Alhamdulillah setakat ini aku pernah naik Vietnam Airlines sekali iaitu penerbangan daripada Kuala Lumpur Ke Fukuoka, Jepun. Bukan pernerbangan terus (direct), sebaliknya perlu transit di Hanoi, Vietnam untuk seketika.
Jadi aku nak share sedikit pengalaman bersama Vietnam Airlines bermula daripada proses check-in, kemudian transit di Hanoi dan sehinggalah menikmati layanan dan merasai makanan yang disediakan sepanjang penerbangan.
Vietnam Airlines merupakan syarikat penerbangan Vietnam yang beroperasi sebagai full-service airline (FSA). Mereka menawarkan penerbangan domestik serta antarabangsa ke Asia, Eropah dan Australia.
Untuk senang faham, jika di Malaysia, VA ini adalah sama tahap dengan Malaysia Airlines. Selain daripada kualiti layanan dan hospitaliti yang disediakan, anda akan dapat meals atau makanan dan bagasi secara percuma dengan satu bayaran sahaja. Tak perlu add-on.
Best ke tidak Vietnam Airlines ni? Jom aku kongsikan pengalaman sendiri
Proses Manage Booking Dan Check-In Vietnam Airlines
Untuk trip ke Fukuoka, selepas mencuba third-party apps iaitu Traveloka, kali ini aku cuba satu lagi aplikasi pihak ketiga iaitu Trip.com. Tempahan tiket kapal terbang dibuat melalui aplikasi 3 bulan sebelum penerbangan.
BACA JUGA : Itinerari Ke Fukuoka, Jepun Secara Solo Untuk 7H6M
Selepas membuat tempahan menggunakan third-party apps, segala urusan seterusnya adalah melalui aplikasi rasmi syarikat penerbangan tersebut. Jadi lepas dah beli tiket, dah dapat No. PNR, anda boleh teruskan di laman web atau aplikasi Vietnam Airlines pula.
Langkah pertama, anda perlu pastikan No. PNR yang diperoleh sudah boleh digunakan untuk proses manage booking. Kena ada Last Name juga.
Jika berjaya, ini bermakna anda dah secure tiket penerbangan. Langkah seterusnya, anda boleh pilih seat terus. Sebab ini merupakan full-service airlines, anda boleh pilih mana-mana seat secara percuma. First come, first serve.
Dengan Vietnam Airlines, anda akan dapat 1 meals untuk 1 penerbangan secara percuma. Selepas itu juga, anda boleh buat permohonan untuk dapatkan Makanan Halal (Muslim Meals) – MOML. Boleh buat secara online sahaja.
BACA JUGA : Cara Mohon Makanan Halal (Muslim Meals) Vietnam Airlines
Jika anda naik Air Asia, anda boleh check-in dalam tempoh 14 hari. Jika naik Malaysia Airlines, dalam tempoh 48 jam. Tapi untuk Vietnam Airlines, proses check-in adalah dalam tempoh 24 jam sebelum penerbangan.

Daripada pengalaman ke Fukuoka dan transit di Hanoi, anda boleh check-in untuk route KUL-HAN sahaja. Manakala untuk HAN-FUK anda tak boleh check-in. Tapi jangan risau, memang macam tu. Anda hanya perlu ke kaunter di KLIA sahaja untuk check-in. Boleh terus dapat 2 boarding pass.

Selesai
Nikmati Makanan & Minuman Yang Disediakan
Trip ke Fukuoka ini ada transit, jadi terdapat 2 penerbangan untuk perjalanan pergi dan 2 perjalanan untuk penerbangan pulang. Secara total ada 4 penerbangan.
Untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Hanoi menggunakan pesawat Airbus A321 yang bersaiz narrow-body. Juga sama bagi perjalanan Hanoi ke Kuala Lumpur. Manakala untuk Hanoi Ke Fukuoka dan sebaliknya menggunakan juga menggunakan pesawat Airbus A321 bersaiz narrow-body. Kesemuanya satu lorong sahaja.
Disebabkan ada 4 kali penerbangan secara total, maka ada 4 kali juga makan. Sekiranya anda ada buat permohonan untuk Muslim Meals (MOML) atau apa-apa jenis makanan, anda akan dihidangkan terlebih dahulu berbanding makanan biasa.
Secara overall, aku rasa aku dapat 2 jenis makanan sahaja. Makanan masa KUL-HAN, HAN-FUK dan HAN-KUL adalah sama. Hanya penerbangan FUK-HAN sahaja makanannya yang diberi sedikit berbeza.
Untuk makanan pertama, mereka hidangkan makanan ala beriani, nasi kuning bersama ayam masak kari. 3 kali makan makanan yang hampir sama, tapi berbeza side-dish. Kadang ada sayur, ada roti dan buah-buahan. Tapi jangan risau, semuanya sedap!

Bagi makanan dari FUK-HAN, mereka bagi macam ala nasi ayam beserta sayur kobis hancur. Side-dish ada kacang kuda beserta sayur, roti dan kitkat. Ianya lebih kering berbanding menu sebelumnya, tapi masih sedap. Boleh makan.

