Taiwan dah pergi, nak pergi China belum sedia. Jadi aku buat keputusan untuk cari negara yang tak jauh sangat, murah dan aku jumpa Hong Kong-Macau yang bagi aku antara negara ‘mini China’. Boleh buat persediaan untuk ke tanah besar plak nanti.
Trip ni pun datang secara spontan sahaja. Lagi pula sebelum tu dah beli tiket untuk trip Osaka-Tokyo-Mt Fuji. Tapi sebab nak merialisasikan hajat dan ‘sembang’ tahun 2014 yang lepas dengan member-member, cuba la jadikan realiti.
Trip Hong Kong-Macau ni aku pergi pada pertengahan November 2024 iaitu selama 4 hari je. Musim autumn, tapi tak macam autumn. Suhu pun biasa je. Macam short-trip je la. Untuk nikmati negara orang, rasa vibe travel dan untuk yang pertama kali ke luar negara, nak kumpul cop pasport (hahaha)
BACA JUGA : 10 Tips Ke Hong Kong-Macau Yang Anda Perlu Tahu
Ini bukan trip 2 bandar atau kawasan, memang trip 2 negara iaitu negara Hong Kong dan negara Macau. Jadi nak masuk, keluar kena guna pasport. Inilah juga yang biasa dibuat traveller kalau datang Hong Kong, pergi juga ke Macau untuk day-trip.
Dokumen Wajib Perlu Disediakan
Nak masuk Hong Kong simple. Hanya perlu sediakan Paspot sahaja yang valid sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum pulang ke negara asal semula nanti. Itu sahaja. Arrival form pun tak perlu letak. Imigresen pun tak tanya apa-apa.
Untuk ke Macau pun sama. Tak perlu arrival form. Hanya perlu sediakan pasport sahaja. Untuk info, kedua-dua negara ini tidak memberikan stamp cop pada pasport atau stiker. Tapi mereka akan bagi sehelai kertas. Simple sangat.
Kos Perbelanjaan Keseluruhan
1) Kos Penerbangan
Seperti biasa, aku naik Air Asia yang mana perjalanan hanya mengambil masa 4 jam sahaja dari KLIA Terminal 2 ke Hong Kong International Airport. Kali ini, aku buat tempahan di Traveloka yang mana aku dapat harga tiket RM523 seorang. Sedikit kelebihan kalau booking di third-party. Harga murah.
2) Kos Pengangkutan
Di Hong Kong terdapat beberapa pengangkutan awam seperti train, bas, tram dan teksi. Tapi sepanjang di sana, aku sempat guna bas, MTR (train), tram dan feri sahaja. Manakala di Macau, aku guna bas sahaja. Of course jalan kaki banyak juga.
- MTR – HKD70
- Bas – HKD75
- Tram – HKD12
- Feri – Free
- Bas Airport Macau-HK – HKD65
- Bas (Macau) – 18MOP = HKD18
- Total = HKD400 (~RM230 seorang)
Di Hong Kong, bagi memudahkan urusan jalan-jalan anda, dinasihatkan beli Octopus Card di Airport dengan harga HKD150 (refundable HKD50). Itu untuk kad fizikal, tapi bagi iPhone User, anda boleh guna Octopus Card Digital di Apple Wallet anda. Sama sahaja harga HKD150 dan refundable HKD50. Hanya perlu download apps Octopus for Tourist sahaja.
Tapi nak beli tiket train by cash pun boleh. Takda hal.
3) Kos Penginapan
Hong Kong terkenal dengan harga bilik yang mahal tapi saiz kecil. Jadi untuk trip kali ni, aku cuba cari yang selesa untuk 4 orang. Cari lokasi terbaik dengan harga yang berpatutan. Aku pilih Airbnb iaitu Airy Stay yang mana lokasi di Tsim Sha Tsui yang sangat strategik. Harga RM1,260 untuk 4H3M. Jadi kongsi berempat = RM315 seorang
BACA JUGA : Review Airbnb Airy Stay Di Tsim Sha Tsui Hong Kong
4) Kos Makanan
Meskipun sebuah negara majoriti rakyat berbangsa Cina, tapi makanan halal senang je nak dapat di Hong Kong. Tapi Macau susah. Aku tak jumpa makanan halal. Sudahnya makan makanan ringan je kat sana dan bawa roti dari Malaysia. Antara makanan yang aku sempat try kat Hong Kong:
- KFC – HKD54
- Popeyes – HKD59
- Bakery @Capital Cafe (Wan Chai) – HKD34
- Islam Food since 1950 – HKD92
- Mutton Biryani – HKD103
- Roasted Duck @Wai Kee – HKD42
- Total = HKD390 (~RM224 seorang)
5) Kos Aktiviti
Selama berada di Hong Kong-Macau, aku hanya pergi satu tempat sahaja yang berbayar dan selebihnya semua free entrance. Aku sempat pergi ke Victoria Peak. Jadi aku beli siap-siap di Trip.com untuk tiket cable car (return) + sky terrace 428 dengan harga RM69 seorang. Boleh beli SINI. Beli online lagi murah dari walk-in.
