Sebab dah pernah ke Tokyo dua kali, jadi aku nak kongsi tips sebelum ke Jepun yang anda perlu tahu. Ini semua berdasarkan pengalaman sendiri selama berada di negara matahari terbit tersebut.
Mungkin anda kini sedang merancang untuk bercuti ke Jepun. Tetapi disebabkan anda pertama kali baru ingin ke negara nippon tersebut, jadi anda masih fresh dan tidak tahu apa yang perlu dipersiapkan.
Jadi dengan itu, mari ini aku kongsikan beberapa info dan maklumat berkaitan tentang cuaca, tips pengangkutan, perbelanjaan, panduan makanan halal yang mengfokuskan kepada pelancong Muslim dan sebagainya.
15 Tips Sebelum Ke Jepun Yang Anda Wajib Tahu
Tips ini lebih berfokus kepada Tokyo, Osaka dan Gunung Fuji. Mungkin ianya juga sesuai untuk beberapa destinasi utama lain bagi seluruh Jepun.
1) Rancang perjalanan dan siapkan itinerari sebelum travel ke Jepun
Benda asas bagi setiap orang yang ingin terbang ke nagara orang adalah dengan membuat perancangan perjalanan iaitu dengan menyiapkan itinerari. Rancang supaya setiap hari, anda boleh mempunyai tujuan bagi mengelakkan buang masa di tempat-tempat yang tidak sepatutnya.
Sekarang dah mudah, kalau anda nak tahu itinerari lengkap untuk beberapa hari, anda boleh tanya pada ChatGPT sahaja. Akan disenaraikan pelbagai cadangan. Tapi sekiranya anda bercadang untuk travel ke Osaka-Tokyo untuk tempoh 9 hari, anda boleh dapatkan disini.
2) Rujuk cuaca dan suhu di google
Jepun merupakan negara 4 musim. Jadi ada musim panas, musim sejuk, musim bunga dan musim luruh. Secara amnya, musim panas dari Jun hingga September. Musim luruh dari September hingga November. Kemudian dari Disember hingga Februari tiba musim sejuk. Akhirnya musim bunga bermula dari Mac hingga Mei. Jadi anda boleh pilih mana-mana musim yang anda minat untuk datang ke Jepun.
Selain itu, sebelum tiba waktu travel anda, adalah sebaiknya untuk rujuk juga cuaca dan suhu terlebih dahulu di Accuweather atau Google Weather. Ini bagi mengetahui suhu sebenar. Dengan itu, anda boleh siapkan jenis pakaian yang anda perlu bawa bila tiba di Jepun. Google Weather di smartphone tu sebenarnya tepat juga lah.
3) Pilih pakaian yang bersesuaian dengan cuaca semasa
Sudah tahu musim bila anda datang ke Jepun, jadi anda boleh sediakan pula jenis pakaian yang anda akan pakai selama berada di Jepun. Waktu paling selesa sekali sudah pastinya ketika musim luruh (autumn) dimana cuaca tidak panas dan tidak begitu sejuk. Jadi anda selesa hanya memakai pakaian harian biasa sahaja.
Tetapi ketika musim sejuk dan musim bunga, anda perlulah sediakan beberapa lapisan supaya badan anda sentiasa dalam keadaan panas dan selesa. Perlu dapatkan heattech, winter coat dan sebagainya. Musim panas pula, mungkin anda dress up sama seperti di Malaysia.
4) Dapatkan IC Card (Suica, ICOCA) untuk memudahkan perjalanan
Kalau di Malaysia, kita ada kad touch n’ go, jadi di Jepun juga ada sistem pembayaran tersebut yang dipanggil IC Card. Terdapat 3 jenis kad utama yang anda boleh dapatkan iaitu Suica, ICOCA dan Welcome SUICA. Ketiga-tiganya anda boleh gunakan di Tokyo dan Osaka.
IC Card ini bukanlah benda wajib sekiranya anda ingin naik train atau bas. Ini kerana, mereka masih menyediakan mesin untuk beli tiket. Akan tetapi dengan penggunaan IC Card ini, ianya akan mempercepatkan perjalanan anda. Lagi pula ianya percuma sahaja. Hanya perlu bayar 500 Yen untuk dapatkan Suica dan jika anda ingin dapatkan duit tersebut kembali, pulang semula di kaunter informasi.
5) Pengguna iPhone boleh dapatkan IC Card secara percuma di Apps Wallet
Kelebihan untuk pengguna iPhone, dimana Apple ada menawarkan Suica, ICOCA dan Pasmo di aplikasi Wallet. Jadi anda boleh dapatkan secara percuma. Hanya perlu salah satu kad tersebtu dan simpan dalam wallet anda.
Jadi sepanjang penggunaan IC Card di kenderaan awam, anda hanya perlu imbas iPhone anda sahaja. Segala urusan seperti tambah nilai juga, anda boleh lakukan secara online di Apple Wallet anda sahaja. Tak perlu nak topup di mesin lagi.
