Bagi yang pertama kali, pastinya tertanya-tanya macam mana agaknya proses imigresen dan kastam ketika sampai di Jepun. Kena siapakan dokumen apa? Berapa lama agaknya proses akan selesai dan sebagainya.
Persoalan ini pastinya akan timbul bagi mereka yang pertama kali travel atau pertama kali sampai ke negera tersebut. Jadi persediaan boleh dibuat awal sebelum tiba di airport tersebut.
Jadi untuk yang pertama kali ingin travel ke Jepun, disini aku kongsi sedikit pengalaman ketika melalui proses imigresen dan juga kastam ketika berada di mana-mana lapangan terbang di Jepun.

Setakat ini, aku pernah landing melalui 3 airport antarabangsa yang utama di Jepun iaitu Osaka Airport (KIX), Haneda Airport di Tokyo dan New Chitose Airport di Hokkaido. Narita Airport pernah landing dulu tahun 2013, tapi tak ingat dah.
BACA JUGA : Itinerari Ke Osaka-Tokyo-Mt Fuji Untuk 9 Hari
Untuk info, kesemua lapangan terbang antarabangsa di Jepun, proses imigresen mereka sama sahaja. Dokumen yang diperlukan sama sahaja. Yang berbeza, mungkin keadaan dan juga tempoh yang diperlukan untuk selesai kesemua proses.
Bagi mereka yang ingin travel ke Jepun dan nak tahu macam mana keadaan imigresen dan kastam, anda boleh dapatkan panduan ini. Applicable untuk semua airport di Jepun samada di Osaka, Tokyo, Hokkaido, Kyushu dan lain-lain.
Proses Imigresen Dan Kastam Di Jepun
Kapal terbang dah landing di Jepun. Selepas ini, anda kena buat apa pula? Ini merupakan antara proses imigresen dan kastam yang anda akan lalui sehingga sampai ke Arrival Hall. Sebagai contoh, mendarat di Henda Airport di Tokyo.
Proses Keseluruhan : Keluar kapal terbang → Imigresen → Tuntutan Bagasi → Kastam → Arrival Hall (Selasai)
1. Proses Imigresen

Selepas anda keluar daripada kapal terbang, kesemua pelancong akan menuju ke imigresen hall. Kebiasaanya disinilah proses akan mengambil masa yang lama kerana ramai orang. Jika anda sampai disini sahaja, anda perlu sediakan 2 benda iaitu
- Pasport
- Kod QR Visit Japan Web (Screenshot)

Sekiranya anda tidak sempat untuk daftar Visit Japan Web, anda boleh dapatkan arrival form yang disediakan di imigresen hall. Jadi anda perlu isi borang tersebut sehingga lengkap. Untuk lebih cepat proses, daftar Visit Japan Web secara online terlebih dahulu iaitu ketika di Malaysia lagi.

Beratur mengikut giliran sehingga dipanggil di kaunter imigresen. Anda perlu bagi pasport dan juga scan Kod QR Visit Japan Web di kaunter tersebut. Kemudian perlu scan 2 jari di mesin yang disediakan. Proses tak sampai 5 minit pun. Semua akan melalui proses ini termasuk kanak-kanak. Pegawai akan bagi stiker atau stamp imigresen pada pasport anda.

Itu sahaja. Jepun takda nak tanya soalan. Pasport lengkap, ada Kod QR. Mereka bagi lepas. Tips utama, buat siap-siap Visit Japan tersebut. Proses Imigresen ini dikatakan boleh ambil masa sehingga 1 ke 2 jam beratur. Untuk pengalaman, paling lama pun 40 minit sahaja.
2. Tuntutan Bagasi (Baggage Claim)
Dah selesai bahagian imigresen, jalan terus ke bahagian tuntutan bagasi. Kalau anda ada check-in luggage, boleh pergi untuk ambil bag anda ditempat yang disediakan. Jangan silap tempat pula.

3. Kastam
Kalau di Australia atau Korea, mungkin proses imigresen tersebut orang takut. Tapi kalau di Jepun, pada bahagian kastam (customs). Disini mereka akan check sama ada anda ada bawa barang terlarang atau tidak terutamanya melibatkan makanan.
Jadi sebelum pergi ke bahagian Kastam, anda terlebih dahulu perlu scan pasport dan Kod QR Japan Visit sekali lagi di mesin layan diri disediakan. Imbasan kali kedua ini, berkaitan declaration yang dibuat di Visit Japan Web.

Kalau ada declare, akan dipaparkan dan perlu pergi ke bahagian declaration untuk disemak oleh pegawai kastam. Jika tiada makanan seperti ayam atau daging, selepas dah scan semua, boleh terus pergi ke bahagian non-declaration.
4. Arrival Hall
Selepas selesai di bahagian Kastam, anda dah boleh tarik nafas lega dimana secara rasminya anda dibenarkan masuk ke Jepun secara sah. Anda akan sampai di arrival hall. Jadi lepas tu, anda bebas la untuk aktiviti travel anda.

Penutup
Setakat ini, tiada lagi pelancong terutamanya dari Malaysia yang dihantar pulang atas sebab tidak munasabah ketika ingin ke Jepun. Rakyat Malaysia tidak perlukan visa, jadi bebas untuk masuk keluar di Jepun untuk tempoh 90 hari. Selebihnya kena mohon visa.
Untuk perbandingan, rasanya proses paling sekejab aku pernah lalui adalah di Airport New Chitose. Tapi kat sini, dieorang ada check bagasi aku, meskipun aku tak declare barang makanan pun. Tapi tiada barang terlarang pun.

BACA JUGA : Itinerari Ke Sapporo, Hokkaido Secara Solo-DIY
Paling lama adalah di Haneda Airport. Sebab masa tu, bukan flight Air Asia je sampai, banyak flight lain juga. Jadi memang ramai orang masa tu. Orang ramai, tapi smooth je sehingga selesai. Ketika di Osaka, KIX, just nice sebab masih waktu pagi.