6) Lain-Lain Perbelanjaan
Untuk lain-lain perbelanjaan, aku senaraikan seperti dibawah:
- eSIM untuk data internet HK-Macau (Beli Shopee DISINI) = RM25
- Takaful etiqa 360 (Beli SINI) = RM18.75
- Lunch dalam Air Asia (Bukhara Biryani) = RM13
JUMLAH KESELURUHAN KOS KE HONG KONG-MACAU untuk 4 hari adalah = RM1418 seorang
Harga ni tak termasuk duit shopping sahaja. Overall, aku rasa Hong Kong ni macam sedikit mahal berbanding Jepun, Korea, tapi masih affordable.
Itinerari Ke Hong Kong-Macau
Ikut itinerari, aku berada di Hong Kong untuk 3 hari, manakala di Macau aku buat day-trip iaitu dari pagi hingga malam. Jadi satu hari tu, memang fokus berada di negara Macau sahaja.
Day 1 – Isnin [Hong Kong]
Waktu | Destinasi/Aktiviti |
6.00 petang | Tiba di HK International Airport |
8.00 malam | Check-in Airbnb Airy Stay |
9.00 malam | Dinner @KFC |
10.00 malam | Shopping di Ladies Market |
Airport dari bandar HK agak jauh juga. Aku naik bas A21 terus ke Tsim Sha Tsui, tempat Airbnb aku dengan harga $34.6. Perjalanan dalam masa 2 jam. Tips naik bas, boleh pakai Octopus Card, boleh pakai kad Visa/Mastercard.
Airbnb self check-in. Nak cari unit bilik pun mudah je. Semua instruction dah bagi. Perut lapar terus jalan kaki ke KFC di jalan Jordan. Bukan semua cawangan KFC certified halal. Kena cari, salah satunya disini lah. Rasa sama je. Tapi sos cili di jual $3 dan sarung tangan dia jual $1. Singki basuh tangan takda. Bawa sos cili sendiri.
Selesa, terus ke Ladie’s Market untuk cuci mata dulu. Tapi start la juga beli souvenir. Tips aku nak bagi tahu cara tawar-menawar shopping kat sini. Ada jumpa barang korang nak, tanya harga dulu. Kemudian sebut harga yang korang nak (reasonable la, sian peniaga).
Kalau dia taknak bagi harga tu, korang buat-buat blah. Insya Allah dia akan bagi. Dieorang ok je tawar-menawar. Untuk pembayaran, boleh cash dan boleh Alipay yang ada pada Touch n’ Go eWallet kita. Kad visa tak boleh
Day 2 – Selasa [Macau]
Waktu | Destinasi/Aktiviti |
9.00 pagi | Tiba di HK-Macau Ferry Terminal di Sheung Wan |
10.00 pagi | Tiba di Taipa Ferry Terminal |
10.30 pagi | The Londoner |
11.30 pagi | The Parisian |
12.00 t/hari | The Venitian |
2.00 petang | Masjid Macau |
3.30 petang | Senador Square |
4.00 petang | Walls of St. Paul Church |
6.00 petang | Bertolak ke HK melalui HZM Bridge Zhuhai Port |
8.00 malam | Dinner di Islam Food since 1950 |
Untuk ke Macau dari Hong Kong ada 2 cara iaitu menggunakan bas melalui jambatan dan juga feri. Feri berharga RM100 sehala (Beli di Trip.com). Manakala untuk bas, jika anda dari Tsim Sha Tsui, anda perlu naik bas A1 ke HZMB Port berharga $34 dan bas ke Macau berharga $65. Lebih murah dari Feri. Tapi sehingga 31 Disember 2024, Macau ada menawarkan tiket feri percuma sehala dari Hong Kong untuk tourist. Boleh tebus DISINI.
Dah sampai di port Macau, cari bas percuma ke hotel sama ada ke The Londoners, Parisian atau Venitian. Semua ni dekat-dekat sahaja. Boleh terus naik. Kat sini lah dikatakan seperti ‘mini Europe’. Ada replika dengan vibe London, Eiffel Tower dan gondola seperti di venice. Sini sebenarnya adalah pusat casino. Boleh masuk untuk tengok, takda hal. Pastikan lebih 21 tahun sahaja.
Untuk info, harga bas awam di Macau adalah sama iaitu 6 MOP sekali naik. Untuk tourist, sepertinya boleh bayar guna coins sahaja. Boleh guna duit Hong Kong Dollar dengan nilai tukaran yang sama. Tapi wang tidak akan dikembalikan kalau lebih jika naik bas.
Alhamdulillah, meskipun Macau terkenal dengan negara pelancong & casino, masih ada masjid didirikan. Dapatlah solat dan rehat sekejab disini. Kemudian terus ke destinasi terakhir di Senado Square dan Ruins of St. Paul. Sediakan syiling, naik bas dan navigate guna google maps. Boleh jalan di Macau.
Dah tiba waktu maghrib, barulah pulang ke Hong Kong semula dan kali ini menaiki bas pula. Pastikan bawa pasport nak pergi Macau tau.
