Itinerari Ke Seoul-Busan Di Korea Untuk 7H7M Secara Solo DIY

By Aiman San

Updated On:

Follow Us
itinerari Seoul Busan

Tahun 2023 kali pertama ke Korea bersama keluarga. Untuk tahun 2025, datang sekali lagi dan kini fokus 2 destinasi utama iaitu Seoul dan Busan. Lain sikit, kali ini aku travel secara solo ke Korea Selatan.

Untuk trip kali ini, aktiviti utamanya adalah untuk menonton badminton Korea Open dan juga bola sepak K-League, sama seperti aku pergi ketika ke Tokyo sebelum ini. Ketika itu ingin menonton Japan Open dan J-League.

BACA JUGA : Pengalaman Menonton Bola Sepak (J-League) Di Tokyo

Tapi disebabkan kedua-dua aktiviti tersebut berlangsung di Seoul yang mana aku pernah jejak sebelum ini, aku tambah satu lagi destinasi baru iaitu Busan. Menjadi antara destinasi penting bila travel ke Korea selain Seoul dan Jeju Island.

jalan seoul busan

Trip solo ni aku pergi pada hujung musim panas (summer season) iaitu pada September. Untuk tarikh tepat adalah pada 21 hingga 28 September 2025. 3 hari berada di Busan dan 5 hari di Seoul.

Alhamdulillah, suhu ketika di Busan dan Seoul tidak lagi seperti musim panas. Suhu adalah sekitar 19°C hingga 25°C sahaja. Tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Hujan pun masa tu sehari je, lain semua cuaca baik.

Dokumen Wajib Dan Persediaan Dibuat Sebelum Ke Korea

Setakat 2025, hanya 2 dokumen wajib yang anda perlu sediakan sekiranya ingin masuk ke Korea Selatan iaitu K-ETA dan pasport. Tapi sekiranya anda berumur 17 tahun kebawah dan 65 tahun keatas, anda tak perlukan K-ETA, hanya perlu bawa pasport dan isi borang Arrival Card.

BACA JUGA : Cara Mohon K-ETA Korea Secara Online Sehingga Lulus

Tapi anda kena tahu, meskipun anda sudah menyediakan 2 dokumen tersebut, ianya tidak menjamin kemasukan anda ke Korea Selatan. Disebabkan itulah, aku buat persediaan tambahan bagi mengelakkan dihantar pulang (deport) ketika sampai di airport nanti.

Aku print out semua dokumen seperti tiket flight pergi dan balik, tempahan penginapan, itinerari, K-ETA dan tiket badminton. Sekiranya ditahan, aku ada bukti datang ke Korea untuk bercuti dan bukan kerja secara haram. Dalam masa yang sama, aku hafal juga itinerari yang aku buat sendiri tersebut.

KETA Dokumen Korea

Selain itu, pakaian juga sedikit sebanyak menunjukkan aku datang untuk bercuti. Jadi aku pakai kasut, seluar dan baju yang cantik. Kemudian ditambah dengan headphone bersama travel pillow. Memang dress up nak pergi bercuti la senang cerita.

Kebiasaanya memang akan ada pelancong yang akan diarahkan untuk pergi ke bilik soal siasat, tapi tak ramai lagi. Pada hari kejadian tersebut, ada 2-3 orang mat salleh diarahkan ke bilik tersebut.

Jadi cuba perhatikan dan elakkan kaunter yang terlibat. Cari kaunter dengan wajah pegawai imigresen yang lebih tenang. Ada katanya elakkan pegawai wanita. Tapi ini semua subjektif, tiada jawapan tepat. Terserah kepada kebijaksanaan anda menilai.

Alhamdulillah, pada hari kejadian, meskipun datang secara solo. Aku berjaya melalui imigresen dengan tanpa sebarang soalan. Dapat stiker di pasport dan terus berjaya masuk ke Korea Selatan dengan selamat.

Kos Perbelanjaan Keseluruhan

Sebelum kita masuk ke itinerari penuh untuk Seoul-Busan, kita tengok dulu kos perbelanjaan keseluruhan ketika berada disana. Berbanding itinerari di negara-negara lain, kali ini aku tak masukkan kos penerbangan. Sebab aku guna tiket staff ID90.