6) Dapatkan 10% tax-free ketika shopping
Salah satu perkara yang aku suka ketika berada di Jepun adalah shopping. Sekarang pula, duit Ringgit (MYR) tengah tinggi berbanding Yen (JPY). Jadi nak shopping tu, best la sikit. Barang di Jepun pun rasanya tak naik harga sangat pun.
Di Jepun, mereka mengenakan cukap 10% GST bagi kebanyakan barang. Tapi sebagai pelancong, sebenarnya kita boleh jimat, lagi-lagi ketika berbelanja di kedai ‘tax-free’. Anda tak perlu bayar cukai tersebut sekiranya anda berbelanja sekurang-kurangnya 5000 Yen dan ke atas atau bergantung kepada kedai tersebut.
Cari kedai yang ada ‘tax-free shop’, shopping dan tunjuk passport anda sahaja. Jadi anda tak perlu bayar tax tersebut. Jadi pastikan anda bawa pasport setiap masa bersama ada terutamanya ketika berjalan.
Biasanya anda boleh jumpa tax-free shop ini seperti di Uniqlo, ABC Mart-, Don-Quijote, Bic Camera, Yodobashi Akiba dan macam-macam lagi. Biasanya kedai besar tumpuan pelancong, memang ada tax-free ni.
7) Download Google Maps untuk memudahkan urusan
Antara tunjang utama memudahkan urusan setiap pergerakan selama berada di Jepun adalah dengan menggunakan Google Maps. Selain duit dan pasport, aku boleh kata Google Maps ni perkara yang ketiga wajib ada bila nak ke Jepun.
Di Jepun, lorong kecil belakang bangunan pun dikira jalan utama tau. Jadi kalau takda panduan, mungkin boleh sesat. Selain itu, kalau nak guna train atau bas, boleh rujuk Google Maps sahaja. Secara details dia akan senaraikan. Bila waktu train sampai, berlepas, harga train, ada delay dan sebagainya.
Google Maps berfungsi dengan sangat baik di Jepun. Berbeza kalau di Korea, dieorang bagi guna Naver Map sahaja dan Google Maps tidak berfungsi. Disebabkan itu juga, anda boleh rancang terus menggunakan Google Maps di Malaysia. Boleh buat itinerari dengan lengkap.
8) JR Pass bukan perkara wajib
Kalau tengok dalam group Japan, ramai yang tanya pass apa yang perlu beli kalau stay di Osaka dan Tokyo dan sebagainya. Sebenarnya pass ni tak wajib pun anda beli. Ianya sekadar untuk menjimatkan kos perjalanan sekiranya diperlukan.
Sepanjang di Jepun, aku hanya beli JR Kansai Mini Pass (KMP) sahaja iaitu digunakan di Osaka. Selepas buat pengiraan kos perjalanan, aku dapat jimat RM77 sekiranya aku menggunakan KMP ni. Jadi aku beli kat Klook SINI. Ini saranan aku kalau duduk Osaka, tapi nak buat day trip ke Kyoto dan Nara.
Untuk JR Pass pula, sekarang harga dah mahal cecah hampir RM1,500 untuk 7-hari. Jadi anda buat pengiraan betul-betul, buat itinerari bagi setiap destinasi. Sekiranya perlu, baru beli. Kadang-kadang mungkin jadi rugi sekiranya anda tidak menggunakan sebaiknya.
Tapi kalau taknak pening, tak perlu pun pass ni. Guna sahaja kad Suica anda seperti biasa bagi urusan naik train atau bas.
9) Download apps Halal Japan
Kita berada di negara bukan Islam ini, antara cabaran utama adalah makanan. Tidak seperti di Malaysia, setiap makanan dan kedai ada cop halal Jakim. Jadi tak perlu khuatir untuk makan di tempat tersebut.
Tapi sekarang di Jepun pun sudah ada makanan yang mendapat logo halal yang diiktiraf, tetapi tak banyak. Jadi anda kena ikhtiar sendiri untuk dapatkan makanan yang tidak bercampur dengan benda-benda haram.
Salah satu caranya adalah dengan menggunakan aplikasi Halal Japan. Anda boleh download di Play Store dan App Store. Aplikasi ini menyimpan data semua makanan halal di Jepun yang mana memaparkan ianya halal atau haram.
Anda hanya perlu imbas barcode pada makanan tersebut dengan menggunakan aplikasi Halal Japan. Ianya akan memaparkan status Halal atau Haram. Sangat berguna kalau anda beli makanan di Kombini seperti 7eleven, Family Mart atau Lawson.
10) Banyak tempat kini menerima pembayaran kad Visa
Selain daripada pembayaran secara cash atau tunai, sekarang Jepun pun dah maju. Banyak kedai-kedai yang sudah menerima pembayaran menggunakan kad Visa atau Mastercard. Tak perlu bawa banyak cash dah pun.
