Cara Mohon ETA Australia – Terutamanya Untuk Bekerja Sendiri (Berjaya Lulus)

Anda bercadang untuk bercuti ke Australia? Jika ya, anda perlu tahu perkara utama sebelum ke negara kangaroo tersebut adalah dengan mendapatkan ETA Australia. Dah dapat barulah anda dibenarkan masuk ke negara tersebut.

ETA atau Electronic Travel Authority merupakan visa elektronik yang diperlukan oleh pelancong luar untuk memasuki negara tersebut. Jika anda pernah dengar tentang K-ETA iaitu di Korea, ianya adalah perkara yang sama. Perlu dapat kebenaran tersebut dahulu.

Jadi untuk ETA Australia ini, ianya diperlukan oleh setiap pelancong luar negara untuk masuk ke Australia sama ada bertujuan untuk pelancongan (tourism) atau urusan perniagaan (business). Perlu dapat ETA daripada Kerajaan Australia terlebih dahulu.

Apa Itu ETA Australia?

ETA Australia bermaksud Electronic Travel Authority iaitu sejenis visa elektronik yang diperlukan oleh pelancong dari negara tertentu termasuk Malaysia untuk memasuki Australia. Ianya dikeluarkan oleh Kerajaan Australia sebagai pengganti visa fizikal dan permohonan perlu dibuat secara online.

Apa Tujuan ETA Australia?

ETA Australia ini membenarkan pelancong untuk :

  • Jelajah seluruh Australia sama ada untuk tujuan percutian atau melawat keluarga dan rakan
  • Urusan perniagaan jangka pendek, seperti menghadiri mesyuarat atau seminar
  • Masuk beberapa kali ke Australia juga dalam jangka masa pendek
  • Untuk tinggal di Australia sehingga 3 bulan sepanjang tempoh sah ETA
  • Nota : ETA tidak membenarkan anda bekerja atau belajar untuk tempoh panjang. Kena apply VISA fizikal

Keperluan Sebelum Mohon ETA Australia

Jadi sebelum anda mohon ETA Australia, anda perlu siapkan beberapa keperluan seperti :

  1. Paspot yang masih sah sepanjang tempoh sah ETA iaitu setahun
  2. Emel yang aktif
  3. Smartphone untuk tangkap gambar paspot anda
  4. Kad debit atau kad kredit

Cara Untuk Mohon ETA Australia

Secara asasnya permohonan ETA Australia adalah sama bagi setiap pemohon. Akan tetapi hanya dokumen sokongan sahaja berlainan. Untuk perkongsian dibawah, anda boleh rujuk untuk cara mohon, tapi dokumen sokongan lebih fokus untuk yang bekerja sendiri.

1. Semak Tempoh Sah Paspot

Sebelum mula buat permohonan, pastikan paspot anda masih sah dan tidak tamat tempoh. Sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum tempoh sah tamat. Jika tidak, sekiranya lulus, tapi tempoh sah tamat, anda tak boleh buat pertukaran no. paspot dan perlu mohon semula.

2. Download Aplikasi ETA Australia

Tidak boleh tidak, segala permohonan ETA Australia perlu menerusi aplikasi mobile Australia ETA yang mana anda boleh download di Play Store atau App Store. Jadi kena juga ada smartphone untuk permulaan ini.

3. Scan Atau Imbas Paspot Anda

Sediakan passport anda dan scan pada bahagian muka depan yang mana tertera gambar, nama penuh, tarikh lahir, nombor paspot dan sebagainya. Secara automatik, segala butiran peribadi anda akan diisi. Jika boleh edit, edit. Jika semua dah lengkap, klik Confirm

4. Ambil Gambar Anda

Seterusnya, anda perlu ambil gambar anda seperti yang diperlukan. Ikut segala keperluan yang disenaraikan. Klik butang Take Photo

5. Mula Untuk Mohon ETA Australia Yang Baru

Akan ditanya tentang butiran peribadi seperti Country of birth, alamat rumah, nombor telefon dan alamat emel. Kemudian perlu tetapkan jenis ETA sama ada untuk Business (Perniagaan) atau Tourist (Pelancong). Lengkapkan sehingga selesai

6. Tidak Perlu Masukkan Alamat Australia

Pada bahagian ‘Intended Address’, anda boleh pilih ‘I don’t know the address’ dan masukkan ‘To be booked, once ETA approved’. Kemudian klik Next

7. Semak Segala Butiran Dan Buat Pembayaran

Dah selesai sehingga langkah keenam (6/6), anda boleh semak dahulu segala butiran yang anda masukkan. Pastikan lengkap dan benar semuanya. Jika sudah klik Next. Akhir sekali buat pembayar dengan harga AUD20.00 atau sekitar RM60. Boleh guna kad debit atau kad kredit.