Untuk minuman, anda boleh request seperti yang disediakan. Ada jus fresh oren, just epal, disamping air gas seperto Coke dan Sprite. Air mineral pun ada, jangan risau jika anda tidak minum manis.
Akhir sekali selepas hidangan utama siap dihidang kepada semua penumpang, akan ada after-meal drink iaitu antara teh dan kopi. Untuk cadangan, anda boleh cuba kopi, sebab mereka serve kopi vietnam rasanya. Sedap!
Secara keseluruhan makanan dan minuman daripada Vietnam Airlines sangat baik dan sedap. Jika anda ada peluang untuk naik airlines ini, jangan lepas kan peluang untuk rasa. Jangan tidur plak, nanti makanan tersebut dibuang sahaja.
Pengalaman Sepanjang Dalam Penerbangan
Ini merupakan airlines full-service pertama aku sejak 2 tahun kebelakang. Biasanya aku travel hanya naik Air Asia sahaja iaitu syarikat penerbangan tambang murah. Dengan VA, pastinya akan ada kelebihan bagi setiap perkhidmatan yang disediakan.
Biasa naik AA, kerusi sempit je kan. Lepas dapat naik VA, ruang kaki dan saiz kerusi lebih luas dan pastinya lebih selesa. Tak rasa penat pun even terbang dalam tempoh yang lama. Inilah yang paling obvious sepanjang penerbangan.

Lepas semua penumpang dah duduk di seat masing-masing, pramugari akan berikan tisu basah dan kacang bagi setiap orang. Boleh bersihkan diri sikit sebelum pesawat terbang. Ini biasa daripada full-service airlines.
Sebab penerbangan ke Fukuoka ini, Vietnam Airlines menggunakan pesawat narrow-body sahaja, maka tiada infotainment di setiap kerusi. Hanya ada tv yang disediakan dibeberapa bahagian sahaja untuk tayangan safety briefing. Pramugari tak buat demonstrasi keselamatan secara manual tau. Kena tengok pada tv atas yang disediakan.

Untuk layanan daripada stewardess pun baik, even aku tak guna sangat pun khidmat mereka, tapi masih baik apa yang aku perhatikan secara keseluruhan. Pakaian seragam wanita pun cantik, warna Turquoise, tapi pakaian lelaki biasa je, kemeja putih dan seluar hitam.
Dalam pesawat pun, aircond sejuk. Siap ada bagi selimut dan bantal kecil lagi. Tandas pun ok. Secara overall, memang lebih baik daripada kapal terbang tambang murah lah. Puas hati!
Transit Di Hanoi Sebelum Ke Jepun
Untuk transit, aku kena turun di Noi Bai International Airport untuk kedua-dua perjalanan. Tiada masalah pun kalau kena transit di Hanoi, kerana masih di Terminal 2 yang sama dan juga lapangan terbang pun tidak terlalu besar.

Kalau nak gambarkan, anda akan keluar daripada pesawat dan masuk ke airport melalui tingkat 1. Kemudian anda berjalan kearah transit check-point yang mana ianya masih airport yang sama, tapi di tingkat 3.
Selain itu, untuk transit, anda tidak perlu melalui Imigresen pun. Tak perlu cop pasport dan sebagainya. Hanya perlu melalui security sahaja. Disini anda perlu bukan tali pinggang, keluarkan semua barangan di badan, scan cabin bag dan sebagainya.
Kalau nak cakap daripada pengalaman, tempoh proses semua ini paling lama pun dalam tempoh 20 minit sahaja. Dah selesai.
Tapi untuk penerbangan aku ni, ketika ke Fukuoka, aku stop selama 3 jam 30 minit. Manakala ketika pulang, hanya stop dalam tempoh 2 jam sahaja. Kedua-dua tempoh ini, sebenarnya anda masih lagi boleh layan kopi vietnam, boleh lepak-lepak lagi.

Masa ini juga, aku sempat solat iaitu ketika perjalanan pulang. Cumanya di Airport Hanoi ni tiada surau, jadi kena solat dimana-mana ruang yang tidak mengganggu orang lain la. Tandas pun tiada bidet. Kena bawa sendiri.
Berbaloi Ke Naik Vietnam Airlines?
Secara overall, dengan tanda harga RM1,090 all-in ketika naik Vietnam Airlines, aku sangat puas hati. Ruang pesawat dan seat lebih luas, makanan halal sedap, dapat check-in bagasi 23-kg, layanan staff dan pramugari pun baik.
Bukan itu sahaja, ketika transit pun tiada berlaku apa-apa masalah yang tidak diingini. Segala urusan smooth sahaja. Even aku datang secara solo, tapi aku rasa kalau bergerak bersama family dan anak kecil pun tiada masalah pun.
Kalau terpaksa cerita benda tak best, mungkin hanya di Hanoi Airport je la, sebab tiada surau disediakan. Tapi itu bukanlah perkara buruk. Traveller muslim boleh je la solat kat mana-mana. Dieorang tak kisah pun. Yang penting jangan ganggu laluan orang ramai.
Lepas ni, tengok harga penerbangan, kalau lebih kurang dengan Air Asia je, baik naik Vietnam Airlines ni, even kena transit pun. Tapi kalau VA jauh lebih mahal, kita teruskan terbang dengan AA je lah. Lebih jimat kan.

Mungkin lepas ni kalau berkesempatan untuk pergi Jepun lagi, boleh try naik Philipines Airlines (PAL) pula. Akan transit di Manila. Katanya harga pun boleh dapat murah kalau pergi ke Osaka/Tokyo.











3 thoughts on “Pengalaman Naik Vietnam Airlines Ke Jepun Dan Transit Di Hanoi”