1) Kos Penerbangan

Penerbangan adalah menggunakan Air Asia untuk tiket pergi dan balik. Tiada sebarang kejadian delay atau reschedule dan sebagainya pada hari kejadian. Untuk info, tiket flight September, anda boleh dapat sekitar RM1000 hingga RM1500 sebenarnya.

air asia

2) Kos Penginapan

Secara keseluruhan, aku bermalam di 3 tempat penginapan yang berbeza. Di Busan, aku tempah hotel di The Way Hotel Busan. Lokasi strategi yang sangat dekat dengan Busan Station dan destinasi pelancongan yang lain.

the way hotel busan

Tempahan dibuat menggunakan aplikasi Agoda dengan harga RM190 untuk 3 hari 2 malam bagi bilik Standard Small Double Room.

Kemudian di Seoul, aku bermalam di 2 tempat penginapan berbeza. 3 hari 2 malam pertama, aku menginap di H Hostel Itaewon yang terletak berhampiran dengan Masjid Seoul atau Seoul Central Mosque.

h hostel

Tempahan juga telah dibuat secara online menggunakan Agoda dengan harga RM200 untuk bilik jenis dorm 4-katil.

Kemudian hari seterusnya, berpindah ke Myeondong untuk bermalam di Zaza Backpakers Hostel bagi bilik single room. Harga adalah RM700 untuk 4 hari 3 malam. Tempahan juga dibuat menggunakan Agoda.

zaza backpackers

Jadi secara keseluruhan, kos penginapan untuk sepanjang trip ke Seoul-Busan adalah sebanyak RM1090. Sebab aku datang solo, jadi aku kos tersebut adalah sepenuhnya ditanggung sendiri.

3) Kos Pengangkutan

Di Korea, pengangkutan awam nya sangat bagus. Jadi aku buat keputusan untuk menggunakan bas dan subway train sahaja sepanjang berada di Seoul dan Busan. Menjadi pengangkutan utama selama berada disana.

bas di seoul busan

Untuk city bus dan subway di Busan, aku gunakan Tmoney sebagai medium bayaran. Manakala di Seoul, aku gunakan Tmoney dan Climate Card. Secara umumnya, caj minima bagi 1 hala perjalanan adalah 1,400 Won.

climate card tmoney

Secara keseluruhan, aku topup dan menggunakan Tmoney untuk Busan dan Seoul adalah 23,000 Won. Manakala 15,000 Won untuk Climate Card. Jadi keseluruhan menjadikannya 38,000 Won atau sekitar RM116.

Untuk perjalanan dari Incheon Airport ke Busan, aku naik highway bus dengan harga 53,500 Won atau sekitar RM160. Kemudian dari Busan Ke Seoul, aku naik KTX (keretapi laju) berharga 56,400 Won (RM168).

ktx korea

4) Kos Aktiviti & Tiket

Harga tiket masuk untuk game bola sepak bagi game K-League adalah Seoul World Cup Stadium 22,000 Won (~RM67) dan tiket badminton Korea Open adalah berharga 21,000 Won (~RM63).

Seoul World Cup Stadium

Kemudian merasai pengalaman menaiki Beach Train di Haeundae Blue Line Park Busan untuk sehala berharga 8,000 atau sekitar RM24 seorang. Itu sahaja aktiviti berbayar sepanjang berada di Korea.

5) Kos Makanan

Untuk trip kali ini, aku tak banyak makan luar. Sebab aku bawa RTE, Megi dan sambal nyet untuk mengurangkan kos makan. Tapi aku ada makan di restoren Kampungku, Sultan Kebab dan Myeongdong Night Market.

kampungku

Kemudian banyak berbelanja di convenient store seperti CU, 7 eleven dan GS25. Beli air susu Banana Uyu, kopi, matcha, telur rebus, aiskrim, onigiri dan macam-macam lagi. Jadi keseluruhan untuk kos makanan adalah 90,000 Won (~RM268).

6) Kos Lain-Lain

Berikut antara kos lain-lain seperti duit shopping, souvenir, data internet dan insurans :

  • Takaful Trip360 = RM27
  • Data Internet (esim Shopee) = RM32
  • Uniqlo = 19,900 Won (RM59)
  • Fridge Magnet = 5,000 Won (RM15)
  • Shopping Daiso = 16,000 Won (RM49)
  • Jumlah = RM182

Jadi untuk jumlah keseluruhan perbelanjaan tidak termasuk kos penerbangan adalah sebanyak RM2,138.