8. Hantar Pemohonan Anda

Jika anda sudah buat bayaran, hantar permohonan ETA Australia anda. Biasanya anda akan terima emel status permohonan dalam tempoh 48 jam. Melalui emel inilah, anda diberikan langkah seterusnya untuk sediakan segala dokumen sokongan yang bersesuaian.

Senarai Dokumen Sokongan Yang Diperlukan Terutamanya Untuk Bekerja Sendiri

Langkah seterusnya adalah menyediakan dokumen sokongan yang perlu dihantar kepada pihak imigresen Australia bagi proses permohonan ETA Australia pula. Sebaiknya untuk langkah seterusnya ini adalah dengan menggunakan laptop atau komputer.

1. Daftar ImmiAccount Terlebih Dahulu

Seterusnya, anda perlu buat buka akaun Immigration Australia pula. Klik pada Create ImmiAccount menerusi laman web https://online.immi.gov.au/. Masukkan emel dan klik pada Send Verification Code. Dapatkan kod tersebut di emel yang anda daftarkan sebentar tadi.

2. Masukkan Butiran Pemohonan

Untuk permohonan individu, pilih Individual, kemudian masukkan butiran peribadi sekali lagi. Jika sudah lengkap, klik Continue

  • Family name : Ali
  • Given names : Ahmad Bin

Seterusnya, tetapkan username, password dan lengkapkan soalan rahsia dan jawapan. Jika sudah lengkap, klik Submit

3. Mula Untuk Permohonan ETA

Terdapat 20 pages kesemuanya untuk anda perlu lengkapkan. Anda boleh rujuk dalam gambar dibawah sekiranya terdapat beberapa persoalan yang mungkin anda tidak tahu.

  • Date of ETA application : tarikh anda submit application ETA Australia di aplikasi
  • ETA Reference number : Tertera pada attachment emel yang dihantar oleh pihak imigresen Australia
  • Does the applicant wish to advise the Department of any mistaken on their original application – No
  • Give details the applicant’s reason – boleh rujuk gambar (copy pun boleh)
  • Upload gambar MyKad anda.

4. Lengkapkan Form 1554

Borang 1554 atau Form 1554 ini bertujuan untuk menerangkan situasi anda seperti pekerjaan, permohonan untuk orang lain dan pelbagai lagi. Anda boleh rujuk borang lengkap seperti dibawah:

  • Transaction Reference Number (TRN) for the online request for futher processing – anda boleh dapatkan pada bahagian Attach documents iaitu sebelum hantar permohonana (Contoh sahaja : EGP44452Y8ED6)

5. Lampirkan Dokumen Sokongan Yang Diperlukan

Untuk bahagian dokumen sokongan, ianya lebih fokus kepada yang bekerja sendiri. Anda boleh rujuk segala dokumen yang pernah aku hantar sebelum ini dah telah lulus atau granted. 10 dokumen yang aku hantar kesemuanya

  1. Form 1554
  2. Gambar MyKad (Depan & Belakang)
  3. Bayaran cukai 2 tahun (Incomen Tax)
  4. Statement ASB
  5. Bank Statement untuk 3 bulan
  6. Statement KWSP
  7. Perjanjian Jual Beli Rumah (SnP Aggrement)
  8. Sijil SSM
  9. Statement Tabung Haji
  10. Geran Rumah/Tanah (Title Deed)

Selain itu, anda juga boleh lampirkan surat rasmi bagi membuat penerangan segala berkaitan dokumen sokongan ini. Untuk bahagian akhir ‘provicing supporting evidence’, boleh juga terangkan seperti dalam gambar. Dah selesai, klik Confirm

6. Hantar Permohonan ETA Australia

Jika kesemuanya sudah lengkap, anda boleh hantar permohonanan dengan klik pada butang Submit Now. Anda akan diberi Reference Number untuk rujukan.

Bila Jawapan Atau Status Permohonan Akan Diumumkan

Tiada tempoh rasmi yang diumumkan oleh pihak Imigresen Australia bila jawapan akan diberikan. Ianya semua bergantung kepada jumlah permohonan dan kerumitan setiap dokumen yang dihantar.

Untuk pengalaman sendiri, hantar permohonan pada 2 September, dan dapat tahu status permohonan iaitu LULUS/GRANTED pada 4 September. Jadi ambil masa 2 hari sahaja untuk dapat jawapan. Anda akan diberi emel untuk status permohonan.

eta australia granted dan diluluskan

Dah ada ETA, baru dibenarkan untuk masuk Perth ke Melbourne ke Sydney dan mana-mana kawasan di Australia selepas ini. Tempoh hanya setahun dan boleh masuk beberapa kali. Lepas tamat tempoh setahun, kena mohon semula ETA baru

Tips: Anda boleh mohon semula beberapa kali sekiranya peroleh status gagal. Adalah sebaiknya untuk mohon Visa ETA terlebih dahulu sebelum nak beli tiket flight.

Leave a Comment