Dalam banyak-banyak itinerari dalam olacuti.com, mungkin itinerari ke Jakarta ini lain dari yang lain sikit. Pergi travel luar negara bukan untuk bercuti semata-mata tetapi ianya merupakan trip makan-makan atau food hunting.
Jakarta sememangnya terkenal dengan destinasi pelancongan utama di Indonesia. Selain daripada liburan ke tempat-tempat menarik, sebenarnya di Jakarta juga best kalau anda datang untuk trip makan-makan.
Jadi aku berpeluang untuk datang kali kedua ke Jakarta dan kali ini sememangnya aku datang untuk makan sahaja. Trip Jakarta-Bogor sebelum ini aku dah pergi tempat-tempat pelancongan dan kali ini aku datang semula untuk makan dan shopping sahaja.
Ini merupakan trip kedua aku untuk tahun ini. Untuk tarikh tepat, aku pergi selama 4H3M iaitu dari 15-18 Ogos 2026 secara solo. Seperti biasa aku pergi secara DIY sahaja. Semua tempahan dibuat sendiri.
BACA JUGA : Trip Pertama 2026 Ke Tokyo Nikmati Musim Sakura
Kos Perbelanjaan
Sebelum kita tengok itinerari ke Jakarta dengan lengkap, aku nak breakdown sikit keseluruhan kos perbelanjaan melibatkan tiket penerbangan, pengangkutan, penginapan dan harga makanan yang aku sempat cuba.
i) Kos Penerbangan
Untuk trip Jakarta kali ini, aku menggunakan 2 jenis syarikat penerbangan yang berlainan. Aku memang nak cuba kedua-duanya dan kebetulan tiket tidaklah terlalu mahal meskipun beli asing-asing.
Untuk penerbangan Kuala Lumpur-Jakarta, aku pilih Transnusa. Sebuah syarikat penerbangan tambang murah Indonesia. Jika di Malaysia dia sama level dengan Air Asia. Ramai yang kata no bad syarikat ini, jadi aku cuba lah.
Aku dapat harga RM364 sehala bersama dengan check-in luggage 20-kg secara percuma menerusi aplikasi Agoda. Sebenarnya boleh dapat murah lagi kalau pilih Air Asia, tetapi sebab nak merasa je.


Kemudian untuk penerbangan pulang Jakarta-Kuala Lumpur, aku pilih syarikat premium iaitu KLM Royal Dutch Airlines. Tempahan dibuat menerusi aplikasi Hopegoo dengan harga RM243 sehala. Tiada check-in luggage, tapi dapat 12kg carry-on baggage dan dapat makanan dalam flight.
BACA JUGA : Daftar HopeGoo DISINI Untuk Dapatkan 1200 G-Coins – Masukkan kod referal N23A5L

Jadi total penerbangan aku untuk Kuala Lumpur-Jakarta-Kuala Lumpur adalah berharga RM607 seorang. Tiada penambahan bagasi mahupun beli makanan dalam pesawat. Itu sahaja yang dibayar.
ii) Kos Penginapan
Sebab kos penerbangan macam dah lepas perbelanjaan minima, jadi aku decide untuk pilih penginapan yang sederhana tetapi masih selesa. Kalau tak aku nak juga menginap di hotel 3-bintang dengan harga yang berpatutan.
Sebab nak cari harga lebih murah, aku decide duduk di hotel ala kapsul. Aku bermalam di Bobopod Thamrin, Jakarta untuk 4 hari 3 malam dengan harga RM178. Tempahan sekali lagi dibuat menggunakan Hopegoo.


Lokasi sangat strategik dimana berdekatan dengan stesen MRT Dukuh Atas dan stesen Sudirman Baru untuk airport train. Selain itu, walking distance juga untuk Plaza Indonesia dan Grand Indonesia serta Thamrin City.
iii) Kos Pengangkutan
Sepanjang trip di Jakarta aku ada guna airport train, MRT dan Gojek sahaja. Taknaik Grab atau Thunderbird sebab pergi solo. Tapi ramai yang bagi tahu Grab kat Indonesia memang murah, boleh guna.
Untuk airport train aku naik dari Bandara Hoekarno-Hatta International Airport ke stesen Sudirman Baru dengan harga IDR 85,000 sehala atau IDR 170,000 untuk tiket pergi balik (~RM39).