Itinerari Ke Seoul-Busan Di Korea Untuk 8H8M

Untuk penerbangan Air Asia, biasanya waktu berlepas adalah pada waktu malam, jadi akan sampai di Incheon Airport pada esok hari iaitu waktu pagi di Korea. Jadi untuk trip ini, hari penerbangan adalah hari Ahad dan sampai di Korea pada pagi Isnin.

Kemudian barulah bermula hari pertama di Korea. Tapi aku buat keputusan untuk pergi ke Busan terlebih dahulu setibanya touch down di Incheon Airport Terminal 1.

Day 1 – Isnin

WaktuAktiviti
7.00 amTibe di Incheon Airport T1
8.30 amSelesai segala urusan imigresen
10.30 amNaik bas bergerak ke Busan
4.30 pmTiba di Haeundae Bus Stop
6.00 pmCheck-in The Way Hotel Busan
8.00 pmBusan Station Park

Alhamdulillah, even datang secara solo, tiada soal siasat yang diterima. Proses imigresen berjalan seperti biasa. Lalu kaunter, ambil bagasi dan terus keluar ke International Arrival seperti biasa.

Keluar je terus beli tiket bas di kiosk iaitu dari Incheon Airport ke Haeundae (Busan). Perjalanan mengambil masa 5 jam 30 minit lebih kurang dengan harga 53,500 Won. Boleh guna kad kredit/debit. Kalau guna cash, kena pergi kaunter. Kalau nak ke Busan, pilih destinasi Haeundae.

tiket bas incheon airport

Sepanjang perjalanan, akan ada berhenti sekali di RnR dalam 15 minit. Jadi nak pergi tandas, atau cari makan di CU, boleh berbuat demikian disini.

Sebelum sampai di Haeundae, bas akan berhenti di perhentian pertama dahulu iaitu di Busan Bas Terminal. Jaraknya masih jauh dari bandar Busan. Anda perlu turun di perhentian seterusnya iaitu di Haeundae Bus Stop.

Dah tiba di Haeundae, terus bergerak ke tempat penginapan dengan menaiki subway. Di Busan, anda tidak dibenarkan untuk menaiki city bus dengan membawa bagasi. Jadi kena naik teksi atau boleh naik subway train. Boleh guna Tmoney di Busan.

Lokasi The Way Hotel Busan betul-betul berhadapan dengan Busan Station. Jadi lokasi hotel ini sangat strategik. Cumanya hotel ini paling tak best, check-in adalah bermula pukul 6.00 petang. Bapak lewat.

busan station

Hari pertama tiba di Busan, hanya berjalan sekitar Busan Station dan lebihkan berehat di bilik sahaja.

Day 2 – Selasa

WaktuAktiviti
10.00 amGamcheon Culture Village
1.00 pmBusan Tower
3.00 pmSolat & Lunch di hotel
4.00 pmHaeundae Blueline Park
4.45 pmNaik Beach Train
5.00 pmAktiviti di Cheongsapo Station
6.00 pmHaewol Skywalk
7.30 pmGwangalli Beach
9.00 pmTiba di hotel

Destinasi wajib kalau datang Busan pastinya adalah di Gamcheon Culture Village. Anda boleh naik bas je jika dari Busan Station. Elakkan jalan kaki dari bawah, kerana tempatnya agak berbukit. Penat nanti nak sampai.

Gamcheon Culture Village Busan Korea

Disini masuk percuma. Secara umumnya, aktiviti utama adalah nikmati pemandangan rumah kampung berwarna-warni bersama view laut. Banyak tempat boleh bergambar disini antaranya spot The Little Prince and the Fox, The Machu Picchu, Gamnae Byeolmaru dan banyak lagi.

The Little Prince and the Fox antara tempat tumpuan, jadi kena beratur disini. Yang penting free sahaja. Nak view cantik lain, boleh pergi ke cafe yang menyediakan rooftop, tapi macam biasalah, kena la beli kopi kan. Spent time dalam 2 jam disini. Cuaca pun dingin kat atas ni. Best.

Dah selesai disini, ambil bas juga dan terus ke Busan Tower. Antara destinasi ikonik di Busan. Kalau berminat nak nikmati pemandangan dari ketinggian 120m, boleh dapatkan tiket dengan harga 12,000 Won. Tapi aku duk bawah je la bergambar.

Busan Tower

Setel disini, balik ke hotel sekejab untuk solat dan makan tengah hari. Beli makanan di CU sahaja seperti telur rebus, onigiri, banana uyu dan nasi. Kenyang untuk makan tengah hari. Kelebihan hotel di tengah bandar Busan, boleh balik sekejab.

