Selepas Sabah, Perlis juga menjadi antara negeri yang istimewa untuk saya dalam trip kali ini. Oleh sebab itu, saya nak kongsikan juga itinerari ke Perlis yang saya pergi untuk 3 hari 2 malam selama berada di negeri yang paling utara tersebut.
Kenapa negeri ini juga istimewa? Sebenarnya Perlis menjadi negeri yang terakhir saya jejak di Semenanjung Malaysia. Kalau sebelum ini, Sabah menjadi negeri keseluruhan yang terakhir saya jejak. Sebab itu, saya juga itinerari ke Sabah.
BACA JUGA : Itinerari Ke Sabah (Kota Kinabalu – Kundasang)
Mungkin menjadi negeri terakhir saya jejak adalah disebabkan faktor jarak. Pahang ke Perlis, agak jauh juga sebenarnya. Tapi diberikan kesempatan untuk datang bercuti disini dan melihat keindahan sebuah negeri yang tenang sebenarnya.
Trip kali ini saya pergi bersama parents bertiga sahaja iaitu pada September 2023. Itinerari ke Perlis ini fokus untuk 3 hari 2 malam sahaja. Jadi selama itu, kami semua sempat untuk singgah di beberapa lokasi tumpuan di negeri Perlis.
Persediaan Awal Sebelum Ke Perlis
Kalau Sabah, tidak boleh tidak, memang kena tetapkan akan pergi ke sana menaiki kapal terbang. Berbeza dengan Perli, sebab banyak alternatif untuk sampai ke sana. Anda boleh drive kereta sendiri, naik bas, naik train (ETS) atau naik kapal terbang.
Parents bagi tahu, dia tak nak naik bas, sebab perjalanan jauh ambil masa dekat 8 jam juga atas jalan raya. Driving pun sama. Badan penant pula. Jadi antara train atau flight sahaja. Jadi sebab nak kelainan sikit, kami buat keputusan untuk gerak ke Perlis menaiki ETS.
Persediaan awal, memang semak tarikh dan waktu pergerakan. Rupanya ramai yang menggunakan perkhidmatan ETS pada bahagian pantai barat dan ke utara. Jadi awal-awal kena buat tempahan. Lagi pula, warga emas boleh dapat diskaun 50% tau. Awal-awal lagi la daftar dan buat permohonan
Kos Perbelanjaan Selama Ke Perlis
Untuk kos perbelanjaan ni, fokus kepada dua perkara penting sahaja iaitu kos pengangkutan dan kos penginapan. Perkara lain adalah optional dan mungkin tak perlu pun berbanding kalau pergi ke luar negara atau ke Borneo sebelum ini.
a. Kos Pengangkutan
Di Perlis terdapat 2 stesen ETS iaitu di Arau dan Padang Besar. Jadi kami buat keputusan untuk bergerak dari stesen Bandar Tasik Selatan (BTS) terus ke stesen Arau yang mana mengambil masa 5 jam 50 minit. Harga tiket sehala RM76 seorang. Untuk warga emas, boleh dapat separuh harga iaitu RM38 sehala.

Kemudian, selama berada di Perlis, saya sewa kereta. Saya cari yang paling murah sahaja. Dapat Viva 1.0 dengan harga RM100 untuk 1 hari. Saya sewa untuk hari kedua sahaja. Hari pertama dan terakhir, tak pergi jauh-jauh pun.
b. Kos Penginapan
Untuk penginapan, kami buat keputusan untuk menginap di Kuala Perlis di Savana Hotel & Serviced Apartments untuk 2 malam dengan harga RM400 untuk 3 pax. Antara hotel baru yang dibuka disini dan juga lokasinya tidak jauh daripada jeti Kuala Perlis dan beberapa tarikan menarik disini.