Untuk naik MRT di Jakarta, anda perlukan kad e-money yang mana anda boleh beli di kedai serbaneka seperti Indomaret dan Alphamaret dengan harga IDR 30,000 (~RM7). Kemudian topup IDR 20,000 (RM5). Guna sampai habis.

Seterusnya banyak menggunakan kenderaan motosikal dengan menggunakan Gojek. Secara keseluruhan lebih kurang IDR 87,900 (~RM20). Paling murah dapat 9,000 rupiah je, sebab masa tu malas nak jalan. Penat dah hahaha

Jadi jumlah keseluruhan untuk kos pengangkutan adalah sebanyak RM71.00 seorang.
iv) Kos Makanan
- Iga Penyet = IDR 135,000
- Mark’s Creamy Ice Cream = IDR 38,500
- Ayam Becek Legendaris = IDR 82,500
- Kenangan Heritage = IDR 48,000
- Nasi Goreng Kambing Kebon Sirih = IDR 88,000
- Chikuro = IDR 39,000
- Nasi Goreng Bebek Solaria = IDR 86,000
- Remboelan = IDR 236,500
- Harlan + Holden = IDR 60,000
- Lain-lain = IDR 50,000
Jumlah keseluruhan untuk kos makanan dan minuman sepanjang di Jakarta adalah IDR 863,500 atau sekitar ~RM200 seorang
v) Kos Lain-Lain
Untuk lain-lain kos hanya melibatkan tiket wayang, roaming internet dan takaful perjalanan sahaja :
- Tiket wayang = IDR 150,000 atau sekitar RM35
- Roaming U Mobile = RM30 untuk 2gb/hari selama 5 hari
- Takaful Etiqa360 = RM19 (Silver)
vi) Jumlah Kos Keseluruhan
Jadi jumlah keseluruhan bagi kos perbelanjaan untuk trip Jakarta adalah sebanyak RM1,140 dan tidak termasuk shopping.
Itinerari Ke Jakarta Untuk 4 Hari 3 Malam Untuk Trip Makan-Makan
Nak disclaimer awal-awal dimana itinerari ke Jakarta ini tiada langsung tempat menarik yang aku pergi. Sebagai contoh kalau di Jakarta, anda boleh pergi ke Monas, Kota Tua Jakarta, Masjid Istiqlal dan banyak lagi. Hanya ada tempat-tempat makan yang sedap sahaja.
BACA JUGA : Wajib Isi All Indonesia Sebelum Ke Indonesia. Ini Cara Isi.
Jadi nak tahu tempat makan apa yang best, boleh baca itinerari ini.
Day 1 (Sabtu)
Penerbangan aku menggunakan Transnusa adalah daripada KLIA T1 dan turun di Soekarno–Hatta International Airport (CGK) Terminal 3 iaitu terminal terbaru dan terbesar di airport Jakarta. Betul la orang cakap, Transnusa ni terkenal dengan delay. Dah kena lewat 1 jam. Disebabkan kelewatan ini, aku terpaksa tukar sikit itinerari. Maka jadilah seperti dibawah.

Sejurus tiba di Jakarta, aku terus ke stesen Airport Jakarta untuk menaiki Airport Train dan terus turun di stesen Sudirman Baru dimana terletaknya Bobopod iaitu tempat penginapan aku selama 3 malam. Sampai lebih kurang pukul 6.00 petang.
Dah siap check-in dan persiapkan diri semua, pukul 7.00 malam terus ke Grand Indonesia (GI) yang terletak tidak jauh daripada tempat penginapan aku. Boleh jalan kaki dalam 10 minit sahaja sambil melihat kesesakan lalu lintas sepanjang jalan Sudirman hingga ke Bundaran HI.
Di Grand Indonesia aku plan nak makan Iga Penyet (Tulang Rusuk) di Leko. Jadi untuk dinner aku order Iga Penyet Pedas bersama nasi putih dengan Teh Ais sahaja. Untuk harga secara total adalah IDR 134,452 (~RM31).


