Arrow On Swanston menjadi satu-satunya pilihan yang ada bagi memuatkan seluruh keluarga untuk 13 pax iaitu 8 dewasa dan 5 kanak-kanak. Ini menjadi tempat penginapan kami selama 6 hari 5 malam di Melbourne, Australia.
BACA JUGA : Itinerari Penuh Ke Melbourne Australia Dengan Kos Kurang RM3.5k Seorang
Setiap kali trip DIY dengan family, kami memang akan cuba cari sebuah apartment yang memuatkan semua sekali gus. Tapi pastikan juga ada bilik tidur asing dan paling penting dapur untuk masak.
Jadi aku nak share sikit review dan pengalaman selama menginap di Arrow On Swanston, Melbourne Australia. Mungkin orang lain ada pengalaman sendiri, tapi kami pun melalui dan merasa sendiri.
*btw gambar bilik tak banyak ambil la. Boleh tengok video TikTok kat bawah sekali nanti
Review Arrow On Swanston – Penginapan Terbaik Di Melbourne Australia Untuk Family
Di Arrow On Swanston mereka ada menyediakan 2 jenis penginapan iaitu hotel dan juga family stay. Hotel berada di bangunan sama dengan lobi. Manakala family stay berada di sebelah bangunan loby.
Hotel seperti hotel biasa dengan menyediakan 2-4 pax dengan fasiliti hotel. Manakala Family Stay seperti sebuah apartment. Dalamanya dilengkapi seperti sebuah rumah; ada ruang tamu, dapur, bilik tidur, tandas dan sebagainya. Boleh memuatkan sehingga 6-8 pax untuk satu apartment.
Lokasi Penginapan
Selain daripada harga, lokasi penginapan turut menjadi pilihan utama masa nak booking sebelum ini. Mesti dan cuba dapatkan apartment atau homestay yang lokasinya berada dalam bandar dan lebih baik di CBD (Central Business District).

Jika luar daripada bandar, sememangnya banyak pilihan terutamanya airbnb yang menawarkan harga yang berpatutan. Dapat sebuah rumah lengkap beserta garaj untuk parking kereta. Tapi kekurangnya adalah jauh dari bandar. Kena sewa kereta lama dan malam tiada aktiviti dah.
Jadi kena juga cari dalam bandar. Akhirnya juga Arrow On Swanston yang menawarkan apa yang diperlukan.
Lokasinya dalam bandar dan jika tengok dalam Google Map berada di pinggiran CBD. Tram Station (Queensberry Station) betul-betul berhenti depan apartment. Tapi ianya berada di luar Free Tram Zone. Next station baru free.
Lokasinya agak baik juga sebenarnya. 3 minit jalan kaki ke Queen Victoria Market dan tempat pickup kereta sewa AVIS. Kemudian 8 minit jalan kaki ke Royal Exhibition Building. Dekat dengan kedai groceries Aldi dan Asian Market.
Proses Check-In & Check-Out
Ada kaunter 24 jam dibuka untuk proses check-in dan check-out. Jadi tak perlu risau kalau anda sampai di Melbourne tengah malam. Proses check in masih lagi boleh dibuka. Sebaiknya inform terlebih dahulu.
Untuk check-in hanya perlu sediakan pasport seorang sahaja iaitu nama yang membuat booking. Kemudian diperlukan AUD100 untuk deposit. Hanya boleh dibayar menggunakan kad kredit sahaja. Kad debit tak boleh. Proses mengambil masa 15 minit la lebih kurang.
Manakala untuk check out, mudah sahaja. Hanya perlu pulangkan kad bilik sahaja. Selesai. Proses tak ambil masa lama pun. Hari tu aku check out pukul 2.00 pagi. Masih ada staff yang berada di kaunter lobi. Remind juga untuk pulangkan deposit sebelum tinggalkan hotel. Katanya 10 hari proses akan dibuat.
Jenis Bilik
Seperti yang diberi tahu, di Arrow On Swanston ada 2 jenis penginapan iaitu hotel dan family stay. Untuk Family Stay ada beberapa bilangan blik. Sewaktu disana, kami pilih untuk 7-8 pax bagi setiap apartment.
Apartment pertama yang memuatkan parents aku dan keluarga abang aku iaitu 2 + 5. Jadi dapat Apartment di tingkat 1. Dapat view bandar. Jadi hari-hari boleh layan tram kulu-kilir dari dalam rumah sahaja. Cuba try request.
Manakala Apartment kedua untuk 6 pax iaitu 2 + 4. Dapat di tingkat 5 yang menghadap ke lorong belakang hotel. Tiada view. Jika rumah parents setingkat sahaja, rumah aku ni jenis duplex yang disambungkan dengan tangga berputar atau spiral loft.


Bagi aku overall keluasan rumah dia memang cukup-cukup sahaja dengan saiz yang ditawarkan. Sesuai untuk 7-8 orang setiap rumah. Mungkin rasa sempit sikit, tapi sebenarnya sudah memadai.
Kemudahan Dalam Bilik
Kedua-dua apartment kami menyediakan 2 bilik tidur, ruang dapur, meja makan, ruang tamu dan 1 bilik air. Selain itu ada juga sofa bed di ruang tamu yang boleh tukar dari sofa kepada katil untuk tidur. Kedua-dua apartment juga ada aircond bersama fungsi heater. Wifi juga disediakan secara percuma. TV pun ada.
Di ruang dapur, segala alatan disediakan; ada pinggan, mangkuk, cawan, sudu, garfu dan pisau. Nak masak pun boleh, ada dapur elektrik disediakan bersama-sama dengan kuali, periuk dan sebagainya. Peti ais, microwave dan toaster pun ada. Periuk masak nasi je tiada.

