Selepas beberapa hari buat research sebelum trip ke Jepun, akhirnya aku jumpa penginapan terbaik yang aku cari iaitu MyCube by MyStays Asakusa Kuramae. Sesuai untuk solo travel dengan bajet tidak terlalu tinggi.
Ini merupakan trip kedua aku ke Jepun secara solo. Jika sebelum ini, aku berkesempatan untuk teroka Sapporo di Hokkaido untuk musim sejuk dan bersalji. Kali ini vice versa pula iaitu di musim panas (summer) iaitu di Tokyo.
BACA JUGA : Itinerari Ke Sapporo Secara Solo

Jika di Jepun, keselamatan dan pengangkutan bukan perkara utama yang perlu diambil berat jika bergerak solo, tetapi berkaitan kos penginapan. Hotel di Tokyo terutamanya, tidak friendly budgjet, lagi-lagi jika anda berseorangan.
Jadi pilihan yang ada hanyalah penginapan dalam bentuk hostel seperti hotel kapsul. Disini banyak pilihan dengan bajet yang murah. Ada satu lagi masalah, aku TAK SUKA hotel kapsul. Tapi tidak boleh tidak, sebab nak jimat, aku kena juga pilih hotel seperti ini.
Disebabkan itulah, aku buat research lebih sikit, kita cari hotel style kapsul, dengan ruangan yang lebih besar, selesa tetapi tidak terlalu mahal. Disebabkan itulah aku jumpa MyCube by MyStays Asakusa. Jom aku review sikit.
Review Hostel MyCube by MyStays Yang Terletak Di Asakusa
Untuk trip ke Tokyo, Jepun kali ini aku pergi sekitar bulan Julai 2025 iaitu selama 5 hari 5 malam. Tapi aku bermalam di MyCube by MyStays Asakusa ini hanya untuk 4 hari 3 malam sahaja (Khamis – Ahad).
Lokasi Dan Akses
Lokasi MyCuba by MyStays adalah terletak di Asakusa dan kawasan ini luar sedikit daripada hiruk pikuk bandar. Jadi disini lebih tenang, tidak terlalu ramai orang, tetapi masih tidak jauh dari pusat bandar. Tambahan pula, dekat dengan sungai yang menjanjikan view yang menarik (view Tokyo Skytree).

Hostel ini terletak tidak jauh dari kawasan Sensoji Temple dan UENO yang menjadi antara tarikan utama pelancong. Akses untuk ke kawasan hot spot juga mudah. Hanya 2 minit dah sampai ke subway station (Kuramae Station). Dari sini anda boleh travel seluruh Tokyo.
Tidak cukup dengan itu, disekeliling hostel ini juga terdapat 7eleven, Family Mart dan beberapa kombini yang lain. McDonalds, Sukiya pun ada disebelah sahaja. Jadi mudah untuk anda dapatkan makanan bila lapar.
Proses Check-in & Check-out
MyCuba by MyStays Asakusa menyediakan kaunter pendaftaran atau check-in counter untuk 24-jam. Jadi anda tidak perlu khuatir sekiranya anda sampai lewat malam. Anda boleh check-in seperti biasa. Ada staff yang akan melayan anda.

Proses check-in perlu dilakukan secara manual di kaunter. Anda hanya perlukan sediakan pasport sahaja. Ada 1 borang pengesahan dan siap untuk masuk bilik. Proses ambil masa 5 minit sahaja. Sangat mudah dan pantas.
Manakala untuk proses check-out pula, anda boleh lakukan pada bila-bila masa secara sendiri. Hanya perlu drop kunci yang diberi dalam kotak yang disediakan. Selesai. Boleh terus balik lepas tu.
Waktu check-in adalah bermula pada pukul 4.00 petang. Manakala check-out adalah pada jam 10.00 pagi. Tiada waktu yang anda perlu berada di luar kawasan bilik seperti hotel kapsul yang lain. Anda boleh berada di bilik pada bila-bila masa sahaja.
Jenis Bilik
MyCuba by MyStays Asakusa mengenakan konsep hostel. Bilik yang disediakan hanya ada 1 jenis sahaja iaitu jenis kapsul. Akan tetapi ianya tidak bertingkat, sebaliknya hanya setingkat sahaja. Atas ruang tidur, bawa ruang simpan luggage. Dalam 1 tingkat, ada banyak bilik. Ada 6 tingkat kesemuanya.