Day 3 – Rabu [Hong Kong]
Waktu | Destinasi/Aktiviti |
10.00 pagi | Breakfast di Capital Cafe (Wan Chai) |
11.00 pagi | Monster Building |
12.30 t/hari | Lunch @Wai Kee Halal Restaurant |
1.30 t/hari | Solat di Masjid Ammar |
3.30 petang | Victoria Peak |
6.00 petang | Solat di Masjid Kowloon |
7.45 malam | Avenue of Stars |
8.30 malam | Dinner di Popeyes |
10.00 malam | Shopping di Ladie’s Market |
Hari ketiga, full day fokus di Hong Kong sahaja dan ianya dibuka dengan breakfast di kedai lokal Capital Cafe. Kat sini kedai tak halal, tapi mereka ada serve bakery iaitu roti dengan sijil halal. Jadi nak makan sini, try Hong Kong Milk Tea dan roti sahaja. Memang terasa vibe Hong Kong lepak sini.
Dah sampai Hong Kong, memang tak sah la untuk bergambar di Monster Building. 5 bangunan berdekatan dengan kepadatan penduduk. Dahsyat. Kemudian cuba original menu Hong Kong iaitu Roasted Duck. Satu-satunya kedai halal yang menyediakan masakan itik. Korang kena cuba di Wai Kee ini.
Datang Hong Kong tak perlu solat tepi jalan pun, masjid banyak. Bahagian central ni pun ada masjid iaitu Masjid Ammar. Kat sini sebenarnya ada dumpling sedap kata. Datang sebelum pukul 3 petang, kalau tidak melepas la macam kteorang hari tu.
Untuk ke Victoria Peak, aku siap-siap beli tiket Peak Tram (return) + sky terrace di Trip.com dengan harga RM69 di SINI. Tempat tertinggi di HK. Boleh tengok seluruh view bandar metropolitan tersebut. Setel sini, terus balik ke TST untuk nikmati Symphony of Lights pula di Avenue of Stars. Setiap hari ada show iaitu pada jam 8 malam. 10 minit sahaja. Santai disini.
Day 4 – Khamis [Hong Kong]
Waktu | Destinasi/Aktiviti |
8.00 pagi | Avenue of Stars |
10.00 pagi | Breakfast @Chungking Mansion |
12.00 t/hari | Disneyland (untuk bergambar) |
6.00 petang | Pulang ke Kuala Lumpur |
Kali pertama merasai perasaan bila negara tersebut dilanda Taufan. Hari terakhir ini, Taufan Toraji bergerak menghampiri Hong Kong sehingga level T8. Disebabkan itu, pada waktu pagi, kesemua sekolah, bank, kedai tutup. Termasuk juga perkhidmatan bas dan train yang tergendala.
Tapi alhamdulillah hanya beri kesan angin kuat dan hujan sahaja. Tiada kemalangan jiwa. Pada waktu tengah hari, barulah taufan tersebut turun ke level T3. Urus niaga kembali seperti biasa. Tapi disebabkan itu, hari terakhir hanya sempat bergambar di Avenue of Stars dan breakfast di Bismillah Kebab. Tips lagi; portion makanan banyak. Order 1, boleh makan 2 orang.
Sebab atas faktor keselamatan, aku gerak ke Airport lebih awal dan skip ke Disneyland. Naik Airport Express untuk sampai lebih awal. Nasib baik flight tak delay. Untuk Airport Express, aku sarangkan beli di Trip.com je, lebih murah berbanding guna octopus card.
Selesai 3 Negara ‘Mini China’ Di Hong Kong dan Macau
Hong Kong dan Macau menjadi negara kedua dan ketiga yang dikatakan sebagai ‘Mini China’ seperti Taiwan. Kerana penduduknya majoriti adalah orang Cina. Jadi aku dah jejak kesemua tiga negara tersebut yang mana aku anggap persediaan untuk travel ke Tanah Besar China pula selepas ini.
Tapi ketiga-tiga negara ini bagi aku masih mudah untuk jalan kerana aplikasi harian kita seperti Whatsapp dan Google masih boleh digunakan. Berbeza dengan China, dimana mereka mempunyai aplikasi sendiri dan Google tidak boleh digunakan. Macam mana nak navigate kalau di China nanti agaknya.
Apa-apapun secara overall aku suka Hong Kong dan ditambah pula boleh day-trip ke negara kedua di Macau. Dah macam negara muslim friendly betul. Makanan halal banyak. Masjid banyak. Itu pun sudah cukup untuk muslim rasa selesa ketika berada di negara tersebut.
Jadi untuk anda yang nak pergi negara tak jauh sangat, 4 jam penerbangan dan tiket flight murah. Boleh consider ke Hong Kong dan buat day-trip ke Macau. Biasanya orang datang sini akan pergi ke Disneyland juga. Boleh masuk list nanti.
2 thoughts on “Itinerary Trip Ke Hong Kong-Macau Untuk 4 Hari. Sekali Travel, Dapat 2 Negara!”