Sampai-sampai Indonesia je dah rasa makanan yang best. Rasa lembut daging bahagian tulang rusuk bersama sambal penyet pedas. Ada kicap disediakan. Makan pula bersama nasi putih panas. Sedap gila! Boleh repeat kalau datang lagi.
Jadi sebelum pulang ke hostel, nak hilangkan rasa pedas Iga Penyet, kita makan aiskrim dulu. Disini terdapat satu kedai aiskrim yang popular juga lah iaitu Mark’s Creamy.

Beli 1 scoop perisa aiskrim coklat je. Cup dia cantik, boleh la bawa balik jadikan souvenir. Dia rasanya level Baskin Robin kalau di Malaysia, cuma murah sikit iaitu berharga IDR 38,500 atau sekitar ~RM9.00.
Dah siap makan semua, terus pulang ke hostel. Sebab malam minggu, tempat penginapan aku tu meriah la dengan orang ramai. Perut dah kenyang, just lepak-lepak sambil tengok kerenah manusia je la malam tu.
Day 2 (Ahad)
Itinerari ke Jakarta diteruskan lagi untuk hari kedua. Rupanya Jakarta sama sahaja seperti di Kuala Lumpur dimana setiap hujung minggu akan berlangsung ‘Car Free Day’ di dalam bandar. Kebetulan depan hostel aku tu memang laluan CFD. Jadi pagi tersebut, aku bermula dengan aktiviti sihat.


Aku slow jog daripada hostel aku, terus jalan melalui Bundaran HI dan sehingga ke Sarinah. Sepanjang perjalanan memang tiada satu pun kenderaan dan macam-macam aktiviti berlangsung.
Orang jogging, naik basikal, pakai roller blade, ada yang menyanyi dan juga ada pasar pagi. Jadi dah penat buang kalori, boleh juga tambah kalori semula selepas itu. Sempat la merasa strawberry kunafa dan air teh tarik.

Selain daripada food hunting di Jakarta, tujuan aku ke sini adalah untuk dapatkan sepasang kasut On Cloud. Aku tak pergi ke official store yang berada di Ashta District 8, tapi aku pergi ke JD Sport Senayan City. Sebab di JD Sport tengah buat promosi.
Tapi hampa, sebab cawangan tersebut model yang aku nak tu takda stock. Dah jauh datang naik MRT semua, tengok takda plak. Sebab dah sampai waktu lunch, jadi aku makan dulu di mall tersebut. Dah plan memang akan singgah di Ayam Becek Legendaris.

Restoren ini sangat terkenal di Blok M. Memang kalau datang sentiasa penuh. Tapi sekarang dia dah buka di Senayan City iaitu di bahagian food court. Jadi aku cuba try test cadangan makanan wajib bila di Jakarta.
Aku order pakej Nasi Ayam Becek Legendaris Paha Jumbo bersama Es teh manis. Anda akan dapat nasi putih, ayam becek potongan peha jumbo (suku), sambal rica bara dan krim ketumbar dengan harga IDR 82,500 (~RM19).

Untuk aku, Ayam Becek ini merupakan makanan paling sedap antara semua makanan yang aku try selama di Jakarta. Ayam bakar ‘berjus’ bersama nasi putih. Paling sedap makan dengan krim ketumbar. Sedap amat! Ayam besar dia bagi, tapi nasi, sambal, krim semua sikit plak. Tak cukup weh. Anda wajib cuba kalau pergi Jakarta.
Dah selesai lunch, pusing-pusing mall kejab dan singgah minum petang di Kenangan Heritage. Kat sini aku order Matcha Latte sahaja. Harga IDR 48,000 (~RM11). Dah setel semua barulah pergi ke shopping mall Central Park untuk jadi kasut On Cloud aku. Cawangan lain JD Sports.

Sebab waktu ni masa peak hour orang balik kerja, aku decide naik Gojek je kat sana. Kena lah caj IDR 22,000 (~RM5). Tapi ok lah tak perlu hadap jem kereta terlalu panjang dan boleh sampai beberapa minit sahaja.
Dah sampai di Central Park, terus ke JD Sports dan alhamdulillah ada model kasut yang aku nak tu. Aku beli kasut ON Cloudnova Form 2. Harga asal IDR 2,800,000, tapi sebab ada diskaun + promosi sempena Merdeka Indonesia. Jadi total harga dapat IDR 1,650,000 atau RM377.