Sama konsep macam kapsul, tetapi dengan ruangan yang lebih besar. Jangan risau, tak rasa macam tidur dalam keranda pun. Lebih selesa dan masih selamat. Setiap tingkat dipisahkan dengan ruang lelaki dan wanita. Jadi memang tidak bercampur.
Kemudahan Dalam Bilik
Disebabkan jenis kapsul tetapi dengan ruang yang lebih besar, macam-macam kemudahan yang ada dalam setiap kapsul. Selain daripada tilam, bantal dan selimut yang selesa, setiap kapsul ada tv flat skrin 18-inci. Anda boleh tonton tv Jepun bersama earphone yang disediakan.

Dalam kapsul ini juga ada tempat untuk gayut baju yang mana disediakan 3 penyangkut baju. Ada juga meja kecil yang boleh diturun dan dinaikkan. Ada ruangan khas berkunci untuk simpan barang-barang berharga. Ada 1 plug dan 1 plug USB. Juga disediakan jam bersama alarm, serta suis lampu.
Itu pada bahagian atas. Pada bahagian bawah, disediakan ruang simpanan bagasi yang cukup luas. Rasanya boleh muat untuk bagasi 28-inci juga. Ada disediakan tuala, sepasang baju tidur, set berus gigi, selipar dan lampu suluh.

Secara keseluruhan, kemuduhan yang disediakan dalam ruangan tidur di MyCube by MyStays Asakusa sudah mencukupi. Walaupun tiada aircond dalam kapsul, tetapi dalam dah cukup sejuk. Sebab aircond luar masuk. Tidur dengan selimut juga lah.
Fasiliti Yang Disediakan
Kalau sebut pasal hostel, tidak boleh tidak, anda kena tahu tandas dan bilik air kena kongsi yang mana biasanya terletak di luar dari kawasan bilik tidur. Setiap tingkat disediakan ruang sendiri. Jadi tak perlu pergi ke tingkat yang lain. Ada bilik mandi, tandas dan singki. Tandas jangan risau, ada bidit.

Anda akan diberikan kad akses yang hanya boleh pergi ke lobi dan juga floor tempat kapsul anda. Tidak boleh pergi ke tingkat lain. Ini adalah untuk tujuan keselamatan. Juga diberikan kunci untuk lock ruangan khas di ruang tidur anda dan juga ruang bagasi bawah katil.
Ada ruang untuk laundry (kena bayar), ada tempat simpan luggage sementara. Wifi disediakan secara percuma beserta aircond 24 jam. Ada lif jangan risau. Ruang pantry besar. Mungkin boleh muat lebih 20 orang dalam satu-satu masa. Disinilah terdapat microwave, water heater dan air minuman. Jadi nak makan, buat kerja, baca manga, semua boleh buat kat sini. Selesa.

Harga Yang Ditawarkan
Untuk 4 hari 3 malam di MyCube by MyStays Asakusa, aku dapat dengan harga RM559 (RM186/malam) . Tempahan dibuat di Agoda sekitar sebulan sebelum pergi. Anda boleh buat perbandingan dengan platform lain seperti booking.com, klook, traveloka dan sebagainya.
Kelebihan & Kekurangan
Hostel ini bukanlah yang terbaik, tetapi masih mempunyai kelebihan dan cukup baik bagi anda yang ingin menginap disini. Antaranya :
- Lokasi yang strategik
- Harga lebih murah daripada ‘Single Room’, tetapi mahal sedikit dari kapsul hotel yang bertingkat
- Fasiliti lengkap disediakan
- Anda rasa selamat disini
- Ada ruang yang untuk anda solat seperti biasa
- Tuala dan baju tidur ditukar setiap hari

Dari segi kekurangan, mungkin ada, tetapi ianya tidak terlalu ketara. Antara seperti :
- Masih ada ruang kecil untuk cahaya masuk ke dalam ruang kapsul. Tetapi tidak terlalu ketara
- Ruang kapsul tidak kedap bunyi. Jadi biasanya kalau ada yang kemas bag, mesti dengar
Sesuai Untuk Siapa?
Secara amnya, hostel ini untuk golongan dewasa sahaja. Jadi tempahan untuk kanak-kanak tidak dibenarkan. Disebabkan ianya hostel kapsul, jadi sangat sesuai untuk solo traveller yang ada budget tight. Tidak sesuai untuk keluarga. Kalau tidak, kena booking sorang-sorang.
Kesimpulan
Secara overall, hostel MyCube by MyStays Asakusa memberikan pengalaman yang baik kepada aku sebagai solo travel ketika berada di Tokyo, Jepun. Walaupun datang summer, tapi duk dalam ni, masih sejuk dan selesa.
Lokasi best, kombini dekat, pagi-pagi boleh jogging tepi sungai dan paling penting selesa nak tidur dan harga berpatutan. Mungkin ini menjadi pilihan utama kalau datang semula ke Tokyo secara solo. Kalau datang berteman, boleh cari bilik yang lebih selesa.
Rating : 9/10
















