Itinerari Ke Cameron Highland Untuk 3H2M. Trip Santai Bersama Keluarga

By Aiman San

Published On:

Follow Us

Akhirnya dapat buat dan kongsikan itinerari ke Cameron Highland sendiri. Biasa baca atau layan video perkongsian orang lain je. Sekarang dah boleh share pengalaman sendir ketika berada di tanah tinggi ini.

Cameron Highland antara destinasi menarik yang aku nak pergi sangat. Manakan tidak, setiap minggu ada je orang share naik Cameron layan cuaca sejuk. Jadi teringin juga la nak sampai sana.

Kali terakhir panjat ke atas masa lepas PKP atau sekitar tahun 2021. Kini selepas 5 tahun iaitu pada September 2026, barulah berkesempatan untuk repeat lagi dan kali ini lebih best sebab datang dengan semua keluarga.

Untuk edisi 2026, Cameron Highland menjadi destinasi percutian aku sekeluarga. Jika tahun-tahun sudah memang pergi oversea seperti Korea Selatan, Melbourne, Turki dan Indonesia. Kali ini kita jalan dalam negara je. Support local!

BACA JUGA :

Itinerari Ke Cameron Highland Untuk 3H2M

Aku pergi trip Cameron Highland ini pada hujung September iaitu bermula hari Khamis hingga Sabtu. Cuba elakkan naik pada hujung minggu sebab taknak sangkut dalam kesesakan lalu lintas. Jumaat dan Sabtu pun dah ramai orang.

Seramai 13 ahli keluarga aku ikut termasuk budak-budak. Jadi aku aim untuk trip santai sahaja. Sebab aku dari Temerloh, Pahang, jadi perjalanan aku untuk naik Cameron Highland adalah melalui Sg. Koyan dan kemudian ikut Ringlet.

BACA JUGA : Itinerari Untuk 2H1M Di Temerloh. Datang Hujung Minggu Lebih Menarik

Itinerari ke Cameron Highland

Day 1 – Khamis

Sebab bertolak daripada Temerloh agak lewat. Jadi aku sampai di Tanah Rata sekitar pukul 6.30 petang. Plan awal, sampai sahaja di Cameron Highland akan terus ke Agro Park. Tapi sebab dah lewat, tak sempat masuk dan pergi ke kawasan Pokok Pine viral sahaja untuk bergambar.

pokok pine viral agro farm cameron highland

Selesai disini, barulah aku sekeluarga check-in homestay di Cameron Jaya dimana kawasan ini terletak dibahagian belakang Balai Polis Tanah Rata.

Pada belah malam, seterusnya pergi ke Cameron Centrum. Macam ala Premium Outlet, tapi semuanya adalah kedai makanan & minuman dan restoren. Malam sini meriah dengan manusia. Boleh naik bus mini pusing centrum.

Kemudian pada bahagian bawah, ada mini funfair. Sementara tunggu budak-budak habis main, orang lain semua dinner disini. Nikmati dinner sambil merasai suhu sejuk di malam hari. Ketika itu, suhu sekitar 19°C. Best!

Day 2 – Jumaat

Itinerari ke Cameron Highland untuk hari kedua, mula dengan breakfast terlebih dahulu. Kalau dah sampai Cameron Highland, tak sah la kalau tak sampai di Kampung Taman Sedia. Jadi disinilah terletaknya restoren viral. Datang lewat memang penuh la manusia.

Antara restoren popular disini, anda boleh pergi ke Laman Strawberi, Cameron Village Cafe, Opah Strawberries, Aidilbadri Strawberries Cafe & Farm, Abang Strawberry, KHM Strawberries & Jam dan banyak lagi.

KHM Strawberries & Jam

Di kedai-kedai inilah, anda boleh nikmati scones, nasi lemak sambal strawberi, kek strawberi, waffle strawberi dan semua jenis makanan yang diadun bersama strawberi. Air teh tarik Strawberi pun ada.

Plan asal nak breakfast di KHM Strawberries, tapi sampai pukul 8.30 pagi dan orang dah beratur panjang. Jadi kami buat keputusan makan kedai biasa sahaja iaitu di Syah Kitchen, tak jauh daripada KHM. Ada roti canai, nasi lemak biasa, nasi berlauk dan macam-macam lagi.

Syah Kitchen Kampung Taman Sedia

Perut dah kenyang, pergi buat aktiviti pertama iaitu petik strawberi. Tempat yang sesuai, pergi ke Aidilbadri Strawberries. Kebun berada di belakang cafe sahaja. Boleh masuk percuma. Deposit RM10 dengan harga RM10 bagi setiap 100g strawberi yang dipetik.

Destinasi seterusnya adalah ke Brinchang dan stop pertama di KEA Farm. Macam-macam ada disini. Di pasar Kea Farm boleh dapatkan strawberi fresh, jagung, ubi, sayur segar dengan pelbagai piliha serta pokok tanaman yang boleh dibeli. Kat sini juga ada Bee Farm, Taman Rama-Rama, Cat Hause, O&R Garden, The Sheep Sanctuary dan banyak lagi.

Selain daripada makan jagung panas-panas, makan aiskrim Puku dan Popstick, aktiviti penting kalau datang sini adalah pergi ke The Sheep Sanctuary. Aktiviti bagi kambing biri-biri makan.

