Selepas pantau harga tiket berbulan-bulan, jadi aku buat keputusan untuk pilih dan naik Philippine Airlines (PAL) untuk trip musim Sakura je Tokyo, Jepun. Jadi aku nak share sikit pengalaman bersama syarikat penerbangan ini.
BACA JUGA : Itinerari ke Tokyo Untuk Mencari Bunga Sakura
Yes, sebab utama aku pilih PAL adalah kerana harga yang ditawarkan ketika itu adalah paling murah untuk Tokyo. Aku dah bandingkan dengan penerbangan tambang murah Air Asia atau Batik Air sekali pun, PAL lagi murah.
Akan tetapi kelebihan tersebut terpaksa dibayar dengan ‘transit’. Jika anda naik Philippine Airlines untuk ke Jepun, anda perlu transit di Manila untuk beberapa jam. Tapi aku tak kisah, yang penting tiket murah.
Untuk info, penerbangan aku ke Tokyo, Jepun menaiki PAL adalah berharga RM1,300 return termasuk meal dan 30-kg bagasi. Anda kena tahu, anda naik ni bukan penerbangan tambang murah, tapi full-service airlines dan pastinya lebih selesa.
Tanpa fikir panjang, aku beli tiket di trip.com dan mulalah trip ke Tokyo demi mencari bunga Sakura. Jadi aku nak share pengalaman naik Philippine Airlines – dari mula terbang hingga mendarat, termasuklah ketika transit di Manila.
Proses Manage Booking Dan Check-In Philippine Airlines
Untuk pengetahuan anda, jika anda buat tempahan penerbangan Philippine Airlines, secara umumnya, anda akan dapat makanan atau meal 1x, 30-kg bagasi dan dalam masa yang sama anda boleh pilih seat secara percuma kecuali untuk kedudukan aisle dimana anda kena beli.
Untuk buat semua ini atau manage booking, anda boleh lakukan menerusi website https://www.philippineairlines.com/ atau aplikasi mobile. Tapi biasalah, apps flight ni macam lag juga kadang-kadang.
BACA JUGA : Cara Check-In Philippine Airlines Secara Online

Selain itu, kalau anda nak mohon atau request ‘muslim meals’ yang halal, anda boleh berbuat demikian juga menggunakan aplikasi Philippine Airlines. Nanti barulah tak ragu-ragu kalau nak makan dalam flight.
BACA JUGA : Cara Request ‘Muslim Meals’ Untuk Flight Philippine Airlines Menggunakan Apps
Tempoh untuk check-in adalah bermula 24 jam sebelum berlepas. Anda boleh buat menerusi aplikasi dengan masukkan No. PNR yang telah diberi. Tapi kalau anda tak buat pun tiada masalah, boleh check-in sahaja di kaunter ketika drop luggage.
Kebiasaanya di kaunter memang ramai orang. Jadi sila datang ke KLIA sekurang-kurangnya 4-jam lebih awal. Untuk info, Philippine Airlines terletak di kaunter C yang mana berada di KLIA Terminal 1.
Bergantung kepada tiket anda, sekiranya anda transit kurang daripada 10 jam, kebiasaanya bagasi anda akan terus dihantar ke destinasi terakhir. Jadi ketika berada di Manila, anda tak perlu collect luggage anda. Anda boleh confirmkan dengan staff ketika di kaunter.
Jika anda transit tanpa pungut bagasi, anda akan dapat 2 boarding pass. Untuk trip aku ini, aku dapat – boarding pass KL-Manila dan Manila-Tokyo. Gunakan mengikut destinasi penerbangan anda.

Selesai.
Nikmati Makanan Yang Disediakan Dalam Penerbangan
Sebelum tiba hari berlepas, aku ada request ‘muslim meal’ untuk semua penerbangan iaitu sebanyak 4 kali. Ya, setiap penerbangan dapat satu makanan. KUL-MNL, MNL-TOK, TOK-MNL dan MNL-KUL – dapat 4 kali makan.
Untuk penerbangan KL-Manila yang mengambil masa 4 jam, aku dapat makanan lebih simple berbanding penerbangan Manila-Tokyo. Diberi 2 pilihan dan aku pilih nasi putih bersama daging kari. Juga diberi Dried Mango yang terkenal di Filipina. Air minuman boleh request seperti biasa. Rasa semuanya sedap.