Untuk bilik air, ada disediakan tuala setiap seorang. Kemudian sabun buku beserta sabun mandi dan shampoo. Ruang mandi bersama water heater. Mangkuk tandas jenis duduk dan pastinya di Australia TIADA bidet. Jadi anda beli la portable bidet yang INI. Sangat berguna!

Fasiliti Yang Disediakan
Untuk fasiliti sama seperti sebuah hotel. Jika di ruang lobi, ada tempat menunggu dan cafe yang dibuka untuk orang luar dan pelanggan Arrow On Swanston. Disini juga ada beberapa informasi percutian di Melbourne dan vending machine.

Jika anda menginap lebih daripada 3 hari, akan ada cleaner yang mengemas bilik anda. Katanya swimming pool pun ada, tapi hari tersebut tak sempat nak pergi dan tengok pun. Lagi pun musim sejuk, tak mandi kolam la.
Ada 2 lif disediakan, tapi biasanya waktu puncak iaitu sekitar 8-9 pagi memang sibuk dan ramai orang. Jadi rancang perjalanan anda terutamanya masa nak turun. Kalau nak minta teksi, staff boleh bantu untuk carikan.
Untuk parking ada disediakan tapi perlu bayar iaitu dengan harga AUD25 untuk satu hari dan untuk satu kereta. Lokasinya berada di belakang hotel untuk kawasan parking. Ruang cukup untuk kereta sebesar Kia Karnival 8-seater. Parking lot pun banyak.
Harga Yang Ditawarkan
Harga yang kami dapat untuk 2 apartment di Arrow On Swanston yang memuatkan 13 pax secara keseluruhan untuk 6 hari 5 malam adalah RM5,030. Tempahan dibuat 2 bulan lebih awal menerusi aplikasi Agoda.
Kelebihan & Kekurangan
Arrow On Swanston ni bukan lah yang terbaik, tapi bagi kami sekeluarga, ianya sudah cukup untuk berlindung dari cuaca hujan dan sejuk diluar. Jadi antara kelebihan menginap disini adalah :
- Lokasi strategik dalam bandar Melbourne
- Harga berpatutan untuk 13 orang
- Ada aircond bersama fungsi heater
- Ada dapur yang lengkap
- Dekat dengan kedai groceries (Aldi)
- Depan Tram Station
- Selimut tebal
Meskipun hampir sempurna, tapi masih ada kekurangan disini seperti :
- Tiada bidet dalam bilik air
- Ruang rumah sedikit sempit (tapi sebenarnya selesa je)
- Tunggu lif lama, tapi dalam lif rasa laju
Sesuai Untuk Siapa
Untuk yang mencari tempat penginapan dengan lokasi yang stregik dengan harga berpatutan, mungkin korang boleh consider untuk menginap di Arrow On Swanston yang terletak di Swanston Road, berhampiran dengan CBD.
Kalau datang 2-4 orang, boleh menginap di hotel. Untuk family sangat recommended untuk menginap disini. Selesa dan selamat. Kalau datang Melbourne semula, mungkin sini akan menjadi pilihan utama lagi.

Kesimpulan
Secara keseluruhan aku puas hati dengan Arrow On Swanston dari segi fasiliti, harga dan lokasi. Selain itu, satu lagi indicator bila parents aku tak complain dengan rumah ni. Kira selesa dan berbaloi la tu.
Tapi ada perlu tahu. Sebenarnya sebelum menginap disini, aku baca banyak bad review di Google Review tentang tempat ni. Tapi terpaksa tutup mata, sebab tak jumpa pilihan lain. Masa nak check-in pun staff suruh aku semua siap-siap bagi good review dulu di Google dan Trip Advisor. Bagi 4-5 stars dan komen positif. Kemudian baru boleh check in.
Disebabkan semua ni lah, aku dah risau sebenarnya yang bad review tersebut memang betul. Tapi alhamdulillah, aku cakap sangat berlainan dengan apa yang kami lalui sepanjang menginap disini. Aku tak sure la, aku je ke tak kena, tapi orang lain kena. Sangat berbaloi dengan harga.
Kalau nak cakap pasal buruk di Arrow On Swanston ni pun mungkin ada satu la sebab ada barang berharga yang hilang semasa proses cleaning. Ada yang mencuri. Cleaner je yang boleh akses setiap bilik. Tapi tiada kesan selongkar. Barang tersebut diletak bawah bantal yang senang diakses juga.
Kena beringat la dimana-mana sahaja pun. Pasport mungkin boleh simpan di bilik lagi. Tapi barang berharga, kena bawa sekali jika keluar dari bilik. Lagi-lagi kalau ada cleaner yang akan masuk nanti.
Tapi overall, sangat puas hati untuk trip Australia kali ini. Destinasi Melbourne itu sendiri sudah best dan ditambah pula dengan dapat main salji, dapat tengok koala dan kangarro. Akhir sekali dapat menginapan di tempat yang selesa di Arrow On Swanston.
Rating : 8/10 untuk Arrow On Swanston
