Kemudian sambung ke destinasi seterusnya iaitu di Haeundae. Naik subway dan terus ke Haeundae Blueline Park. Disini anda boleh nikmati view laut dari 2 keadaan iaitu dengan menaiki Sky Capsule atau Beach Train. Sebab datang solo, aku decide naik Beach Train.

Perjalanan sehala adalah berharga 8,000 Won untuk Beach Train dan 40,000 Won (2 orang) untuk Sky Capsule. FYI, tiket Sky Capsule cepat sold out untuk waktu sunset, jadi kalau nak peak time ni, boleh beli online DISINI.

Untuk Beach Train, aku bergerak dari Mipo Station ke Cheongsapo Station sahaja. Sebab disini, anda boleh nikmati satu lagi view train melintas berlatabelakangkan laut. Ianya seakan seperti di Kamakura di Jepun. Cantik gila.

Disebabkan beli tiket one-way sahaja, jadi nak balik ke Mipo Station, jalan kaki sahaja. Dalam perjalanan, boleh singgah dahulu di Haewol Skywalk. Katanya kalau cuaca baik, anda boleh nampak salah satu pulau di Jepun. Sepanjang perjalanan pulang, anda boleh nikmati pula pemandangan Sky Capsule dan Beach Train lalu. Cantik

Selesai disini, otw pulang, singgah sebentar di Gwangalli Beach. Pada hujung minggu, biasanya akan ada pertunjukkan bunga api. Selain daripada nikmati view pantai, disini juga anda boleh lihat Gwangan Bridge yang bercahaya berwarna warni. Boleh lepak-lepak disini.

Dah malam, terus pulang ke hotel

Day 3 – Rabu

WaktuAktiviti
11.00 amCheck out The Way Hotel
12.00 pmYurari Square
12.45 pmMasjid Bahrul Hidayah
1.00 pmBIFF Square
1.30 pmNampodong Street
2.45 pmNaik KTX bergerak Ke Seoul
5.40 pmTiba di Seoul Station
6.30 pmCheck-in H Hostel Itaewon
8.00 pmSolat di Seoul Central Mosque
9.00 pmPulang ke hostel

Untuk hari terakhir di Busan, aku sempat singgah di beberapa lokasi. Sebelum check-out dari The Way Hotel, aku siap-siap reserve seat untuk tiket KTX Busan-Seoul dengan harga 56,400 Won. Untuk tourist, anda boleh beli di kaunter atau beli online sahaja di www.korail.com. Tak boleh beli di kiosk, sebab terima local credit card. KTX berbeza dengan Shinkansen di Jepun, dimana anda kena reserve seat. Tiada free seating.

Dah selesai beli tiket, terus check out dan bergerak ke Yurari Square. Disini anda boleh nikmati pemandangan laut, jambatan dan boleh nampak juga Gamcheon Culture Village.

Yurari Square

Dah masuk waktu zohor, dan terus bergerak ke Masjid Bahrul Hidayah yang terletak di BIFF Square. Masjid ini terletak di tingkat 2. Semua ok, tapi tak best sikit sebab bau rokok dalam ni. Rasanya Indonesian yang jaga kot.

Pukul 1.00 tengah hari, penjual sudah memulakan aktiviti perniagaan disini. BIFF Square ni macam Myeondong Night Market. Disini anda boleh dapatkan makanan lokal Korea. Tapi pastikan halal atau muslim-friendly tau kalau nak beli sini.

Sempat juga cuci mata area Nampodong Street. Tujuan berada disini sebab nak cari fridge magnet. Sini banyak kedai-kedai anda boleh singgah untuk cari pakaian, souvenir, snek dan macam-macam lagi.

Dah dapat apa yang dicari, terus ke Busan Station untuk meniki KTX dari Busan ke Seoul. Tiket online, pastikan anda mempunyai kod QR. Tak boleh screenshot. Jika diminta, anda perlu tunjukkan dari apps atau website tersebut. Dalam KTX ada wifi jangan risau.

Perjalanan dalam 2 jam 30 minit. Jadi sempat la rehat sekejab. Kebanyakkan view adalah bawah tanah. Kelajuan sekitar 290 km/h. Mungkin sama dengan Shinkansen Kodamo di Jepun. Ianya akan berhenti di beberapa station, tapi aku pilih Seoul Station.