Datang shopping mall ni jauh-jauh memang semata nak beli kasut je. Dah dapat, terus balik ke hostel. Naik Gojek juga.
Untuk dinner, baru la cuba tempat local iaitu Nasi Goreng Kambing Kebon Sirih yang mana terletak berdekatan Monas. Naik Gojek juga. Dia macam gerai je, buka kat lorong tepi bangunan. Ramai juga local people suggest kedai ni. Lagi pun memang ramai orang.
Order nasi goreng kambing bersama air alpukat dengan harga IDR 88,000 (~RM20). Tapi sayangnya bagi aku ini antara makanan paling tak best aku rasa sepanjang di Jakarta. Rasa biasa nasi goreng dan ada daging kambing, cumanya takda langsung rasa pedas. Lepas tu tambah spoil jus alpukat macam rasa buah pahit dan tak rasa segar pun. Kecewa sungguh.



Tempat ramai orang, panas, rasa pun biasa je dan kemudian air pula rasa tak fresh. Tapi ok la, portion banyak. Kenyang malam tu. Then terus balik hostel.
Day 3 (Isnin)
Hari ketiga ni adalah jatuh pada sambutan Hari Merdeka Indonesia yang ke-81 iaitu pada 17 Ogos. Jadi pagi tu, aku naik MRT sekali lagi untuk ke Blok M plak. Antara tempat wajib kalau nak cari makanan viral di Jakarta.
Turun je daripada MRT Blok M BCA, masuk ke Plaza Blok M terlebih dahulu. Disini hanya satu tujuan sahaja nak cari Chikuro. Aku tak tahu nak order apa. Tapi staff suggest Signature Japanese Truffle + mild untuk spicy level + gralic sauce. Harga adalah IDR 39,000 atau RM9 sahaja untuk saiz L.
Rasa sedap beb! Dia macam makan hotdog saiz besar tapi rasa rangup. Sos garlic pun sedap dan tidak terlalu pedas. Ngam gila. Rugi tak bawa balik Malaysia. Ramai juga orang Malaysia buat ps bawa balik Chikuro ni. Kenyang juga, sebab saiz dia besar.

Dah selesai Chikuro, barulah turun dan jalan ke kawasan Blok M yang lain. Kat sini memang banyak gila restoren, cafe dan tempat makan. Macam-macam la boleh jumpa jenis makanan. Ada yang beratur panjang. Tak sanggup weh sebab nak beli makanan punya pasal.
Selain Plaza Blok M, ada juga Blok M Hub, Mal Blok M, Blok M Square dan macam-macam lagi. Aku just pusing-pusing beli air sikit. Sebab waktu ni panas sangat. Tak sanggup nak jalan lama.

Kalau datang Blok M boleh cari Cap Roti Buaya, Scarlett’s House, Busy Cheese Cafe, Toko Kopi Tuku, Woodpecker Coffee, TERU, Artirasa, Ayam Becek Legendaries dan banyak lagi.


Dah selesai kat Blok M, pergi ke destinasi seterusnya iaitu di Plaza Indonesia (PI). Lokasi betul-betul depan Grand Indonesia. GI merupakan shopping mall paling mewah di Jakarta. Dalam ni pergi solat di surau sambil jalan-jalan cuci mata sahaja.
Dah petang sikit, jalan kaki ke Thamrin City pula yang mana terletak bersebalahan dengan Grand Indonesia. Biasa orang datang shopping pakaian kat sini, tapi aku datang nak makan iaitu di Solaria.
Dikatakan di Solaria terdapat lebih 150 jenis menu makanan dan minuman yang disediakan. Menu banyak, tapi takda langsung gambar. Tak tahu rupa macam mana makanan tersebut.
Jadi berbekalkan cadangan pengguna Tiktok, aku order Nasi Goreng Bebek + telur dadar bersama fresh oren dengan harga IDR 86,000 (~RM20) sahaja. Rasa dia ok je, tiada yang unik pun. Yang penting sedap dan perut kenyang.

