Nanti di Korea kalau naik train subway atau bas kena pakai Tmoney kan? Tapi ada yang bagi tahu lebih jimat kalau guna Climate Card. Tiba persoalan timbul, apa beza Tmoney dan Climate Card ni?
Tanda tanya ini biasa sekarang terutamanya bagi mereka yang pertama kali travel ke Korea. Jika tahun 2023 dan sebelumnya, rata-rata pelancong terutamanya dari Malaysia hanya tahu dan kenal Tmoney sahaja.
Mereka tahu fungsi Tmoney ni adalah seperti Touch ‘n Go di Malaysia. Anda gunakan kalau naik naik train atau bas bila di Korea. Jadi tak perlu lagi nak beli tiket satu-satu kalau nak guna di subway.
Tapi sejak 2024 sehingga sekarang, ada satu lagi kad yang mana fungsinya hampir sama dengan Tmoney iaitu bagi pengangkutan awam dan ada yang kata ianya lebih menjimatkan. Kad ini dipanggil Climate Card.
Secara rasmi, Climate Card telah diperkenalkan di Seoul pada Julai 2024. Sejak dari itu, penduduk Korea termasuk pelancong seperti anda yang ke Korea boleh menggunakan Climate Card. Tetapi Tmoney masih berfungsi seperti biasa.
Persoalannya sekarang, apa itu Climate Card? Kalau ianya berfungsi untuk naik pengangkutan awam seperti Tmoney, apa pula beza kedua-dua kad tersebut? Kalau nak pergi Korea nanti, nak beli yang mana satu?
Apa Itu Tmoney
Pasti ramai yang dah tahu berkaitan Tmoney. Ianya merupakan sebuah kad prabayar yang digunakan di seluruh Korea Selatan bagi tujuan membayar pengangkutan awam seperti bas, train dan teksi.
Bukan itu sahaja, kad ini juga anda boleh gunakan sebagai medium pembayaran di kedai serbaneka seperti CU, GS25 dan 7eleven serta tempat-tempat tertentu yang menerima pembayaran seperti cashless.

Anda hanya perlu recharge, topup atau tambah nilai kedalam kad ini dan anda sedia untuk menggunakannya. Kad Tmoney anda boleh dapatkan di kerdai serbaneka dengan harga bermula 3000 Won. Manakala anda boleh topup dengan nilai minima 1000 Won di mesin di train station.
Kemaskini terbaru, pengguna iPhone boleh dapatkan Tmoney secara digital menerusi Apple Wallet secara percuma. Meskipun begitu, fungsi topup hanya boleh melalui kad lokal Korea sahaja. Jadi anda kena topup di mesin.
BACA JUGA : Cara Guna Suica Card Di iPhone Ketika Travel Ke Jepun
Apa Itu Climate Card
Climate Card (Kad Iklim) adalah satu kad khas yang diperkenalkan bagi menggalakkan orang ramai menggunakan penggangkutan awam demi untuk mengurangkan pecemaran alam sekitar. Sesuai dengan namanya ‘climate’ atau ‘iklim’.
Dengan kad ini, anda boleh menaiki bas, subway train, feri dan basikal secara unlimited atau tanpa had. Anda boleh beli pas unlimited ride sama ada untuk 1-hari, 2-hari, 3-hari, 5-hari, 7-hari atau sehingga 30 hari. Kad ini anda boleh di kedai serbaneka seperti CU, GS25, 7eleven dan Emart24.

Akan tetapi, penggunaanya adalah terhad di dalam Seoul sahaja. Jadi dalam tempoh tersebut, anda bolehlah naik train atau bas banyak-banyak kali tanpa dikenakan caj berlebihan.
Apa Beza Tmoney dan Climate Card
Daripada definisi dan fungsi seperti diatas, mungkin anda dah tahu serba sedikit tentang perbezaan antara Tmoney dan Climate. Tapi nak share juga seperti dibawah :
1) Fungsi
Secara asasnya, Tmoney dan Climate Card kedua-duanya digunakan untuk pengangkutan awam seperti train, bas, feri dan basikal. Tetapi Tmoney berfungsi lebih pelbagai dimana boleh juga buat pembayaran di kedai serbaneka dan Climate Card tidak boleh.
Untuk menggunakan Tmoney, anda perlu topup dengan nilai minima 1,000 Won. Manakala untuk Climate Card hanya disediakan 7-pilihan pas sahaja seperti dibawah. Juga terdapat untuk pas bulanan dengan harga bermula 62,000 Won
- Pas 1-hari = 5,000 Won
- Pas 2-hari = 8,000 Won
- Pas 3-hari = 10,000 Won
- Pas 5-hari = 15,000 Won
- Pas 7-hari = 20,000 Won
Jadi boleh topup dengan nilai tetap seperti yang disediakan sahaja. Untuk Pas 1-hari, bermakna anda boleh guna sejurus selepas topup sehingga pada pukul 11.59 malam pada hari yang sama. Bukan ikut sistem 24 jam.
Kedua-dua kad ini, anda perlu ‘tap’ atau sentuh tempat yang sama pada gate. Perlu ‘tap in’ dan ‘tap out’ sama ada naik train atau naik bas. Selain itu, Tmoney kini sudah tersedia di Apple Wallet. Manakala Climate Card tiada.