Setibanya di Seoul Station, aku terus tukar ke subway Line 4 dan kemudian Line 6 untuk terus ke Itaewon. Jalan dalam 5 minit untuk check-in di H Hostel Itaewon. Sebab malam ni hujan, aku just pergi Seoul Central Mosque untuk solat dan berehat di hostel sahaja.

Day 4 – Khamis

WaktuAktiviti
8.00 amSarapan di hostel
11.00 amTiba di Suwon Stadium (Korea Open)
6.30 pmSuwon Starfield Library
9.00 pmDinner di Sultan Kebab

Aku buat keputusan, sebelum explore bandar Seoul, kita pergi jauh sikit dulu iaitu ke Suwon. Juga menjadi sebab utama aku travel ke Korea kali ini iaitu menonton badminton menerusi kejohanan Korea Open 2025. Perjalanan ambil masa sejam lebih sahaja dari Seoul. Jadi boleh day trip sahaja.

Breakfast H Hostel

Selepas selesai breakfast di hostel seperti yang disediakan, aku terus ke lokasi kejohanan yang diadakan di Suwon Gymnasium bersebelahan dengan Suwon Sports Complex. Match start pukul 10.00 pagi, aku sampai 11.00 pagi. Terlepas satu perlawanan wakil Malaysia iaitu pasangan Goh Soon Huat/Lai Shevon Jemie. Tapi nasib baik menang.

Suwon Gymnasium Korea Open

Aku pergi ketika pusingan 16 terbaik. Ada 5 wakil Malaysia yang bermain. Hanya 2 sahaja yang berjaya mara ke suku akhir ketika itu. Satu pengalaman baru apabila dapat menonton perlawanan badminton di Korea.

Tiket masuk berharga 21,000 Won atau sekitar RM60 sahaja. Boleh beli di kaunter, tapi masa tu aku beli secara online sahaja. Jadi bawa kod QR sahaja. Berbeza dengan Japan Open yang aku pergi sebelum ini, di Korea Open tiada door gift.

Aku menonton sehingga pukul 6.00 petang sahaja meskipun game berakhir jam 10.00 malam. Sebabnya dah tiada wakil Malaysia yang bermain.

Jadi sebelum pulang ke Seoul, kita singgah dulu di Suwon Starfield Library iaitu ‘library dalam mall’ kedua di Korea selepas di Coex Mall. Masuk free dan nikmati keunikan seni bina perpustakaan ini sahaja. Dah selesai, terus pulang ke Seoul.

Sebelum balik ke hostel, singgah dulu di Sultan Kebab untuk cari dinner. Boleh cuba kebab gemuk disini. Kawasan Itaewon terlalu banyak restoren halal yang disahkan. Anda boleh pilih mengikut citarasa sendiri.

Sultan Kebab Itaewon

Day 5 – Jumaat

WaktuAktiviti
11.00 amCheck-out H Hostel Itaewon
12.00 pmNamdaemon Market
4.00 pmCheck-in Zaza Backpackers Hostel
6.00 pmTiba di Ttukseom Hangang Park
8.00 pmLayan Drone Light Show (Free)
8.45 pmTtukseom Han River Park
9.30 pmMyeongdong Night Market
10.30 pmBalik hostel

Lepas ni itinerari semua dalam Seoul sahaja, jadi buat keputusan untuk guna Climate Card sahaja. Unlimited ride untuk subway dan bas. Tmoney boleh simpan terus.

BACA JUGA : Beza Tmoney Dan Climate Card Di Korea

Climate Card

Lepas check-out dari H Hostel, perjalanan diteruskan lagi ke Namdaemon Market. Dikatakan pusat beli belah paling murah di Seoul. Disini anda boleh dapatkan pelbagai jenis keperluan dan souvenir dengan harga paling murah dan berpatutan.

Kalau orang Malaysia, pastinya tidak akan terlepas untuk singgah di Kedai Mak Salmah (Bokminsa). Lokasi sebenar DISINI iaitu terletak dalam bangunan Namdaemun Commercial Center.

Nak cari fridge magnet, keychain, bookmark, sudu garfu dan sebagainya sebagai buah tangan, disinilah tempatnya. Selain daripada harga yang murah, boleh tawar menawar, owner ni pun boleh cakap bahasa melayu. Mudah untuk komunikasi.

