Proses nak masuk Indonesia sekarang semakin mudah. Kini hanya menggunakan All Indonesia, anda siap untuk melalui imigresen dan pastinya pelancong suka akan pembaharuan ini.
Jika sebelum ini, kalau nak masuk Indonesia, kena isi beacukai. Tak cukup dengan itu, kena juga sediakan form E-visa autogate dan satusehat. Tapi bermula 2026, semua ini diganti dengan satu sahaja iaitu All Indonesia.
Apa Itu All Indonesia
All Indonesia merupakan satu sistem borang kemasukan secara digital yang wajib diisi oleh semua penumpang atau pelancong luar negara sebelum masuk ke negara Republik Indonesia.
Dalam bahasa mudahnya, ianya seperti Arrival Card tetapi versi digital yang mana anda boleh isi secara online dalam tempoh 1-3 hari sebelum berlepas ke Indonesia. Mudah je caranya.

Pada sistem All Indonesia ini, terdapat gabungan antara borang imigresen, kastam dan kesihatan. Segalanya dirangkumkan di satu tempat. Tidak lagi berasingan seperti sebelum ini.
BACA JUGA : Cara Isi Visit Japan Web Untuk Proses Imigresen Di Jepun
Jadi lepas ni, kalau anda sebagai rakyat Malaysia khususnya yang ingin melancong ke Indonesia, anda kena sediakan 2 dokumen wajib iaitu pasport dan juga All Indonesia. Macam mana nak isi? Ikuti panduan lengkap dibawah.
Cara Isi All Indonesia Arrival Card Secara Online
Anda masih boleh isi All Indonesia di airport Indonesia, tetapi adalah disarankan untuk isi sebelum penerbangan lagi. Sebab banyak informasi yang perlu dimasukkan. Risau akan lambat nanti.
Untuk ini, tak perlu download atau gunakan apa-apa aplikasi. Hanya menggunakan browser internet sama ada laptop atau smartphone sahaja. Ikuti langkah dan cara penuh dibawah dengan menggunakan smartphone.
1) Pergi ke halaman https://allindonesia.imigrasi.go.id/ dan klik Pengunjung Asing
2) Terdapat 4 borang utama yang anda perlu lengkapkan iaitu info peribadi, perjalanan, pengangkutan & alamat hotel dan akhir sekali adalah borang deklarasi.

3) Untuk (1) adalah data peribadi. Sekiranya anda menggunakan laptop, anda perlu isi segala butiran peribadi secara manual. Jika anda menggunakan smartphone, anda boleh scan pasport dan segala butiran akan diisi secara automatik
Hanya perlu klik pada ‘Pindai MRZ’ untuk proses imbas dua baris kod huruf dan nombor pada halaman biodata pasport anda.

Sebelum lanjutkan langkah seterusnya, anda perlu masukkan nombor telefon dan alamat emel pada bahagian bawah sekali. Klik Lanjut jika sudah selesai.

4) Langkah seterusnya (2) adalah untuk butiran perjalanan. Disini anda perlu lengkapkan tarikh tiba dan pulang dari Indonesia. Untuk Visa atau KITAS/KITAP, anda hanya pilih Tidak sahaja.

5) Seterusnya (3) adalah cara anda masuk ke Indonesia. Lengkapkan jenis pengangkutan, tujuan perjalanan, nama airport anda tiba, jenis penerbangan, nombor flight dan sebagainya.
Akhir sekali masukkan butiran tempat penginapan beserta nama hotel yang anda menginap. Klik Lanjut sekiranya lengkap kesemuanya.

6) Akhir sekali (4) adalah borang declaration. Anda kena lengkapkan keadaan kesihatan, jika ada barang yang ingin terlarang yang ingin dibawah, declare makanan, jumlah bagasi yang dibawah dan sebagainya.
BACA JUGA : Cara Declare Makanan Sebelum Travel Ke Luar Negara
Jika sudah selesai kesemuanya, klik Kirim

‘Ajukan Bebas Visa’ Nak Tekan Apa?
Pasti ramai yang keliru pada bahagian terakhir ini. Nak tekan ‘Ajukan Bebas Visa’ atau ‘Ajukan Visa Saat Kedatangan (VOA)’?
Untuk info, rakyat Malaysia tak perlukan visa untuk masuk Indonesia. Jadi pada bahagian ini, anda klik pada ‘Ajukan Bebas Visa‘. Kemudian klik Ajukan.
Dengan pilihan ini, anda akan diberi EVISA A1 melalui emel. Anda boleh semak sejurus selepas pilihan dibuat. Sekiranya diminta oleh pihak imigresen Indonesia, anda boleh tunjuk EVISA tersebut.

Simpan Kod QR Yang Diberi Dan Guna Di Airport Indonesia
Setelah selesai anda isi segala butiran di All Indonesia. Anda akan diberi kod QR bersama dengan nombor kad kedatangan. Jadi simpan atau screenshot QR Code ini siap-siap dan anda akan guna masa melalui imigresen di airport Indonesia nanti.

Pengalaman Masuk Ke Aceh Dan Guna All Indonesia
Kali terakhir aku pergi ke Indonesia iaitu ke Jakarta adalah pada tahun 2024 dan ketika itu masih menggunakan sistem beacukai. Pada tahun 2025, aku kembali lagi ke Indonesia dan kali ini ke Aceh.

Untuk proses Aceh sangat mudah, anda tiba di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda dan akan terus ke kaunter imigresen. Sebelum ke kaunter, anda boleh siap-siapa isi All Indonesia. Ada ruang yang disediakan.
Tapi macam aku, dah setel awal di Malaysia sehari sebelum penerbangan.
Jadi lalu imigresen, hanya perlu tunjuk pasport sahaja. Kemudian baru ambil bagasi. Lepas dah ambil bagasi, barulah anda perlu tunjuk kod QR All Indonesia yang telah dibuat tadi.
Jika tiada sebarang masalah pada bahagian deklarasi, anda boleh teruskan perjalanan untuk keluar dari airport. Selesai!