Tiket masuk RM12 untuk dewasa dan RM7 untuk kanak-kanak. Makan RM1 sekotak. Dini sheep bergerak bebas. Jadi anda boleh beri makan secara terus. Selain sheep ada juga Alpaca dan semuanya jinak. Sambil bagi makan, boleh bergambar.

Sebelum pulang ke homestay, singgah sebentar di Agro Market. Disini juga anda boleh beli barangan famous Cameron Highland seperti strawberi, jagung, limau, sayur, ubi keledek, poko kaktus dan banyak lagi.

Agro Market

Tetapi tarikan utama disini adalah Taman Bunga. Tiket masuk mahal sikit, RM25 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak. Yang berumur 3 tahun ke bawah, masuk adalah percuma. Unlimited time.

Disini memang port bergambar je lah. Ada pelbagai jenis taman bunga seperti Lavendar, Ros, Hydrangae, kaktus dan banyak bunga berwarna-warni yang dihias dan digantung menjadi cantik untuk bergambar.

Bukan itu sahaja, disini pun ada mini zoo. Boleh bagi burung makan. Ada kambing biri-biri dan rumah kucing. Paling menarik minat sudah pastinya Mini Santorini. Kalau tak mampu pergi Greece, boleh datang ke Cameron Highland. Puas untuk bergambar disini.

Selesai disini, barulah pulang semula ke homestay untuk makan tengah hari dan berehat. Dalam masa yang sama, hujan masa tu. Lunch di kawasan homestay sahaja. Dapat plak hirup sup panas masa tu. Sedap!

Sebelum sambung aktiviti waktu malam, kami dinner dahulu di homestay. Kali ni buat steamboat oden sendiri di rumah. Beli pes Oden Adabi, bebola steamboat dan masak sendiri di rumah. Dalam rumah pun sejuk dan makan Oden, nikmat!

Dah selesai, barulah keluar semula dan terus pergi ke Tokyo Town Cameron. Satu kawasan ni memang jual makanan ala Jepun dan siap ada replika Tokyo Tower lagi. Boleh dinner sini sambil nikmati suasana.

tokyo tower tokyo town cameron

Antara tarikan utama disini, adalah salji buih. Ya, setiap hari tepat jam 8.00 hingga 8.20 malam anda akan dihujani dengan salji buih untuk tempoh 20 minit tanpa henti. Tapi terletak di satu sudut sahaja. Jadi boleh la acah-acah main rasa salji di Tokyo.

Seterusnya ingin ke Pasar Malam Cameron Highland yang mana hanya dibuka pada Jumaat dan Sabtu. Tapi malangnya tak dapat pergi sebab parking penuh dan budak-budak pun dah penat. Jadi terus balik.

pasar malam cameron highland

Sebab kebetulan pada hari kami pergi ada Food Fest di Tanah Rata, jadi singgah la cuci mata dan beli sikit makanan untuk bawa balik. Jadi itulah aktiviti terakhir untuk hari kedua.

Day 3 – Sabtu

Kali ini pergi sekali ke Kampung Taman Sedia dan terus ke kedai Aidilbadri Strawberries. Nasib baik tak beratur. Boleh terus dapat seat. Kedai lain seperti Abang Strawberry kena beratur pagi tu.

Dah sampai ke Cameron Highland, kena la rasa Nasi Lemak Sambal Strawberi. Kalau nak review, sebenarnya aku tak rasa pun strawberi dalam sambal tu. Rasa macam sambal biasa je. Ada yang kata dia hanya letak strawberi kering je. Entah la. Tapi ok lah.

Sebelum pulang, singgah di Bahulu Berry Cameron. Macam biasa, sebab nak beli bahulu strawberi. Kat sini harga bermula RM12 untuk 1 pek (8 ketul) atau RM35 untuk 3 pek. Boleh la bawa balik makan.

Lepas check-out, terus pulang dan sebelum itu, singgah dulu di Cameron Valley Tea. Tempat wajib singgah bila sampai di Cameron Highland. Nikmati pemandangan landang teh dari jauh. Tempat pun mudah, tepi jalan sahaja.

Sebelum ni dah banyak kali pergi dan turun ke ladang teh bawah, kali ini kita pergi ke dalam sikit. Jadi kena naik buggy. Harga RM20 seorang dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak. Untuk perjalanan naik dan turun.

Jadi dapatlah bergambar dengan ladang teh keseluruhan disamping signboard Cameron Valley Tea tu. Kat sini masih lagi dibangunkan. Jadi banyak lagi kawasan yang belum sempurna. Bergambar dalam ladang teh je lah.

Cameron Highland Masih Sejuk Sehingga Sekarang

Nampaknya Cameron Highland masih sejuk sehingga sekarang. Meskipun duduk di Tanah Rata, tapi cuaca sejuk masih ada terutamanya pada waktu malam. Pernah cecah sampai 18°C masa lepas hujan.

Orang tempatan bagi tahu, start Khamis sampai Sabtu sebenarnya dah mula ramai orang. Khamis, Jumaat pelancong dari Pantai Timur dan Utara. Manakala Jumaat, Sabtu, Ahad dari lain negeri. Jadi kalau taknak sesak, datang Ahad petang, Isnin, Selasa dan Rabu.

Jika berkesempatan lagi, mungkin itinerari ke Cameron Highland lepas ni boleh pergi Mossy Forest dan Ladang Teh BOH di Sg. Palas. Lokasi atas lagi dari Brinchang. Apa-apa pun destinasi percutian menarik ada di Cameron Highland.

Join Telegram

Join Now

Leave a Comment