Dah selesai disini, kita check-in pula ke tempat penginapan seterusnya iaitu di Zaza Backpackers Hostel. Sini self check-in. Solat dan lunch siap-siap selepas masuk bilik dan teruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Zaza Backpackers

Walaupun musim panas ni cuaca panas, tapi banyak event yang menarik berlangsung dan salah satunya adalah Drone Light Show. Sepanjang summer ni, mereka adakan 5 kali dan masa aku datang ni adalah pusingan yang ke-4. Diadakan di Ttukseom Hangang Park. Boleh naik subway dan turun di Jayang Station.

Persembahan jam 8.00 malam selama 15 minit. Yang penting masuk percuma. Memang ramai la di kawasan taman ni pada malam tersebut. Selepas selesai drone show, banyak lagi aktiviti boleh buat kat sini. Boleh berkayak di Han River, berbasikal, jogging, lepak, dating dan sebagainya.

Ttukseom Hangang Park

Perut dah lapar dan singgah di Myeongdong Night Market. Sekarang dah best lah, sebab banyak gerai yang menjual makanan halal yang disahkan. Siap ada sijil. Tak ragu-ragu dah nak beli makan.

Tapi antara banyak-banyak makanan, anda wajib cuba Chicken Skewer yang berharga 6,000 Won. Sekarang pun dah mudah, sebab boleh bayar guna Alipay. Guna TnG eWallet kita je. Tak perlu bawa cash banyak-banyak.

Day 6 – Sabtu

WaktuAktiviti
12.00 pmGyeongbokgung Palace
12.30 pmNational Museum of Korean History
2.00 pmRoyal Guard-Changing Ceremony
2.45 pmInsadong
3.30 pmBukchon Hanok Village
4.15 pmSolat & lunch di hostel
6.00 pmLayan K-League di Seoul World Cup Stadium
9.30 pmMyeongdong Night Market
10.30 pmBalik hostel

Ini merupakan kali ketiga aku sampai di Gyeongbokgung Palace. Jadi kali ini travel solo ke Seoul-Busan ni, aku decide untuk jalan-jalan di luar sahaja, tanpa perlu sewa hanbok. Jadi aku tak masuk ke bahagian dalam. Hanya dikawasan luar dan sekitar sahaja.

Rupanya ada hidden spot yang menarik disini. Anda boleh naik ke rooftop di National Museum of Korean History yang berada dihadapan istana. Disini anda boleh dapat view dari atas. Masuk percuma je kat sini.

Gyeongbokgung Palace Seoul

Aku tunggu sini sampai pukul 2.00 petang untuk menyaksikan Royal Guard-Changing Ceremony. Kali ini dapat view cantik dan duduk depan. Dapat la tengok sepuasnya dalam tempoh 20 minit.

Masa aku sampai sini, rupanya Seoul tengah banyak event masa ni. Ada demo berpusat, acara guinness book of record dan kempen politik. Memang meriah kawasan lapang depan istana ni. Walaupun ada demo, tapi dibuat secara aman. Hebat orang Korea. Tak ganggu tourist pun.

Demo Seoul

Otw ke Bukchon Hanok Village, Naver Map bawa lalu Insadong. Cantik kawasan ni, lagi-lagi kalau masa autumn. Boleh juga cari barangan keperluan di area sini. Macam-macam ada kalau jenis suka barang lokal.

Bukchon Hanok Village merupakan sebuah kawasan kediaman yang masih menggunakan seni bina rumah tradisional Korea. Ramai tourist kat sini datang untuk bergambar. Kalau pakai hanbok lagi cantik. Cuma kawasan ni berbukit sikit. Mungkin tak mesra OKU dan stroller baby la.

Balik hostel kejab untuk solat dan lunch. Kemudian sambung perjalanan untuk menonton bola pula. Naik subway dari Myeondong, terus ke Seoul World Cup Stadium untuk menyaksikan match FC Seoul vs Jeonbuk Hyundai Motors. Tiket 22,000 Won (~RM67), boleh beli di kaunter je. Tourist tak boleh beli secara online. Best la sebab tiket murah berbanding match di Jepun.

Lagi pula sebagai Man United fans mesti teruja nak tengok FC Seoul main, sebab dalam ni ada legend Jessie Lingard. Menjadi antara pemain utama dalam skuad kendalian jurulatih Kim Ki-dong.

Dah selesai game, terus balik dan sekali lagi singgah di Myeongdong Night Market untuk cari dinner. Inilah kelebihan kalau duduk di area Myeongdong. Malam senang cari makan, katanya buka sampai 12.00 tengah malam.