11) Bawa plastik untuk simpan sampah sendiri
Terkenal dengan negara bersih meskipun tiada tong sampah disediakan. Itulah yang biasa anda akan alami sekiranya berjalan disekitar bandar-bandar besar seperti Tokyo dan Osaka. Tiada sampah di atas jalan raya.
Disebabkan itulah, dinasihatkan anda bawa plastik sampah sendiri apabila keluar berjalan. Dah sampai rumah nanti, barulah keluarkan sampah-sampah tersebut dan buang di tong sampah yang berada di hotel atau tempat penginapan anda.
12) Pakai kasut sukan dengan tapak tebal
Tokyo merupakan bandar mesra pejalan kaki. Osaka juga sama. Sebenarnya hampir setiap bandar di Jepun mesra pejalan kaki. Orang ramai hanya berjalan atau menaiki basikal untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
Disebabkan itulah, perkara biasa kalau anda banyak berjalan di Jepun. Jadi bagi mengelakkan tapak kaki anda lenguh, disarankan pakai kasut yang sesuai iaitu mempunyai tapak yang tebal. Boleh cari apa-apa jenama pun. Kalau tanya aku, memang aku pilih Skechers la. Selesai teruk.
13) Simpan duit dalam kad Wise dan withdraw di Jepun
Lepas dah balik Jepun ni, baru perasan sebenarnya aku banyak guna pembayaran menggunakan kad Wise berbanding duit cash. Boleh katakan 80% juga lah semua guna kad sahaja. Sebab dah banyak kedai yang menerima pembayaran menggunakan kad ni.
Aku bawa cash dari Malaysia, 10,000 Yen dan kemudian withdraw 20,000 Yen. Kesemua duit ni, aku guna untuk bayar kedai makan dan beli souvenir sahaja. Lebih RM2,000 selebihnya aku bayar guna kad Wise. Nak withdraw duit pun mudah, pergi je 7eleven dan pilih mesin atm 7bank.
Caj 110 Yen untuk nilai 10,000 Yen ke bawah dan 220 Yen untuk nilai lebih daripada 10,000 Yen. Untuk kad Wise pula, diberi 2 kali pengeluaran secara percuma sebulan dan tidak lebih daripada RM1,000. Jadi sangat berbaloi, kalau anda ada kad Wise. Kalau berminat, boleh daftar SINI secara percuma.
DAFTAR WISE SECARA PERCUMA DISINI
14) Panjangkan masa waktu makan. Mungkin perlu beratur
Selain daripada rumah, kedai-kedai di Jepun pun kecil-kecil. Jadi biasanya kapasiti kerusi dan meja di kedai-kedai makan adalah sikit dan terhad. Sebagai contoh, aku makan di Tendon Itsuki, hanya ada 14 kerusi sahaja. Honolu Ramen di Osaka ada kurang 20 kerusi.
Untuk Tendon Itsuki, aku kena beratur hampir 40 minit untuk dapatkan seat. Honolu Ramen tu nasib baik tak ramai orang masa aku datang, terus dapat meja. Yakiniku Panga anda kena buat reservation table terlebih dahulu, sebab ramai yang datang.
Jadi adalah sebaiknya, anda panjangkan sedikit untuk waktu makan sama ada lunch atau dinner. Mungkin anda perlu beratur terlebih dahulu untuk tunggu giliran lebih-lebih lagi anda datang waktu puncak.
15) Tahu waktu urusan jual beli
Akhir sekali, masih berkaitan masa yang mana aku terlepas pandang. Kalau di Malaysia, waktu urusan jual beli, kedai-kedai biasa buka pukul 9 pagi hingga 10 malam. Tapi di Jepun tidak! Aku perhatikan Tokyo dan Osaka sama sahaja.
Waktu urusan jual beli atau kedai-kedai mereka biasanya akan start buka pukul 11.00 pagi dan tutup pukul 8.00 malam. Dalam itinerari, biasa aku keluar awal untuk datang kedai awal dan pulang lewat sebab kedai tutup lewat. Ternyata salah!
Sebenarnya setiap hari, anda boleh start pukul 10.00 pagi dan balik pukul 9.00 malam. Ini sebenarnya waktu ideal di Jepun terutamanya jika anda berada di Tokyo dan Osaka. Anda hanya perlu keluar awal sekiranya perjalanan tersebut jauh. Contoh dari Osaka nak ke Nara atau Kyoto. Jadi kena bangun awal. Kalau dekat-dekat, gerak lewat pun takpa.
Semoga Tips Ini Membantu
Semua tips ini sebenarnya adalah berdasarkan pengalaman sendiri ketika berada di Osaka-Tokyo-Mt Fuji. Jadi segala apa yang aku hadapi tersebut, aku kongsikan supaya anda yang membaca juga dapat manfaat dan membantu bagi memudahkan urusan.
1 thought on “15 Tips Sebelum Ke Jepun Yang Anda Perlu Tahu”