Kemudian untuk makanan kedua adalah bagi penerbangan Manila-Tokyo yang mengambil masa 4 jam 35 minit. Kali ini, dapat menu lebih berat sikit – Nasi putih, sayur dan ayam masak kari. Juga diberi side dish seperti roti dan extra sayur lagi. Roti beserta majerin juga disediakan. Overall rasa sedap.

Ketika pulang, untuk penerbangan Tokyo-Manila aku dapat lagi satu juadah makanan. Kali ini dapat nasi putih, telur dan ayam masa rendang. Sayur pun ada. Untuk side dish, ada roti dan kek manis. Untuk rasa, overall sedap.

Akhir sekali untuk makanan keempat untuk penerbangan Manila-KL, disediakan juadah yang simple sahaja, sama seperti masa pergi sebelum ini. Kali ini dapat hashbrown, telur rebus separh dan sosej. Dapat juga dried mango yang sedap.
Secara keseluruhan, makanan yang disediakan oleh pihak Philippine Airlines semua sedap dan boleh diterima tekak. Untuk status halal, semuanya bergantung kepada pihak yang menyediakan selepas semua permohonan kita telah dibuat. Mencari yang halal itu wajib ya.
Akan tetapi kalau nak buat perbandingan untuk makanan Air Asia, Vietnam Airlines dan Philippine Airlines, aku boleh cakap AA paling sedap, diikuti dengan VA dan akhir sekali PAL. Makanan halal VA pun best weh.
BACA JUGA : Cara Request Makanan Halal Untuk Penerbangan Vietnam Airlines
Pengalaman Penerbangan Bersama Philippine Airlines
Flight aku ni menggunakan jenis Airbus A321. Rasanya tak jauh beza pun dengan flight Vietnam Airlines aku sebelum ini. Saiz sederhana dengan aturan kerusi 3-3. Jadi hanya ada satu laluan sahaja iaitu dibahagian tengah.
Bila dah naik airlines full-service ni, sudah tentu anda akan dapat ruang kaki dan kerusi yang lebih luas. Bila luas akan jadi selesa. Untuk pengalaman, aku siap boleh naik kaki atas seat beb. Takda la lenguh sangat untuk penerbangan selama 4 jam ni. Seat incline. Aircond sejuk.

Dalam 4 penerbangan, 3 daripadanya dalam flight ada tv atau in-flight entertainment. Trip KL-Manila je takda. Jadi bila ada tv, anda akan dapat headphone. Segala security briefing hanya ditayangkan di tv sahaja. Boleh la buat hilang bosan. Even dalam flight tidur je. Wifi tiada ya.


Selain itu, anda akan dapat bantal kecil dan selimut. Jika tidak diberi sekali pun, anda boleh request pada peramugari. Tak perlu bayar pun. Untuk tandas atau lavatory saiz standard je. Boleh la nak buang hajat yang kecil.
Seterusnya untuk layanan peramugari – standard. Tiada yang lebih dan tiada yang kurang. Semuanya memberi layanan yang terbaik. Tapi kalau nak komen pun mungkin untuk uniform je la kot, biasa sangat. haha Itu sahaja.
Masuk je kapal terbang, anda akan disapa dengan Salamat atau Mabuhay daripada peramugari dan kapten kapal terutamanya ketika perjalanan atau penerbangan dari KL ke Manila dan Manila ke KL.
Overall segala fasiliti yang disediakan menerusi Philippine Airlines adalah sangat baik. Tiada kekurangan yang jelas serta boleh kacau mod dan emosi anda. Makanan sedap, boleh rehat dengan selesa dan paling penting rasa selamat.
Transit Di Manila Sebelum Ke Tokyo
Untuk trip ke Jepun kali ini, aku memilih untuk transit di Manila. Untuk penerbangan pergi, aku stop selama 10 jam. Manakala untuk penerbangan pulang, aku stop hanya selama 5 jam sahaja.
Untuk trip pergi aku ambil keputusan untuk keluar dari airport iaitu Ninoy Aquino International Airport dan berjalan di sekitar Manila. Akan ada staff transit akan bantu nanti.

