Torichosuji Station (Hot Spot) |
| 3.00 pm | Kumamon Square |
| 4.00 pm | Monkey D. Luffy Statue |
| 6.00 pm | Pulang ke Fukuoka |
Hari terakhir, aku pergi satu lagi perfecture baru dan tempat jauh dari Fukuoka iaitu di Kumamoto. Plannya pun nak naik satu lagi sightseeing train iaitu ASO BOY! dari Kumamoto ke Miyaji, tapi tak sempat. Jadi kita jalan-jalan di Kumamoto sahaja.
Dari Hakata Station terus naik shinkansen ke Kumamoto Station. Perjalanan dalam sejam sahaja. Sampai disana, terus ke Kumamoto Castle. Pada awalnya tak sangka sebenarnya istana ni masih lagi dibaik pulih selepas berlaku runtuhan masa gempa bumi 2016. Dah dekat 10 tahun masih belum selesai sepenuhnya.

Jadi memang jalan sekitar istana dan cari port menarik. Boleh bergambar dari Ninomaru Hiroba Park. Kat sini boleh bergambar berlatar-belakangkan istana dan boleh santai-santai kat sini. Nak masuk kawasan istana tu, kena bayar 800 yen. Aku tak masuk pun.

Selepas dah santai-santai ambil gambar semua, terus pergi ke Kumamoto City International Center untuk solat jamak zohor/asar. Kat sini ada prayer room, tapi tiada tempat wuduk, jadi boleh pergi tandas. Solat sini, sebab rasa tak sempat untuk ke Kumamoto Masjid.
Kemudian bergerak depan sikit ke Torichosuji Station dimana hot spot untuk ambil gambar tram station bersama Kumamoto Castle. Cantik gila kat sini. Ada daun-daun autumn sikit. Bertambah cantik.

Tak jauh dari sini, bagi siapa yang nak dapatkan souvenir Kumamon iaitu maskot rasmi bagi prefecture Kumamoto, boleh datang ke Kumamon Square. Macam-macam barangan ada, boleh dapatkan disini.
Dah selesai, barulah pergi ke destinasi terakhir iaitu di tugu Monkey D. Luffy. Kumamoto merupakan tempat lahir Eiichiro Oda iaitu pelukis One Piece. Disebabkan itulah, seluruh Kumamoto diletakkan tugu-tugu karekter One Piece. Lokasi jauh-jauh tau. Boleh tengok sini. Tak sempat pergi semua, cari Luffy sahaja. Sempat bergambar satu sahaja. Nanti kita datang semula untuk hunt tugu yang lain.


Kemudian barulah pulang ke Fukuoka semula dengan menaiki shinkansen lagi. Malam terakhir tulah, memang spent time di Hakata dan Tenjin sahaja. Tengok suasana malam sebelum pulang pada esok hari.
Day 7 (Isnin)
| Waktu | Aktiviti |
|---|---|
| 6.00 am | Hakata Station |
| 10.00 am | Fukuoka Airport |
| 7.00 pm | KLIA T1 |
Airport Fukuoka bukan 24 jam tau. Dibuka jam 5.30 pagi. Jadi jangan nak merancang untuk stay di airport. Nanti kena halau pula. Lagi pun dari bandar ke lapangan terbang tak jauh pun kalau naik subway train. 10 minit sampai dari Hakata Station. Kemudian naik shuttle bus ke International Airport.
Waktu penerbangan jam 10.00 pagi. Jadi pukul 7.30 pagi sudah sampai di airport untuk urusan check-in bagasi. Semuanya berjalan lancar terutamanya untuk urusan transit nanti. Untuk info, di arrival gate 33 ada prayer room disediakan.
Sebelum pulang, jangan lupa beli coklat royce. Harga dalam 1,125 yen atau sekitar RM30 sahaja. Boleh la rasa coklat high class dengan harga murah. Asyik makan coklat kapal je kan. Bawa balik ni jugak.
Fukuoka Aku Suka – Boleh Repeat Lagi Ke Perfecture Lain Plak
Orang cakap kalau dah level 5 Jepun, baru boleh datang Fukuoka plak. Jadi aku rasa aku dah hampir sampai situ kot hahaha Selepas pernah sampai di Tokyo, Osaka, Kyoto, Mt Fuji, Sapporo, jadi aku decide untuk pergi ke selatan Jepun iaitu di Kyushu untuk trip Fukuoka.
Tapi sebenarnya, bagi aku di bandar Fukuoka sendiri, tidaklah terlalu berbeza dengan bandar-bandar utama yang lain di Jepun. Masih pesat, banyak bangunan tinggi, ada taman-taman, ramai orang jalan kaki, tapi aku rasa tidaklah terlalu crowded.
Mungkin di Fukuoka ni tempat-tempat menarik tidak terlalu banyak, khususnya di kawasan bandar. Tourist spot kebanyakkannya jauh dari pusat bandar. Jadi kena lakukan perjalanan jauh atau day trip.

Disebabkan itu juga, sebenarnya di Fukuoka inilah aku dapat belajar sebenarnya cara menggunakan Pass dan train yang sebenar. Aku rasa, aku boleh bergantung sepenuhnya kepada jadual train dan map sahaja, tanpa menggunakan Google Maps.
Trip kali inilah, aku pandai nak nak baca timetable train dan bas, nak tengok arah perjalanan train, nak tempat researve seat, nak guna tiket shinkansen dan sebagainya. Dah hidup macam lokal plak.
Yang tak best, mungkin untuk restoren halal la. Ada jumpa, tapi tidak terlalu banyak. Tapi nasib baik ada pilihan untuk makanan kombini sama ada di 7eleven, lawson atau family mart. Tidaklah kebuluran kan.
Aku rasa boleh repeat lagi lepas ni. Banyak lagi kawasan Kyushu tak dapat teroka. Aku rasa juga, tak perlu pun nak driving, kalau pandai atur untuk guna JR Kyushu Pass ni. Lepas ni datang semula, mungkin boleh pergi ke tempat gunung berapi, lembah, kolam air panas (onsen) dan spot nature yang lain juga.
Semoga bermanfaat itinerari ini untuk untuk anda yang mungkin merancang untuk adakan trip ke Fukuoka lepas ni.

















4 thoughts on “Itinerari Ke Fukuoka Jepun Secara Solo DIY – Singgah Di Nagasaki Dan Kumamoto”