Dah selesai makan petang, nak cuba plak tonton wayang atau bioskop di Indonesia. Aku pilih cinema XXI yang terletak di Agora Mall. Pilih jenis seat The Premier untuk menonton filem The End Of Oak Street. Harga 150,000 atau sekitar RM34 sahaja.


Setel tengok wayang, aku disajikan pula dengan persembahan kereta berhias sempena Hari Kemerdekaan Indonesia di sepanjang jalan Sudirman hingga ke Bundaran HI. Tak cukup dengan itu, ada plak konsert free. Layan Kicau Mania kita malam tersebut. Puas hati.


Day 4 (Selasa)
Untuk itinerari ke Jakarta hari terakhir memang berada di kawasan sekitar je, tak pergi jauh. Flight berlepas 7.30 malam, waktu check-out hostel 12.00 tengah hari. Jadi masih banyak masa sebelum pergi ke airport.
Lepas check-out, simpan luggage dahulu di Bobopod dan kemudian terus ke Plaza Indonesia untuk nikmati juadah makan tengah hari di Remboelan. Di Malaysia ada Rembulan, di Indonesia ada restoren mewah ini.


Disini anda boleh nikmati pelbagai juadah dan makanan tempatan authentic. Meskipun restoren ini berada dalam mall, harganya masih berpatutan. Mungkin sebab Ringgit Malaysia kukuhkan. Boleh la makan disini.
Di Remboelan aku hanya order Ayam Jawa Sambal Ijo + Nasi Putih + Cumi Bumbu Sambal Goreng + Jus Honey Dew dengan harga keseluruhan berjumlah IDR 236,500 (~RM54).

Ini satu lagi, menu nya terlalu banyak, jadi tak tahu nak order apa. Sebab teringin nak makan sambal hijau di Indonesia, order la Ayam Jawa ni. Serius lah, sambal Ijo di Indonesia masih padu. Sedap gila. Sotong goreng pun sedap. Restoren mewah, makanan sedap, harga masih berpatutan.
Lepas dah kenyang, pergi la shopping sekejab di Uniqlo untuk beli baju sehelai dua. Untuk perbandingan, harga Uniqlo di Indonesia murah 20-30% daripada Malaysia. Jadi kalau nak shopping sini pun berbaloi juga. Dalam Plaza Indonesia ini pun ada cawagannya.
Dah selesai, kita mengopi pula sementara di Harlan + Holden. Kat sini best seller antara Sea Salt Latte dan Butterscoth Latte. Aku cuba Butterscoth Latte dengan harga IDR 60,000 atau sekitar RM14.


Selain daripada rasa, keunikan pada kopi ini adalah pada bibir cawan tersebut diletakkan coockie crumble. Sambil hirup kopi, boleh makan taburan biskut tersebut. Bukan itu sahaja, interior design pun nampak simple tapi premium. Nice gila.
Sebelum bertolak ke airport, berdekatan dengan stesen Sudirman Baru ada demo mahasiswa Indonesia. Sempat la jadi pemerhati antarabangsa sebagai wakil Malaysia. Setakat berada disana, tiada rusuhan lagi. Dah gerak lepas tu baru ada sikit gaduh dengan polis.

Tiba di Soekarno-Hatta Airport Terminal 3, terus check-in flight KLM Royal Dutch Airlines dan pulang ke Kuala Lumpur. Perjalanan ambil masa tak sampai 2 jam pun dah sampai di KLIA T1 pada malam tersebut.

Rasa Nak Repeat Lagi Trip Ke Jakarta Lepas Ni
4 hari 3 malam memang rasa tak cukup kalau food hunting di Jakarta ni. Tak hairan lah ramai yang bagi tahu mereka pergi ke Jakarta beberapa kali setahun. Selain daripada cuba makanan disini, Jakarta juga sebenarnya ‘syurga’ untuk kaki shopping.
Aku rasa ini bukanlah itinerari ke Jakarta aku yang pertama. Mungkin selepas ini akan ada lagi itinerari yang kedua, ketiga dan seterusnya. Aku rasa memang nak repeat lagi dan selepas ini mungkin bawa keluarga atau member-member plak.
