Nak masuk Filipina, anda wajib untuk isi eTravel secara online. Jadi baru boleh dibenarkan untuk tinggalkan airport. Pada passport, aku dapat satu lagi cop Filipina.
BACA JUGA : Itinerari Ke Manila Untuk 3H2M Secara Solo DIY
Sebab ramai yang kata trafik Manila ni teruk, jadi aku decide untuk jalan berdekatan sahaja. Aku pergi Masjid Abdullah dan juga lepak di Zus Coffee yang mana masing-masing terletak di Baclaran iaitu sekitar 15 minit dari NAIA.


Kemudian pulang semula ke airport dan lalu sekali lagi imigresen untuk naik penerbangan seterusnya. Kali ini anda perlu guna boarding pass kedua yang anda dapat sebelum ini iaitu untuk penerbangan Manila-Tokyo. Terbang seperti biasa
Untuk transit ketika pulang, aku tak keluar airport, jadi aku tak perlu lagi buat eTravel dan tak lalu pun imigresen. Hanya lalu bahagian security sahaja. Kemudian terus ke tempat menunggu untuk penerbangan seterusnya.
Ramai yang kata teruk airport Manila, katanya sebab kecil, takda makanan halal, tak boleh buat apa-apa dan sebagainya. Bagi aku, ianya seperti normal airport. Banyak kerusi disediakan untuk rehat. Boleh bawa makanan sendiri seperti megi atau biskut dari Malaysia.

Duduk airport korang nak buat apa? Nak main taman tema ke? Duk layan phone sudah la. Wifi pun disediakan secara percuma.
Airport Manila ok je. Nampak kecil, tapi selesa je. Kalau dapat tiket murah dan transit di Manila, ambil je. Cuma kalau diberi pilihan, pilih tempoh transit yang pendek (bawah 3 jam) atau lebih panjang sekitar 18 jam keatas. Untuk elak bosan je.
Btw dibahagian dalam atau departure hall, tiada surau disediakan. Tapi banyak je ruang yang kosong tiada orang. Jadi ambil wuduk di tandas dan solat di tempat jauh dari kesesakan. Tandas ada bidet macam di Malaysia, jangan risau.
Berbaloi Ke Naik Philippine Airlines?
Trip aku bulan April. Jadi 6 bulan sebelum iaitu sekitar bulan Oktober aku dah start tengok tiket flight. Pada awalnya pilihan PAL ni tiada dalam trip.com. Ianya hanya muncul bermula pada bulan Februari sahaja.
Dalam tempoh ini, barulah nampak harga tiket ke Tokyo dari Kuala Lumpur bawah RM1,500 iaitu daripada Philippine Airlines. Biasanya semua sekitar RM1,900 dan keatas termasuklah Air Asia pun. Mungkin sebab peak season di Jepun iaitu musim Sakura.
Untuk ke Tokyo, banyak waktu penerbangan yang ditawarkan dan hanya dibezakan dengan tempoh perjalanan dan harga. Ada transit 2 jam, 5 jam, 10 jam, 18 jam hatta sehingga 29 jam pun ada.
Daripada tempoh ini, aku jumpa transit 10 jam dan 5 jam adalah paling murah. Tak fikir panjang dah, terus buat tempahan.
Kalau tanya aku, agak berbaloi naik Philippine Airlines. Flight selesa, dapat makan, dapat 30-kg bagasi, dapat in-flight entertainment dan paling penting harga sangat murah terutamanya ketika peak season.

Cumanya jika anda naik Philippine Airlines, anda kena transit di Manila. Kalau ada pilihan, pilih transit yang paling sekejab. Mungkin antara 2 jam hingga 5 jam sahaja. Kalau sejam lebih pun sempat je untuk kejar next flight. Sebab airport kecil sahaja.
Kalau diberi peluang untuk travel lagi selepas ini, Philippine Airlines menjadi antara piilihan utama. Tapi yang penting kena tengok harga dulu la.