Itinerari Ke Perlis
Dalam sehari, kalau tidak silap waktu pergerak ETS ada 1 atau 2 sahaja sehari. Jadi ketika itu, kami pilih paling awal dan sampai ke Arau sekitar pukul 4.00 petang. Dalam itu jugalah, trip dan itinerari ke Perlis bermula seawal sampai ke destinasi.
Day 1 (Selasa)
[KTM Arau > Jambatan Pelangi]
Selepasa sampai ke stesen KTM Arau, kami terus ke Kuala Perlis dengan menaiki Grab Car sahaja. Perjalanan mengambil masa 20-30 minit sahaja. Sebab negeri tak sibuk dan tenang. Jadi perjalanan tidaklah sesak sangat dengan kereta.
Sampai di Savana Hotel dan terus check-in. Dah siap kemas semua, terus ke destinasi pertama iaitu Jambatan Tuanku Syed Putra atau dikenali sebagai Jambatan Pelangi. Dari hotel kami tak jauh pun, boleh jalan kaki sahaja terus ke destinasi.



Menjadi antara tarikan utama bila anda sampai ke Kuala Perlis. Jambatan yang menyeberangi hilir sungai sebelum ke laut. Jambatan yang dicat berwarna warni sepenuhnya. Khusus untuk pejalan kaki atau berbasikal. Motor dan keretak tak boleh
Rupanya bukan terhenti di jambatan sahaja. Kampung seberang juga dipenuhi dengan rumah-rumah yang dicat warna-warni. Memang kalau anda nak OOTD kat sini, sangat sesuai. Sepanjang perjalanan di kampung ini, anda boleh bergambar atau dapatkan makanan yang dijual oleh orang tempatan.
Bukan itu sahaja, disii juga terdapat perkhidmatan untuk sewa basikal juga. Anda boleh dapatkan di pintu masuk kampung pelangi ini. Jadi anda boleh pusing satu kampung dan cari spot yang menarik untuk gambar. Ada banyak mural unik disini.
Day 2 (Rabu)
[Warung Tepi Sawah > Tasik Melati > Kupi Kahfi > Restoren Anjung Keli > Padang Besar > Wang Kelian]
Hari kedua, barulah explore dengan serius mengikut itinerari ke Perlis yang telah dirancangkan. Lepas dah dapat kereta sewa, terus cari breakfast dan destinasi pertama adalah Warung Tepi Sawah. Orang cakap, kalau datang Perlis, tak singgah sini memang tak sah lah.


Nama je warung, tapi sebearnya kat sini dia macam ala foodcourt sikit la. Sebabnya ada banyak warung lain dalam Warung Tepi Sawah ni. Menu popular dan wajib cuba semestinya ‘Pek Nga’ iaitu Lempeng Berinti Kelapa bersama gulai ikan.
Menu lebih kepada makanan tradisi lokal seperti pulut ikan masin, pulut ayam dan macam-macam lagi. Tapi nak cari makan lain untuk breakfast banyak je pilihan. Cuma Pek Nga tu kena cuba. Sedap weh!

Selain daripada makanan yang menyelerakan, disini juga menjadi tarikan utama kepada lokasi yang bersebelahan dengan sawah padi. Berlatarbelakangkan dengan sawah bendang yang luas. Serius cantik untuk bergambar.
Sebelum ke bandar Kangar, singgah di Kupi Kahfi iaitu port layan kopi dalam gua batu kapur. Memang unik habis kat sini. Anda boleh nikmati pelbagai aneka kopi di dalam gua. Only in Perlis ni. Selain itu, kat sini juga ada ATV kalau nak main.


Next, singgah sebentar di Tasik Melati. Kawasan tasik yang luas, banyak bunga teratai dan juga pondok-pondok yang dibina diatas tasik. Macam pondok terapung la. Tapi sini sebenarnya best datang waktu petang.

Dah tengah hari, terus shoot ke Restoren Anjung Keli untuk makan tengah hari. Disini banyak pilihan menu makanan. Bila dah tengah hari, memang ramai orang lain. Selain lauk pauk, ada juga warung jual cendol, kunafa dan banyak lagi.