2) Kawasan Penggunaan
Kawasan penggunaan juga antara perkara utama bagi membezakan antara Tmoney dan Climate Card. Umum mengetahui, Tmoney boleh digunakan di seluruh bandar besar di Korea, seperti Seoul, Busan, Incheon, Suwon, Gwangju dan banyak lagi.

Ini bermakna, anda hanya perlu dapatkan satu kad Tmoney sahaja untuk menjelajah di bandar-bandar besar seluruh Korea. Boleh naik train, bas, teksi dan pembayaran di convenient store.
Berbeza dengan Climate Card dimana penggunaanya terhad di bandar Seoul sahaja. Ini bermakna, hanya di Seoul sahaja anda boleh dapatkan Climate Card dan disini juga ianya berfungsi secara medium pembayaran pengangkutan awam.

Dalam Seoul, anda boleh guna Climate Card. Tapi jika anda berjalan atau travel luar dari Seoul, anda perlu menggunakan Tmoney. Boleh tengok sini senarai penuh kawasan yang boleh menggunakan Climate Card.

Kalau susah nanti, search je ‘Seoul’ di Naver Map atau Google Maps dan akan dipaparkan sempadan bandar Seoul seperti gambar dibawah:

3) Harga Kad
Harga kad untuk Tmoney bermula daripada 3,000 Won tanpa kredit untuk kad asas dan boleh mencecah sehingga 12,900 Won untuk kad jenis pelekat yang boleh dilekatkan di belakang telefon anda. Juga terdapat pelbagai jenis gambar yang anda boleh dapatkan.
Tmoney anda boleh beli di mesin di beberapa tempat train station atau di kedai serbaneka seperti CU, Emart24, GS25, 7eleven dan sebagainya. Di Incheon Airport juga terdapat mesin untuk beli Tmoney.

Manakala untuk Climate Card hanya terhad untuk kad asas sahaja iaitu berharga 3,000 Won tanpa kredit atau pas. Reka bentuk gambar hanya terhad untuk beberapa sahaja dan tiada kad jenis pelekat yang ditawarkan setakat ini.
Climate Card juga anda boleh dapatkan di kedai serbaneka. Untuk pengalaman, kad ini cepat sold out berbanding Tmoney. Jadi anda perlu usaha sikit untuk cari. Atau beli sahaja secara online di Klook. Nanti pickup di Incheon Airport.
4) Cara Topup
Meskipun kedua-dua kad ini mengenakan cara topup yang berlainan, tetapi masih menggunakan mesin yang sama di subway station iaitu di mesin ‘Ticket Vending and Card Reload’. Tmoney boleh topup di mesin dan kedai serbaneka, tetapi Climate Card hanya terhad di mesin sahaja.
Jika anda letak kad Tmoney anda pada bahagian ‘card reader’ di mesin, akan terpapar antaramuka khusus untuk kad topup. Jadi perlu masukkan jumlah sahaja dan buat pembayaran. Hanya boleh guna cash sahaja.

Untuk Climate Card, anda perlu juga letakkan di bahagian ‘card reader’ yang sama di mesin, kemudian terpapar antaramuka khusus untuk beli pas sahaja. Hanya perlu pilih 1-day, 2-day, 3-day, 5-day, 7-day atau 30-day. Kemudian buat pembayaran seperti biasa dengan menggunakan cash sahaja.

Dah selesai topup atau beli pas, anda boleh menggunakan seperti biasa. Nak naik train, bas, teksi atau basikal (Pas-30 hari).
Rancang Perjalanan Lebih Awal
Jadi kini anda sudah faham apa beza Tmoney dan Climate Card. Persoalan yang terakhir mungkin timbul adalah kad mana yang lebih berbaloi untuk digunakan terutamanya bagi yang pertama kali ingin ke Korea.
Sebenarnya kalau nak tahu kad mana yang lebih berbaloi, anda kena tentukan sendiri. Anda perlu rancang perjalanan lebih awal. Jadi sebaiknya anda rangka itinerari terlebih dahulu. Tetapkan destinasi mana yang ingin dituju.
BACA JUGA : Itinerari 7H7M Ke Seoul-Busan Untuk Trip DIY Secara Solo
Nak tahu kena naik line apa, berhenti di station mana, anda boleh menggunakan Naver Map sahaja. Boleh download di play store atau app store secara percuma. Aplikasi navigasi yang paling tepat jika anda pergi ke Korea. Google Maps tak berfungsi sangat.
Dari sini anda boleh rancang perjalanan dari lokasi A ke B dan sebagainya. Adakah ianya tertumpu dalam bandar Seoul sahaja atau akan ke luar kawasan? Dalam Seoul sahaja, boleh guna Climate Card. Tapi kalau luar kawasan Seoul, kena guna Tmoney.