Day 7 – Ahad

WaktuAktiviti
12.00 pmCoex Mall (Starfield Library)
2.00 pmShopping di Daiso
5.30 pmCheonggyecheon Stream
6.00 pmDongdaemon Design Plaza
7.45 pmDinner di Kampungku
9.00 pmMyeongdong Night Market
10.15 pmCheck-out Zaza Backpacker Hostel
10.30 pmBergerak ke Incheon Airport T1
11.59 pmTiba di Incheon Airport T1

Hari terakhir nak spent time untuk shopping dan santai-santai sahaja. Jadi nak shopping uniqlo dan jumpa di Coex Mall. Dalam masa sama juga, kat sini pun ada Starfield Library. Boleh la bergambar sambil shopping kat sini. Dah selesai angkat baju sehelai, balik semula ke Myeongdong.

Antara port wajib juga bila di datang Seoul iaitu di Daiso 12 tingkat. Macam-macam barang boleh dapat sini. Snek, barang travel, pinggan mangkuk, barang mandi, barang rumah dan banyak lagi. Memang letih la naik satu-satu tingkat tu. Hasil selaman, jumpa baju sejuk RM15 je. Sebat lah.

Sementara tunggu malam, pergi la singgah kejab di Cheonggyecheon Stream dan Dongdaemon Design Plaza. Kali pertama sampai sini. Port healing dan datang untuk bergambar cantik sini. Area Dongdaemon ni sebenarnya kalau nak cari bundle sesuai. Tapi hari tu dah petang, macam dah tutup plak kedai-kedai sini.

Dah malam, sebelum check out singgah dulu isi perut di Kampungku. Menu paling best kat sini adalah ayam goreng. Kena cuba sekali. Rangup dan ada rasa. Harga pun standard makanan halal di luar negara.

Kampungku

Check-out dari Zaza Backpacker dan terus naik AREX dari Seoul Station ke Incheon Airport. FYI, anda boleh gunakan Climate Card kalau naik AREX all-stop dari Seoul. Tapi anda tak boleh naik AREX guna Climate Card dari Incheon Airport. Kena guna Tmoney. One-way berharga 4,450 Won.

Sudahnya, aku bermalam sahaja di airport.

Day 8 – Isnin

WaktuAktiviti
5.15 amDrop bagasi di kaunter
6.15 amSolat subuh di airport
8.00 amBerlepas pulang dari Korea
2.00 pmTiba di KLIA T2

Incheon Airport Terminal 1 banyak juga port nak tidur. Jangan risau. Tapi tidaklah terlalu selesa. Sebab jalan solo, jadi tidur airport la lebih selamat dari kena tinggal kan. Flight plak pukul 8 pagi. Ok je bermalam disini.

Selesai drop bagasi dan solat subuh di surau airport. Akhir sekali berlepas dari Incheon Airport Terminal 1 naik Air Asia pukul 8.00 pagi dan tiba di KLIA T2 pada pukul 2.00 petang. Selesai trip Seoul-Busan.

Pengalaman Solo Travel Ke Korea Terasa Lebih Santai Dan Mudah

Trip seminggu ke Seoul-Busan kali ini lebih santai. Ini kerana kebanyakkan destinasi di Seoul banyak tempat yang pernah sampai. Jadi tak fomo la untuk pergi ke tempat tersebut. Kecuali di Busan yang mana pertama kali aku jejakkan kaki. Jadi semua tempat macam nak pergi, tapi dalam 2-3 hari memang tak sempat lah.

Lagi pula, memang tujuan utama ke Seoul kali ini untuk menonton badminton Korea Open sahaja. Kemudian ada plak match bola sepak K-League, bertambah menarik trip. Ada juga Drone Show, lagi bertambah-tambah best.

Korea pun sangat sesuai untuk anda yang ingin cuba solo travel. Tapi mungkin berisiko ketika melalui imigresen sahaja. Selain itu, semua best. Negara selamat, pengangkutan awam efficient, kos tidak terlalu mahal dan makanan halal banyak.

Seoul Busan

Semoga itinerari ke Seoul-Busan ini bermanfaat untuk anda yang ingin bercuti ke Korea selepas ini.

Join Telegram

Join Now

1 thought on “Itinerari Ke Seoul-Busan Di Korea Untuk 7H7M Secara Solo DIY”

Leave a Comment