Dah setel di Kangar, barulah bergerak ke destinasi yang paling jauh sekali iaitu ke Padang Besar. Dulu biasa dengar je orang cakap kalau nak beli jersi, beli di Padang Besar. Biasa kalau beli online pun, datang dari sini. Now datang sendiri tengok depan mata.
Bandar tidaklah terlalu besar tapi ramai orang di pusat tumpuan seperti di Arked Niaga dan Padang Waremart. Tapi betullah, nak dapat jersi bola kat sini semua ada. Harga murah, tapi kain cantik dan sedap juga pakai. Beli la sehelai datang sini hari tu.

Tapi bukan ada jersi je, tapi macam-macam pakaian ada. Baju dengan corak yang unik. Pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak. Semua ada. Jenama Thailand pun banyak kat sini. Terlalu banyak pilihan, rambang mata juga la. Buat kali pertama juga tengok keadaan sempadan Thailand.


Dah setel, pecut terus ke destinasi terakhir di Wang Kelian. Panjat ke viewpoint untuk nikmati keindahan pemandangan hijau seluruh Perlis. Tiket RM2 je seorang. Parking bawah, dah panjat sikit. Kalau tak larat, boleh naik buggy. Bayar rasanya. Tapi kadang-kadang dia bagi je naik.
Kat atas ni semata-mata nikmati pemandangan sahaja. Anda juga boleh nampak Tasik Timah Tasoh dari sini. Datang petang masa matahari terbenam, cantik gila. Tapi tak sempat la nak pergi ke Timah Tasoh. Dah setel bergambar, turun dan terus balik ke hotel.

Sebelum balik, singgah la kedai makan tepi jalan dulu, makan ikan bakar. Ok la. Dinner sebelum sampai ke hotel. Jadi tak perlu cari makan dah. Balik, kemas barang untuk pulang pada esok hari je. Selesai itinerari ke Perlis untuk yang utama iaitu dihari kedua.
Day 3 (Khamis)
[Masjid Alwi > KTM Arau]
Satu lagi keunikan di Perlis ini adalah satu-satunya negari di Malaysia yang tidak mewajibkan Doa Qunut pada Solat Subuh. Jadi masa nak pulang, check out sebelum Subuh dan terus bergegas ke Masjid Alwi untuk solat subuh.
Betullah, disini memang tak buat doa qunut. Jadi sesiapa yang datang Subuh disini, jangan pula Mufaraqah, ikut sahaja iman. Jangan risau. Solat sah. Kalau nak buat itinerari ke Perlis, wajib kena masukkan solat subuh dalam rancangan anda.

Dah Subuh semua, barulah terus bergerak ke KTM Arau untuk pulang ke Kuala Lumpur. Kereta sewa boleh drop di kawasan berhampiran sahaja. Jadi boleh jimat kat sini, dan tak perlu ambil Grab untuk ke stesen KTM. Maka selesailah trip 3 hari 2 malam ke negeri Perlis Indera Kayangan.
Kesimpulan
Perlis antara negara yang best untuk datang bercuti kat sini antara sebabnya adalah negeri yang tenang. Tak banyak sangat kereta. Jadi nak pergi mana-mana tak hadap dengan jammed dalam perjalanan. Tambahan lagi, biasa driving dikelilingi dengan sawah padi. Tenang je driving.
Tapi rasanya kalau jenis kaki hiking atau suka nature lagi best kat Perlis. Kat sini ada Gua Kelam. Kemudian ada tasik Timah Tasoh. Lagi ada banyak bukit-bukit yang rasanya terkenal kalau untuk yang kaki hiking ni.
Cumanya kalau datang Perlis ni mungkin tak lama la. Sebab destinasi menarik dia tidak terlalu banyak la. Dalam 2-3 hari dah cukup untuk cover banyak tempat di seluruh Perlis. Negeri kecil je, tapi masih menarik untuk datang bercuti dan tenangkan fikiran.
Jadi itulah antara perkongsian itinerari ke Perlis yang saya dapat kongsikan kepada semua pembaca. Diharapkan ianya bermanfaat kepada anda yang bercadang untuk datang dan bercuti ke Perlis pada masa akan datang.
Terima kasih. Izin copy untuk rujukan.